Oktober 12, 2024

Search
Close this search box.
Tautan Ukhwah Syawal

Elemen kelestarian terus jadi fokus dalam acara UTM

JOHOR BAHRU, 22 April – Elemen kelestarian terus menjadi pilihan dalam menentukan konsep penganjuran acara penting Universiti sepertimana yang diterapkan sewaktu Majlis Tautan Ukhwah Aidilfitri Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tahun 2024 yang berlangsung semalam.

Pengarah Program, Rahmawatulhusna Sokhipul Hadi berkata selaras dengan konsep kelestarian yang diketengahkan, pengunjung Majlis Tautan Ukhwah Syawal UTM 2024 dikehendaki untuk mematuhi beberapa peraturan yang telah ditetapkan.

”Pengunjung dikehendaki membawa bekas makanan sendiri yang terdiri dari pinggan, cawan, sudu, garfu. Penggunaan bekas makanan dan plastik sekali guna adalah tidak dibenarkan kerana kami ingin mengurangkan penggunaan bahan sekali guna ini.

”Para pengunjung juga dimestikan untuk membuang sisa makanan dan sampah ke dalam tong sampah berasingan mengikut label yang telah ditetapkan bagi membolehkan sisa makanan dan sampah biasa ini diasingkan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai pengasingan ini Rahmawatulhusna berkata pihak penganjur telah mengaturkan untuk sisa makanan ini diangkut ke Blok T02 bagi diproses untuk dijadikan baja organik.

”Selain pengasingan sisa makanan dan penggunaan bekas plastik sendiri, pengunjung juga digalakkan berkongsi kenderaan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan ketidakcukupan tempat letak kereta disamping digalakkan membawa tikar sendiri untuk keselesaan dan suasana yang ceria,” katanya lagi.

Tahun 2024 menjadi tahun yang pertama penganjuran Majlis Tautan Ukhwah UTM mengadaptasikan konsep kelestrian secara serius sebagai tanda simbolik memberikan keutamaan kepada elemen ini sebagai salah satu nilai teras UTM yang terdiri dari Integriti, Sinergi, Kecemerlangan dan juga Kelestarian atau ISES.

Penganjuran Majlis Tautan Ukhwah Syawal 2024 ini selaras dengan Sasaran Pembangunan Mampan (SDG) No. 3 (Kesejahteraan dan Kesihatan yang baik), No. 11 (Bandar dan Komuniti Lestari) dan juga No. 12 (Pembuatan dan Penggunaan yang Bertanggungjawab).

Majlis yang berlangsung di Dataran UTM itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail. Kira-kira 500 kakitangan universiti itu telah mengunjungi program yang berlangsung setahun sekali itu.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim,Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md.Illias, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad dan Pendaftar UTM, Nor Azizah Ismail.

Menurut Rahmawatulhusna lagi, penganjuran program tautan aidilfitri pada tahun ini meneruskan agenda semasa kampus Sifar Karbon dan komitmen berterusan memacu keperluan SDG-12 yang menerapkan indikator kebertanggungjawab sumber seperti penjanaan sisa yang bakal ditukarkan kepada bahan mesra alam sekitar (seperti baja organik/kompos).

”Tradisi mendisplinkan warga kampus menerusi inisiatif bekas sendiri, berjalan kaki, menggunakan pengangkutan awam dan seterusnya memastikan semua juadah tidak dibazirkan merupakan inisiatif praktis UTM sejak 2019,” katanya.

Menerusi penganjuran merakyatkan pemimpin dan warga kampus adalah isyarat baharu kumpulan pengurusan UTM menyokong agenda “Kesihatan Planet” yang merupakan tunjang utama penerapan UTM CAMPUS SUSTAINABILITY 2030 dan Penilaian Material ESG UTM menjelang akhir tahun 2024 ini.

 

Tautan Ukhwah Syawal
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail beramah mesra dengan salah seorang penggerai di Majlis Tautan Ukhwah Syawal UTM 2024
Tautan Ukhwah Syawal
Tautan Ukhwah Syawal merupakan platform terbaik untuk staf UTM pelbagai peringkat jawatan untuk merapatkah sillaturrahim sekaligus bekerja sebagai satu pasukan yang hebat.
Tautan Ukhwah Syawal
Majlis Tautan Ukhwah Syawal UTM 2024 pertama kali mengadaptasikan agenda kelestarian secara serius berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Tautan Ukhwah Syawal

 

Explore More