Mei 3, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at AM ()

Bernaung di bawah institusi pendidikan tinggi dalam bidang sains dan teknologi terkemuka negara, mendorong Profesor Madya Dr. Syafiqah Saidin, pakar dalam bidang kejuruteraan bioperubatan dan sains kesihatan universiti ini terus menggunakan kepakaran beliau menginovasi ciptaan yang dapat membantu meningkatkan kualiti perubatan di Malaysia.

Dr. Syafiqah, pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan & Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Kardiovaskular IJN-UTM (IJN-UTM CEC), mencipta Factor VII Biodegradable Cardiac Patch, produk berbentuk filem dan menyerupai plaster yang ditampal pada jahitan pembedahan jantung bagi mengurangkan risiko pendarahan selepas pembedahan dilakukan. Apa yang membezakan Factor VII Cardiac Patch ialah komposisi molekul Factor VII yang dinukleatkan di atas patch berkenaan untuk membantu pembekuan darah secara langsung di kawasan jahitan.

WhatsApp Image at AM ()
Dr Syafiqah menerangkan Factor VII Biodegradable Cardiac Patch kepada penilai semasa MTE’24

“Patch ini diperbuat daripada polimer yang boleh terurai (biodegradable) dalam badan manusia dengan selamat tanpa kesan sampingan yang berbahaya. Ia telah dibuktikan bioserasi dengan beberapa jenis sel terutamanya sel darah merah dengan rekod kurang daripada 0.5% hemolisis,” jelas Dr. Syafiqah.

Idea pembangunan produk yang telah memenangi Anugerah Perak di Malaysia Technology Expo 2024 (MTE 2024) ini tercetus hasil kunjungan seorang pakar klinikal, Dato’ Dr. Mohamed Hassan dari Institut Jantung Negara (IJN) pada tahun 2019.

Menurut Dr. Syafiqah, Dato’ Dr. Mohamed Hassan ketika itu telah menyuarakan masalah pendarahan jahitan pembedahan jantung yang sering berlaku dan meminta bantuan untuk mencari penyelesaian. Inisiatif untuk menghasilkan Factor VII Cardiac Patch telah melibatkan kolaborasi erat antara penyelidik UTM dengan pakar klinikal  IJN.

WhatsApp Image at AM
Perbincangan bersama Dr. Sivakumar Sivalingam (dua dari kanan) bagi merealisasikan produk Factor VII Biodegradable Cardiac Patch

“Saya bersama-sama dengan Dr. Sivakumar Sivalingam dan Dato’ Suhaini Kadiman yang juga merupakan pakar klinikal dan pakar bedah IJN, telah bergabung idea untuk menghasilkan cardiac patch yang mengandungi faktor pembekuan bagi mempercepatkan pembekuan darah di kawasan jahitan pembedahan jantung”

Factor VII telah dipilih kerana ia merupakan molekul-bio semula jadi terdapat dalam badan manusia yang terlibat dengan proses pembekuan darah. Menggunakan kepakaran beliau dalam bidang biobahan dan teknologi salutan implan, Dr. Syafiqah telah menggunakan teknologi imobilisasi molekul bagi membentuk jaringan functionalization antara polimer bioterurai dan kompaun Factor VII.

“Perancangan saya pada masa akan datang adalah untuk mengkomersialkan Factor VII Cardiac Patch di pasaran Malaysia untuk membantu pesakit yang menjalani pembedahan jantung. Perjalanan ini mungkin panjang, tetapi saya berharap dapat mempercepatkan proses ini untuk manfaat pesakit-pesakit,” ujar Dr. Syafiqah.

WhatsApp Image at AM
Gambar produk Factor VII Biodegradable Cardiac Patch dan pingat yang dimenangi semasa INATEX 2023

Sebelum kemenangan di MTE 2024, Factor VII Cardiac Patch telah meraih pengiktirafan dalam beberapa pertandingan dan pameran, termasuk pingat emas dalam 25th Industrial Art & Technology Exhibition 2023 (INATEX 2023) yang dianjurkan oleh UTM dan tempat pertama dalam Young Persons’ World Lecture Competition 2022 (YPWLC 2022).

Kemenangan Prof. Madya Dr. Syafiqah di MTE 2024 mengukuhkan kedudukan UTM sebagai pusat penyelidikan dan inovasi yang cemerlang. Produk-produk ciptaan institusi mampu bersaing di peringkat antarabangsa, memberi impak positif kepada industri kesihatan serta meningkatkan taraf perubatan di Malaysia.

Ciptaan seperti ini telah menonjolkan potensi inovasi dalam menjawab cabaran kesihatan global. Semangat inovatif  akademia mencari solusi menerusi inovasi merupakan aset penting dalam memajukan bidang kesihatan, seterusnya membantu memperbaiki kualiti hidup masyarakat seacar aamnya.

Explore More