April 26, 2024

Search
Close this search box.

Bagai laksamana mengerah kudrat, berjuang hingga ke akhir keringat. Laksana srikandi tangkas bertarung, pantang undur walau jatuh tersadung.

Begitulah gambaran semangat waja atlet-atlet Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mewakili negeri masing-masing dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022. Perjuangan mereka penuh ranjau dan cabaran, namun itu bukannya alasan. Kecekalan jiwa buahkan kejayaan, kilauan pingat julang pasukan.

Alyaa Yasmeen Tepati Ramalan Kuasai Judo

Status sebagai atlet negara sememangnya menjadi kelebihan, tambahan pula pelajar prasiswazah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) UTM ini tampil di pentas SUKMA dengan berbekalkan pengalaman luas di peringkat antarabangsa.

Alyaa Yasmeen bersama pingat emas yang dimenanginya. – Gambar: Beautiful Terengganu Malaysia

Mewakili Terengganu dalam SUKMA kali ini, Alyaa Yasmeen Rosali menepati ramalan apabila berjaya merangkul pingat emas dalam acara judo kategori tidak melebihi 48 kg, apabila menewaskan lawannya dari Pulau Pinang, Ummi Nazeerah Amran pada perlawanan akhir.

Faiz, Faiq Cemerlang Julang Johor

Pasukan berbasikal Johor sememangnya mencipta sensasi pada SUKMA kali ini. Seakan mengikuti jejak kecemerlangan yang telah dilakar oleh rakan mereka, Nur Syafika Natasha Kadir, dua orang lagi pelajar FSSH UTM; Mohamad Faiz Mohd Hata dan Estiq Faiq Eiszaham turut tidak mahu ketinggalan untuk turut sama menjulang nama Harimau Selatan.

Mohamad Faiz (paling kanan) bersama rakan sepasukan membantu Johor menggondol emas dalam acara berbasikal trek kejar mengejar berpasukan (lelaki). – Gambar: MSNJ

Mohamad Faiz menampilkan prestasi luar biasa apabila telah membantu Johor meraih emas dalam acara berbasikal trek kejar mengejar berpasukan (lelaki) dan pingat perak dalam acara lebuhraya 160 km lepas beramai-beramai berpasukan (lelaki).

Estiq Faiq (paling kiri) tampil cemerlang memenangi perak dalam acara berbasikal pecut berpasukan (lelaki). – Gambar: MSNJ

Estiq Faiq pula tampil hebat memenangi pingat perak buat Johor dalam acara berbasikal pecut berpasukan (lelaki).

Panahan Berbisa Ahmad Danial

Setakat ini, Nik Ahmad Danial Mohd Kamarolzaman , pelajar Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE), Fakulti Kejuruteraan UTM telah menampilkan aksi hebat di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), yang menjadi lapang sasar bagi acara memanah SUKMA kali ini.

Panahan berbisa beliau telah berjaya membuahkan pingat perak dalam acara compound berpasukan (lelaki) dan pingat gangsa dalam acara compound individu 50 meter (lelaki).

Ahmad Danial (paling kanan) berjaya meraih gangsa dalam acara compound individu 50 meter (lelaki). – Gambar: MSN Selangor

Kejayaan mereka tidak datang hanya dengan impian dan angan-angan. Ia perlu usaha berterusan, mesti datang dengan pengorbanan. Maka wajarlah pencapaian mereka dikenang dan disanjung. Terukir agung menjadi aspirasi anak kandung.

Explore More