Oktober 8, 2024

Search
Close this search box.
Raya cover

JOHOR BAHRU, 22 Apr. – Tidak lengkap rasanya kemeriahan Syawal di UTM tanpa acara Majlis Tautan Ukhuwah Syawal yang diadakan saban tahun. Untuk edisi kali ini, UTM melalui Pusat Islam UTM (PIUTM) selaku penganjur, meneruskan konsep kelestarian melalui inisiatif membawa bekas makanan sendiri bagi tujuan pengambilan juadah sepanjang majlis berlangsung.

Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dalam ucapan perasmiannya berkata, “Penerapan pembudayaan elemen ISES khususnya elemen kelestarian (sustainability) berkaitan alam sekitar, penjimatan dalam perbelanjaan dan ikatan sosial sesama manusia, wajar terus dilaksanakan dalam program-program anjuran Universiti.

“Saya juga menyokong penuh sambutan hari raya yang berasaskan kelestarian seperti ini. Dapat kita lihat banyak elemen ISES diterapkan pada majlis kita dengan hiasan yang menggunakan bahan yang boleh diguna semula. Sekalung penghargaan juga saya sampaikan buat semua jawatankuasa yang bertungkus lumus dalam menjayakan majlis meskipun dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini,” ujarnya.

Booth
Wajah ceria warga kerja UTM yang menunggu kehadiran tetamu untuk mengambil juadah yang telah disediakan

Sementara itu, Prof. Datuk Ahamd Fauzi turut menyeru semua warga kerja UTM mengambil peluang  ini untuk mempererat ukhuwah antara satu sama lain. Menurutnya lagi, meskipun beliau perlu bergegas ke Putrajaya seusai majlis ini, namun beliau tetap meluangkan masa untuk bersama-sama dengan warga UTM merasai kemeriahan program yang telah dirancang.

Bekas makanan raya
Prof. Datuk Ahmad Fauzi ketika menyantuni salah seorang staf UTM yang berkunjung sempena Majlis Tautan Ukhuwah Syawal UTM 2024

Dalam pada itu, Pengarah PIUTM, Prof. Madya Dr. Ahmad Che Yaacob turut memuji semangat semua pihak yang terlibat menjayakan Majlis Tautan Ukhuwah 2024 yang diadakan di Dataran UTM selain usaha menyokong agenda kelestarian yang diterjemahkan dalam pelaksanaan  acara ini.

Beliau berkata, “Tradisi membawa bekas makanan sendiri dalam mana-mana majlis dalam universiti wajar untuk diteruskan dalam menyokong rangka pembangunan zero waste society. Tradisi ini juga menjadi contoh buat insitusi lain dalam mewujudkan suasana kampus lestari dengan mengurangkan penggunaan bekas plastik sekali guna yang menyebabkan lambakan sampah selain memudahkan pengunjung membungkus makanan lebihan bagi mengelakkan pembaziran.

Selain agenda meraikan hari raya bersama, majlis ini juga turut dimeriahkan dengan adanya pertandingan booth raya antara fakulti dan jabatan serta pertandingan busana raya yang melibatkan semua warga kerja UTM yang hadir.

Majlis Tautan Ukhwah Syawal UTM tahun ini bukan sahaja menjadi platform untuk merapatkan silaturahim dalam kalangan warga UTM, sekali gus mencerminkan komitmen Universiti dalam mewujudkan kampus lestari.

Busana Terbaik Lelaki
Pemenang Busana Terbaik bagi kategori Lelaki
Busana Terbaik Wanita
Pemenang Busana Terbaik bagi kategori Wanita
Pemenang Booth Terbaik
Jabatan Canseleri muncul sebagai Pemenang Booth Raya Terbaik untuk edisi kali ini

Explore More