April 27, 2024

Search
Close this search box.

Pada 7 Januari 2021, Biro Kerohanian dan Sosial, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) UTM sesi 2020/2021 telah menganjurkan program Halaqah Ilmu Bulanan Siri 2 bertajuk #TillJannah menerusi aplikasi persidangan video Google Meet.

Program ini disertai oleh 100 orang mahasiswa yang rata-ratanya merupakan warga KTHO UTM sebagai pendedahan awal dan sedikit sebanyak memantapkan ilmu dan pengetahuan mereka mengenai asas fiqh munakahat. Program bermula pada pukul 7.45 malam, dengan perkongsian disampaikan oleh En. Mohd Fadthul Ikmal bin Misnal, Pembantu Felow KTHO UTM.

Perkongsian pada kali ini menyentuh elemen-elemen yang penting dalam persediaan sebelum pernikahan seperti konsep sakinah dan mawaddah, persoalan mengenai mahar dan hantaran, hukum-hukum pernikahan, peranan dan tanggungjawab suami dan isteri di sebalik ijab dan qabul, lafaz ta’liq dan lafaz sakinah.

Konsep pembubaran pernikahan seperti talaq, khuluq, fasakh serta statistik dan punca utama perceraian dalam kalangan pasangan muda di Malaysia turut dibentangkan untuk dijadikan iktibar, teladan dan pengajaran buat semua peserta. Program berakhir pada pukul 8.30 malam.

Kesimpulannya, program ini mendapat sambutan yang hangat daripada warga KTHO yang rata-ratanya sangat berpuas hati dengan pengisian yang disampaikan. Semoga perkongsian ini dapat dijadikan panduan oleh mahasiswa dalam usaha untuk membina keluarga yang sakinah dan mawaddah serta mendapat rahmat Allah S.W.T, sepertimana firmanNya di dalam Surah Ar-Rum, ayat ke-21:

‘’Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir’’.

Perkongsian Halaqah Ilmu Bulanan Siri 2 disampaikan oleh En. Mohd Fadthul Ikmal bin Misnal, Pembantu Felow KTHO UTM.
Tanggungjawab di sebalik lafaz ijab qabul, lafaz ta’liq dan lafaz sakinah antara kandungan utama pengisian program.
Peserta dan pendengar yang terdiri daripada mahasiwa dan mahasiswi KTHO UTM.
Infografik pengurusan, perancangan dan pelaksanaan program Halaqah Ilmu Bulanan Siri 2.

Explore More