📝 Ringkasan
UTM mengadakan Festival Kerjaya Premium UTM 2026 (UTMPEARL 2026) untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memperkasa hubungan universiti dan industri. Festival ini menampilkan 75 syarikat terkemuka dari dalam dan luar negara, termasuk 15 syarikat dari Singapura, yang menawarkan peluang kerjaya berpendapatan premium, latihan industri, dan jaringan profesional kepada pelajar dan graduan. UTMPEARL 2026 diharapkan dapat melahirkan graduan berkualiti tinggi, kompeten, dan bersedia memenuhi keperluan pasaran kerja global.
JOHOR BAHRU, 15 April – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh agenda pembangunan bakat negara menerusi penganjuran Festival Kerjaya Premium UTM 2026 (UTMPEARL 2026), sekali gus menjadi platform strategik dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkasa hubungan universiti dan industri.
Festival tahunan yang berlangsung selama dua hari di Dataran UTM itu menghimpunkan 75 syarikat terkemuka dari dalam dan luar negara, termasuk 15 syarikat dari Singapura, sekali gus membuka pelbagai peluang kerjaya berpendapatan premium, latihan industri serta jaringan profesional kepada pelajar dan graduan.
Antara syarikat yang mengambil bahagian termasuk pemain industri global dalam sektor teknologi, kejuruteraan dan tenaga termasuklah Obayashi Singapore Pte Ltd, United Microelectronics Corporation, OKP Holdings Limited, Wilmar (PGEO Edible Oils Sdn Bhd), PTTEP Sarawak Oil Limited dan Convergint Malaysia Sdn Bhd. Penyertaan ini mencerminkan keyakinan tinggi industri terhadap kualiti graduan UTM serta keupayaan institusi itu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Majlis perasmian festival yang disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, menegaskan penganjuran UTMPEARL bukan sekadar karnival kerjaya, sebaliknya sebuah platform pemadanan bakat yang berimpak tinggi.

Beliau berkata, program itu berperanan menghubungkan secara langsung bakat muda dengan keperluan industri semasa, sekali gus mempercepatkan proses peralihan graduan ke alam pekerjaan.
“UTMPEARL 2026 bukan sekadar festival kerjaya, tetapi platform strategik yang menghubungkan bakat muda dengan keperluan industri secara langsung, di samping mempercepatkan kebolehpasaran graduan secara lebih sistematik,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Menurut beliau, dunia pekerjaan kini berubah dengan pantas sejajar kemunculan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan, sekali gus menuntut universiti memainkan peranan sebagai pemudah cara ekosistem bakat yang menyeluruh.
“Universiti tidak lagi boleh berfungsi secara silo, sebaliknya perlu bergerak sebagai ‘talent ecosystem enabler’ yang menghubungkan pembelajaran, industri dan masa depan kerjaya secara langsung,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata penganjuran program seumpama itu terbukti memberi impak positif, dengan rekod penyertaan ribuan pelajar dan graduan serta penawaran lebih 1,000 peluang pekerjaan dan latihan industri dalam edisi terdahulu.
Katanya, pencapaian itu bukan sahaja membuktikan relevansi UTMPEARL, malah mengukuhkan peranannya sebagai pemangkin penting dalam menyediakan laluan kerjaya yang lebih jelas kepada graduan.
Dalam masa sama, festival itu turut dilihat selari dengan keperluan pembangunan ekonomi negeri Johor, khususnya melalui inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam pelbagai sektor strategik.
UTMPEARL 2026 turut menampilkan pelbagai pengisian berimpak termasuk sesi perkongsian kerjaya bersama tokoh industri, forum alumni serta peluang keusahawanan yang memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar mengenai realiti dan keperluan pasaran kerja masa kini.
Dalam ucapannya, Prof. Ts. Dr. Ali turut menekankan bahawa tanggungjawab membangunkan bakat negara perlu digalas secara kolektif oleh universiti, industri dan mahasiswa sendiri.
Beliau berkata, universiti perlu memastikan kurikulum sentiasa relevan dan berteraskan keperluan masa hadapan, manakala industri pula berperanan sebagai rakan strategik dalam membentuk graduan melalui latihan, bimbingan dan perkongsian kepakaran.
“Mahasiswa pula perlu memanfaatkan platform seperti ini untuk membina keyakinan diri, memahami realiti industri dan meneroka laluan kerjaya masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, Ben Ho, berakata pertambahan bilangan sayrikat yang menyertai UTMPearl pada tahun ini mencerminkan kepercayaan tinggi ndustri terhadap kualiti graduan UTM.
Menurutnya lagi dengan penyertaan Syarikat dari Singapura telah membuka peluang rentas sempadan dalam penawaran kerja termasuklah menawarkan gaji premium kepada para graduan UTM.
Penganjuran UTMPEARL 2026 turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Talentbank dan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), selain penajaan daripada syarikat utama seperti Huawei, Delta Electronics, Convergint dan IQIP.
Dengan komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan universiti-industri, UTM optimis festival tahunan ini akan terus menjadi pemangkin utama dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi, kompeten dan bersedia memenuhi keperluan pasaran kerja global.
Sumber foto: Talentbank