JOHOR BAHRU, 19 Ogos – Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Unit Zakat telah melaksanakan sebanyak enam program bantuan kemanusiaan dengan menggunakan dana zakat universiti sepanjang Januari hingga Jun 2025.
Program ini dilaksanakan bertujuan untuk meringankan beban mahasiswa dan staf yang menghadapi kesulitan kewangan terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Menurut Ketua Unit Zakat dan Wakaf Pusat Islam UTM, Amir Irsyad Saim, dana zakat sebanyak RM500,000 telah diagihkan kepada penerima yang layak melalui pelbagai inisiatif dan aktiviti kemasyarakatan.
“Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk membantu mereka yang memerlukan di kalangan komuniti universiti, sekali gus mengukuhkan lagi budaya keprihatinan dan tanggungjawab sosial di kalangan mahasiswa dan staf,” katanya. Beliau berkata demikian ketika diwawancara sempena dengan Hari Kemanusiaan Sedunia 2025 oleh Pusat Pelestarian Kampus (UTMCCS) di pejabatnya hari ini.
Program yang dijalankan adalah Bantuan Zakat Sara Diri, Bantuan Yuran Pengajian, Latihan Industri, Bantuan Persekolahan (untuk anak Staf), Bantuan Komputer Riba, Charity Corner (Sudut Kebajikan) dan juga Santapan Jumaat.

Menurut Amir Irsyad lagi, antara program yang dilaksanakan termasuk pemberian bantuan kewangan kepada pelajar dan kakitangan yang kurang berkemampuan, sumbangan barangan keperluan asas (bantuan persekolahan), Sudut Kebajikan (makanan percuma diletakkan dalam almari dalam kawasan masjid UTM) serta program Santapan Jumaat yang melibatkan penyediaan juadah makan tengah hari secara percuma (100 pek makanan) selepas solat jumaat.
Amir Irsyad turut menyatakan bahawa inisiatif ini mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti universiti dan berharap ia dapat diteruskan serta diperkembangkan lagi pada masa akan datang.
“Kami merancang untuk mengadakan lebih banyak program dan aktiviti bantu-membantu yang berasaskan zakat ini untuk memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai golongan yang memerlukan.
“Kami juga berharap agar inisiatif ini dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara mahasiswa, staf serta pihak pengurusan universiti dalam membina suasana kampus yang saling menyokong dan prihatin,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun Amir menegaskan usaha yang murni ini tidak akan dapat dijalankan sepenuhnya jika pihak Unit Zakat kekurangan dana akibat kurangnya kesedaran dari kalangan warga UTM terhadap kewajipan berzakat.
“Dengan peruntukan yang mencukupi, pengagihan dana zakat yang sistematik dan berstrategi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan lebih banyak golongan yang memerlukan dapat dibantu sekali gus memberikan impak positif yang berpanjangan kepada komuniti universiti.
“Kami juga mengharapkan warga UTM supaya lebih cakna terhadap kewajipan membayar zakat dan mencarum serendah RM10 sebagai tanda mensucikan harta dan berkongsi sesama insan” katanya lagi.

Sambutan Hari Kemanusiaan Sedunia atau World Humanitarian Day yang diraikan pada 19 Ogos setiap tahun mempunyai maksud dan tujuan utama untuk menghormati dan mengiktiraf usaha serta pengorbanan para pekerja kemanusiaan di seluruh dunia. Hari Kemanusiaan Sedunia ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya bantuan kemanusiaan dalam menangani pelbagai krisis, konflik dan bencana alam yang melanda.

Mengutip dana zakat dan menggunakannya untuk membantu warga kampus yang berkelayakan adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan terkait dengan SDG 1, Tiada Kemiskinan; SDG 4, Pendidikan Berkualiti, dan SDG 10, Mengurangkan Ketidaksamaan. SDG 1 (Tiada Kemiskinan) bermaksud Dana zakat yang dikumpulkan dan disalurkan kepada warga kampus yang berkelayakan sekali gus membantu mereka mengatasi kekurangan ekonomi dan memastikan mereka mampu memenuhi keperluan asas termasuk pendidikan dan keperluan harian. Bagi SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) pula membawa maksud bantuan zakat kepada pelajar berkelayakan dalam memastikan golongan ini dapat terus belajar tanpa halangan kewangan dan menyokong akses kepada pendidikan berkualiti. Selain itu, ia juga menyumbang kepada SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksaksamaan) dengan membantu mengurangkan jurang ekonomi dan pendidikan di kalangan warga kampus.