📝 Ringkasan
Suasana di universiti mempunyai daya tarikan tersendiri yang tidak hanya terletak pada keindahan seni bina atau reputasi program akademik, tetapi pada budaya ilmu yang hidup dalam persekitarannya. Budaya ilmu ini dapat dirasai hampir di mana-mana, dari membaca di perpustakaan hingga berbincang di koridor. Kecintaan terhadap ilmu dan pembelajaran ini dikenali sebagai philomathy, yang menggambarkan keseronokan menimba ilmu tanpa mengharapkan ganjaran.
Suasana di universiti mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Daya tarikan ini bukan semata-mata terletak pada keindahan seni bina, reputasi program akademik atau pencapaian para sarjananya, tetapi pada budaya ilmu yang hidup dalam persekitarannya. Minat terhadap ilmu, sifat ingin tahu dan keterbukaan dalam bertukar-tukar pandangan menjadikan universiti sebuah tempat yang istimewa. Dalam persekitaran sebegini, pembelajaran menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.
Menariknya, budaya ilmu di universiti dapat dirasai hampir di mana-mana. Ada yang tekun membaca di perpustakaan, ada yang bersemangat bertukar-tukar pandangan di dewan kuliah, malah ada yang membincangkan sesuatu perkara di koridor atau sambil menikmati secawan kopi. Perbualan yang pada mulanya bersahaja ada kalanya membuka ruang kepada penemuan ilmu baharu. Wujud keseronokan tersendiri apabila berada dalam kalangan mereka yang gemar bertanya, meneroka dan berusaha memahami sesuatu daripada pelbagai sudut pandang.
Kecintaan terhadap ilmu dan pembelajaran ini dikenali sebagai philomathy. Istilah ini menggambarkan keseronokan menimba ilmu tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Bagi mereka yang memiliki kecintaan ini, belajar tidak semestinya untuk lulus peperiksaan, memperoleh kelayakan akademik, meningkatkan kerjaya atau mendapatkan pengiktirafan profesional. Kepuasan hadir apabila mereka memahami sesuatu yang sebelum ini tidak diketahui, mengenali bidang ilmu yang berbeza atau menemukan idea yang mengubah cara mereka berfikir. Mengetahui sesuatu yang baharu sudah cukup untuk menggembirakan mereka. Umpamanya, program bedah buku dan wacana intelektual daripada program Telaah UTM yang melibatkan perbincangan tentang pemikiran, falsafah dan pembangunan ilmu.

Pandangan ini selari dengan pemikiran John Henry Newman dalam karyanya, The Idea of a University. Menurut beliau, peranan universiti tidak terbatas kepada usaha menyediakan seseorang untuk memasuki alam pekerjaan. Keistimewaan universiti terletak pada pertemuan manusia daripada pelbagai latar belakang yang membawa pengalaman, pandangan dan minat terhadap bidang ilmu yang berbeza. Seseorang bukan sahaja belajar melalui pembacaan dan pengajaran di dalam bilik kuliah, tetapi juga daripada orang di sekelilingnya.
Pertemuan dan pertukaran pandangan inilah yang membentuk budaya ilmu di sesebuah universiti. Budaya ini turut melahirkan suatu bentuk persahabatan yang berasaskan minat terhadap ilmu atau intellectual camaraderie. Keseronokan wujud apabila dapat berkongsi sesuatu yang baru diketahui dengan seseorang yang turut berminat mengenainya. Perbezaan pendapat pula memberi ruang kepada seseorang untuk menilai semula pandangannya. Minat terhadap sesuatu bidang timbul hanya kerana mendengar seseorang bercerita dengan penuh semangat mengenainya. Daripada perkongsian sebegini, terbentuk hubungan yang bukan sahaja berasaskan persahabatan, tetapi juga minat bersama terhadap ilmu.
Budaya ilmu di universiti juga tidak terbatas kepada ruang pembelajaran formal. Kafeteria, kedai kopi, taman, dan ruang membaca sering menjadi tempat berlangsungnya perbincangan santai. Hal ini bertepatan dengan konsep third places yang diperkenalkan oleh Ray Oldenburg, iaitu ruang pertemuan sosial selain rumah dan tempat kerja. Dalam konteks universiti, ruang sebegini membolehkan warga kampus berinteraksi dan berkongsi pandangan dalam suasana yang lebih santai. Ada kalanya, perbualan sambil menikmati secawan kopi memberikan pengalaman pembelajaran yang sama bermaknanya seperti mengikuti sebuah kuliah.

Persekitaran fizikal universiti turut menyumbang kepada suasana ini. Ketenangan perpustakaan, deretan rak buku, koleksi arkib, ruang membaca dan seni bina bangunan akademik mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Penghargaan terhadap suasana keilmuan ini turut dapat dilihat melalui gerakan estetik kontemporari seperti Light Academia dan Dark Academia. Kedua-duanya menggambarkan kecintaan terhadap ilmu dan kehidupan akademik melalui pendekatan yang berbeza.
Light Academia menonjolkan keceriaan dan keseronokan dalam menimba ilmu, manakala Dark Academia lebih dekat dengan suasana perpustakaan yang tenang, perenungan falsafah dan kegiatan membaca hingga larut malam. Suasana keilmuan sebegini turut dapat dinikmati di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), khususnya di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS).
Perpustakaan yang berkonsepkan penyelidikan dan dirasmikan pada 30 September 2014 ini menyediakan persekitaran yang kondusif untuk aktiviti membaca, menulis dan meneroka ilmu. Lebih istimewa, pada tahun 2014, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Canselor UTM, telah menyumbangkan lebih daripada 2,600 naskhah bahan bacaan daripada koleksi peribadi baginda bagi membangunkan Koleksi Raja Zarith Sofiah. Sumbangan ini mencerminkan kecintaan baginda terhadap buku dan ilmu serta kemurahan hati dalam berkongsi khazanah intelektual dengan warga universiti. Semangat inilah yang mendasari konsep philomathy, iaitu menikmati keseronokan menimba ilmu dan menghargai pengetahuan sebagai sesuatu yang bernilai dalam kehidupan.

Universiti juga merupakan tempat pertemuan manusia daripada pelbagai latar belakang budaya dan disiplin ilmu. Kepelbagaian ini memberi peluang kepada seseorang untuk mengenali cara berfikir yang berbeza daripada kebiasaannya. Seseorang tidak semestinya perlu mendalami sesuatu bidang untuk menghargai ilmu yang terkandung di dalamnya. Menghadiri kuliah di luar bidang pengajian sendiri atau berbual dengan seseorang tentang bidang kepakarannya merupakan antara cara untuk menikmati pengalaman pembelajaran di universiti. Semua ini boleh dilakukan atas dasar minat dan rasa ingin tahu semata-mata.
Di sinilah letaknya keistimewaan kehidupan di universiti. Di UTM, pengalaman keilmuan sebegini dapat dinikmati oleh ahli akademik dan mahasiswa menerusi pelbagai kegiatan. Penganjuran Syarahan Perdana Profesor, seminar dan wacana intelektual membuka peluang kepada warga universiti untuk mendengar perkongsian ilmu daripada sarjana pelbagai bidang. Dalam kalangan mahasiswa pula, penglibatan dalam persatuan, kelab, pertandingan inovasi dan program mobiliti antarabangsa memberikan kesempatan untuk berinteraksi dengan rakan daripada latar belakang pengajian dan budaya yang berbeza.
Seseorang tidak perlu menjadi sarjana terkemuka atau memiliki pencapaian akademik yang luar biasa untuk menikmati suasana keilmuan tersebut. Memadai dengan menghargai persekitaran yang menggalakkan manusia mencari ilmu, mengemukakan persoalan dan berkongsi pengetahuan. Keseronokan itu boleh hadir ketika membaca di perpustakaan, berbincang dengan rakan atau memahami sesuatu perkara yang sebenarnya tidak pernah diwajibkan untuk dipelajari.

Menjadi sebahagian daripada komuniti yang menghargai ilmu memberikan kepuasan tersendiri. Pengalaman menimba ilmu boleh hadir melalui perkara-perkara kecil dalam kehidupan seharian di kampus. Perbualan santai, perkongsian bahan bacaan dan pertukaran pandangan sesama warga universiti turut memperkaya pengetahuan serta pemahaman seseorang. Kecintaan terhadap universiti turut tumbuh daripada suasana dan budaya ilmu yang terbentuk melalui kehidupan warganya. Alangkah indahnya berada dalam persekitaran yang menjadikan kegiatan membaca, bertanya, berfikir dan berkongsi ilmu sebagai suatu kebiasaan. Suasana sebegini memupuk keseronokan menimba ilmu sehingga pembelajaran menjadi sebahagian daripada kehidupan yang dinikmati dengan penuh kerelaan.
Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia