Projek Square Foot Sirih Garden Kolej K9 & K10 pupuk keusahawanan pelajar sekolah

SDGSDG4SDG8SDG12SDG13SDG15

📝 Ringkasan

Kelab Keusahawanan Kolej 9 & 10, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan program kelestarian “Projek Square Foot Sirih Garden Kolej K9 & K10” di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abdul Rahman Yassin. Program ini bertujuan memberi pendedahan praktikal kepada pelajar mengenai teknik penanaman sirih moden dan membuka peluang penjanaan pendapatan melalui sektor pertanian. Hasil jualan daun sirih dijangka dapat membantu menjana pendapatan sekolah dan menyokong kebajikan pelajar.

JOHOR BAHRU, 11 April – Kelab Keusahawanan Kolej 9 & 10, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menganjurkan program kelestarian inovatif dikenali sebagai “Projek Square Foot Sirih Garden Kolej K9 & K10” yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abdul Rahman Yassin.

Program ini bertujuan memberi pendedahan secara praktikal kepada pelajar mengenai teknik penanaman sirih moden, di samping membuka peluang penjanaan pendapatan melalui sektor pertanian. Secara umumnya, pasaran daun sirih mempunyai potensi ekonomi yang tinggi dengan nilai semasa sekitar RM8 bagi setiap ikat yang mengandungi 100 helai daun.

Majlis perasmian Projek Square Foot Sirih Garden K9 & K10 di SMK Dato’ Abdul Rahman Yassin

Menurut Pengarah Program merangkap Pengerusi Kelab, Risshee Kannan, inisiatif ini dilaksanakan bagi menyantuni pelajar sekolah melalui pendekatan kelestarian alam sekitar, inovasi berasaskan tumbuhan herba serta pemerkasaan keusahawanan. Hasil jualan daun sirih dijangka dapat membantu menjana pendapatan sekolah di samping menyokong kebajikan pelajar.

Risshee Kannan selaku Pengarah Program merangkap Pengerusi Kelab menyampaikan taklimat kepada pelajar sekolah

Kejayaan program ini turut didorong oleh jalinan kolaborasi strategik bersama pihak industri, Aliyah Rizq Farm Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Balathandautham Masilamani dan Suguna. Mereka berkongsi kepakaran dalam teknologi tanaman moden serta menyumbangkan sebanyak 60 anak pokok sirih. Daripada jumlah tersebut, 40 anak pokok diserahkan kepada pihak sekolah manakala 20 anak pokok ditanam di Rumah Aktiviti Pelajar, Kelab Keusahawanan Kolej 9 & 10.

Penyerahan sijil jaringan kolaborasi antara UTM, sekolah dan industri

Program ini turut mendapat sokongan daripada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Madya Ts. Dr. Abdul Rahman Tamuri selaku Pengetua Kolej 9 & 10, serta Siti Fawziah Mohd Noor sebagai penasihat kelab. Turut menyumbang ialah barisan felow kolej iaitu Dr. Muhammad Fadli Ghani, Shamsul Azli Shamsuray dan Rahizah Abd Rahiman. Komitmen tinggi ahli jawatankuasa kelab menjadi antara faktor utama kejayaan pelaksanaan program ini.

Kerjasama erat pihak pengurusan SMK Dato’ Abdul Rahman Yassin turut memastikan kelancaran program, dengan sokongan Pengetua, Mohammad Khairul Nizam Abu Hassan serta Komathy Letchumanan sebagai penyelaras program serta Narizan Abdullah sebagai penolong penyelaras.

Lebih membanggakan, pelaksanaan projek ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Bandar dan Masyarakat Mampan), dan SDG 15 (Kehidupan di Darat). 

Diharapkan inisiatif kelestarian ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak projek hijau berimpak tinggi pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh peranan universiti dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti dan kesejahteraan alam sekitar.

Sesi penanaman sirih melibatkan wakil UTM, sekolah dan industri
Tanaman sirih sebagai simbol usaha kelestarian dan peluang ekonomi

Explore More

UTM Open Day