📝 Ringkasan
Projek Azolla UTM di SK Taman Kepong, Kuala Lumpur, telah berjaya mengintegrasikan pertanian mampan dan pembelajaran berasaskan pengalaman. Sistem Azolla Recirculating Aquaculture System (ARAS) menggabungkan penanaman Azolla dengan penternakan ikan tilapia merah dalam satu sistem kitaran yang menggabungkan pengurusan air, penghasilan sumber makanan ikan dan aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman. Projek ini membantu mengurangkan pembaziran air, mengurangkan kebergantungan terhadap dedak komersial dan meningkatkan kemahiran praktikal, komunikasi dan keusahawanan murid PPKI.
Bermula daripada usaha mencari penyelesaian terhadap peningkatan kos penternakan ikan dan sistem yang lebih lestari di sekolah, tumbuhan akuatik Azolla Microphylla (spesis disahkan melalui analisis DNA) kini dimanfaatkan dalam pendekatan pertanian mampan dan pendidikan inklusif menerusi pemindahan ilmu serta teknologi oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menerusi Dana Program Pemindahan Ilmu-Geran Teknologi Penyelidikan (KTP-RIG) Dana Komuniti@UniMADANI, penyelidik daripada Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), UTM memperkenalkan Azolla Recirculating Aquaculture System (ARAS) kepada warga Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kepong, Kuala Lumpur.

Sistem berkenaan mengintegrasikan penanaman Azolla dengan penternakan ikan tilapia merah dalam satu sistem kitaran yang menggabungkan pengurusan air, penghasilan sumber makanan ikan dan aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman.
Menurut Ketua Projek Penanaman Azolla, Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah Muhamad, projek itu dibangunkan bagi membantu pihak sekolah meneroka kaedah penternakan yang lebih mampan, di samping memperkenalkan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman kepada murid, khususnya dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).


Sebelum pelaksanaan projek itu, pihak sekolah berdepan beberapa cabaran dalam menguruskan aktiviti penternakan ikan, termasuk peningkatan kos dedak komersial yang memberi kesan kepada perbelanjaan operasi. Sistem ternakan yang digunakan sebelum ini turut menimbulkan isu berkaitan kualiti air dan bau yang kurang menyenangkan, sekali gus menyukarkan usaha mengekalkan projek dalam jangka panjang.
Pada masa yang sama, guru PPKI sentiasa mencari pendekatan pembelajaran praktikal bagi merangsang kemahiran psikomotor, komunikasi, serta interaksi sosial murid berkeperluan khas. Pembelajaran berasaskan pengalaman secara langsung ini amat penting, terutamanya jika diiringi elemen penjanaan pendapatan agar projek dapat bertahan dalam jangka panjang dan mudah diselenggara.
Keperluan tersebut menjadi asas kepada pembangunan sistem ARAS yang menggabungkan elemen pertanian mampan, pengurusan sumber air dan pembelajaran berasaskan pengalaman dalam satu platform yang boleh dimanfaatkan oleh warga sekolah disamping membantu janaan ekonomi buat sekolah.
“Melalui sistem berkenaan, Azolla berperanan menyerap air yang kaya nutrien daripada kolam ternakan ikan ini untuk tumbesarannya (mampu menggandakan keseluruhan biojisimnya dalam tempoh dua hingga enam hari sahaja di bawah keadaan persekitaran yang optimum) di samping Azolla membantu membuat saringan penyingkiran nitrogen (TN), logam berat dan fosforus (TP) sebelum air tersebut dikitar semula,” ujarnya.
Pendekatan itu membantu mengurangkan pembaziran air serta mewujudkan sistem pengurusan ternakan yang lebih mampan, bersepadu dan lestari.
Selain itu, Azolla mempunyai kandungan protein yang tinggi dan nutrien seimbang yang berpotensi dimanfaatkan sebagai sebahagian daripada sumber makanan bagi tumbesaran ikan, sekali gus menyokong usaha mengurangkan kebergantungan terhadap dedak komersial.
Sepanjang sesi yang dijalankan, murid didedahkan kepada kaedah penanaman Azolla, pengurusan sistem ARAS dan penyelenggaraan kolam ternakan sebelum mempraktikkan sendiri teknik berkenaan menggunakan kemudahan yang dibangunkan di kawasan sekolah.

Sesi latihan turut merangkumi penghasilan pelet berasaskan Azolla, pemantauan kualiti air dan pengurusan ternakan secara sistematik. Bagi membolehkan murid memahami keseluruhan proses pengoperasian dengan berkesan, proses pembelajaran ini dibimbing dengan modul khas yang dibangunkan sendiri oleh pasukan penyelidik UTM.
Menurut pasukan penyelidik, penggunaan Azolla sebagai sebahagian daripada sumber makanan ikan berpotensi mengurangkan penggunaan dedak komersial antara 30 hingga 40 peratus, sekali gus membantu mengurangkan kos operasi penternakan, khususnya bagi sekolah dan komuniti yang melaksanakan projek berskala kecil.
“Sistem ARAS juga hanya memerlukan penggunaan tenaga elektrik yang minimum untuk mengendalikan pam kitaran air, sekali gus berpotensi menjadi pilihan yang lebih menjimatkan dari segi penggunaan sumber berbanding sistem penternakan yang memerlukan pengurusan air secara lebih kerap,” tambahnya lagi.
Pendekatan itu turut memberi nilai tambah kepada pengurusan ternakan apabila sistem kitaran air membantu mengekalkan keadaan air kolam pada tahap yang lebih terkawal, di samping menyokong persekitaran ternakan yang sesuai.
Di SK Taman Kepong, pelaksanaan sistem ARAS menunjukkan perkembangan positif dalam pengurusan projek penternakan sekolah. Selain membantu menguruskan operasi ternakan, hasil tuaian tilapia merah daripada fasa awal projek berjaya dipasarkan kepada warga sekolah dan komuniti setempat, sekali gus memberi pendedahan kepada murid-murid PPKI mengenai asas keusahawanan dan pengurusan hasil.

Pada masa yang sama, aktiviti menanam Azolla, menguruskan sistem ARAS, menghasilkan pelet makanan ikan dan memberi makanan kepada ternakan memberikan ruang kepada murid mengikuti pembelajaran berasaskan pengalaman serta memahami konsep sains melalui aktiviti sebenar di luar bilik darjah.
Menurut salah seorang guru PPKI, Abdul Wafiy Hasbullah, pendekatan itu membantu meningkatkan penglibatan murid dalam proses pembelajaran kerana mereka dapat melihat sendiri hubungan antara tumbuhan, air dan hidupan akuatik dalam satu sistem yang saling berkait.
Aktiviti yang dijalankan turut memberi peluang kepada murid mengembangkan kemahiran motor halus dan motor kasar melalui tugasan seperti menuai Azolla, mengendalikan peralatan mudah serta memberi makanan kepada ikan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Di samping itu, interaksi dengan persekitaran hijau dan aktiviti di luar bilik darjah memberikan suasana pembelajaran yang berbeza serta membantu murid memberikan tumpuan terhadap tugasan yang dijalankan,” kata guru PPKI.
Menurutnya lagi, projek berkenaan bukan sekadar memperkenalkan ilmu berkaitan pertanian mampan, malah menjadi medium untuk membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi dan menggalakkan murid PPKI berinteraksi dengan lebih aktif bersama rakan, guru serta pengunjung yang hadir melihat projek tersebut.

Perkembangan itu dapat dilihat melalui pengalaman seorang murid berusia 12 tahun, Syaheem Husayn Shaiful Aqlill, yang sebelum ini lebih selesa berada dalam kelompok kecil, namun kini berupaya berkongsi pengetahuan mengenai projek Azolla dengan tetamu yang melawat sekolah.
Menurut guru, penglibatan secara konsisten dalam aktiviti projek membantu meningkatkan keyakinan Syaheem untuk berkomunikasi, di samping memperkukuh pemahamannya terhadap konsep asas sains melalui pengalaman secara langsung.
Selain menerangkan fungsi Azolla dalam sistem ARAS, beliau juga berupaya menjelaskan secara ringkas kepentingan nutrien seperti protein dan nitrogen terhadap pertumbuhan tumbuhan serta ternakan ikan. Keupayaan ini membuktikan keberkesanan pembelajaran amali yang ditimbanya sepanjang projek berlangsung.
Menerusi pengurusan hasil jualan tilapia merah ini, murid-murid PPKI bukan sekadar belajar menternak, malah meraih pengalaman sebenar mengendalikan urus niaga kecil-kecilan. Pendedahan asas keusahawanan ini menjadi nilai tambah yang sangat berguna buat bekalan masa depan mereka.
Penglibatan dalam aktiviti berkenaan membantu murid mengenali proses pengeluaran hasil, pengurusan produk dan interaksi dengan pelanggan sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran yang sukar diperoleh hanya melalui kaedah pengajaran secara konvensional.

Lebih daripada memperkenal teknologi pertanian mampan, pendekatan itu memperlihat bagaimana penyelidikan universiti dapat diterjemahkan kepada aktiviti pembelajaran yang menghubungkan ilmu, kemahiran praktikal dan keperluan komuniti.
Melalui gabungan pertanian mampan dan pembelajaran berasaskan pengalaman, projek berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan kepada warga sekolah mengenai pengurusan sumber dan penternakan, malah membuka ruang kepada murid PPKI untuk membangunkan kemahiran praktikal, komunikasi dan keusahawanan dalam persekitaran pembelajaran yang lebih dekat dengan kehidupan sebenar.