UTM terajui transformasi digital SMK Taman Universiti menerusi projek Sekolah Angkat MADANI

SDGSDG4SDG8SDG9SDG16

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyerahkan Projek Sekolah Angkat MADANI kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti (SMKTUN) dengan nilai RM100,000. Projek ini bertujuan meningkatkan transformasi digital dan akademik di sekolah tersebut. UTM telah melaksanakan beberapa inisiatif berimpak tinggi, termasuk projek naik taraf Bilik Bestari dan kemudahan ICT di sekolah.

JOHOR BAHRU, 11 April – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju inovasi serta pemangkin transformasi digital komuniti melalui penyerahan rasmi Projek Sekolah Angkat MADANI kepada SMK Taman Universiti (SMKTUN).

Inisiatif ini bukan sekadar simbolik kerjasama strategik, malah mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam menjayakan agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri menerusi pendekatan Whole-of-Government.

Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Fakhrul Zafran ABSL Kamarul Azman, selaku Wakil Rasmi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, bersempena Mesyuarat Agung PIBG kali ke-31 dan Hari Anugerah Cemerlang sekolah berkenaan.

Upacara penyerahan Sekolah Angkat MADANI antara UTM dan SMK Taman Universiti

Majlis turut dihadiri Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), Prof. Dr. Johari Surif selaku Wakil Rasmi Naib Canselor UTM; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, Hj. Kamaruzaman Abdullah; Pengetua SMK Taman Universiti, Hj. Saiful Azizi Mohammad Yasin dan Yang Dipertua PIBG SMK Taman Universiti, Ariff Ibrahim.

Sebagai agensi pelaksana, menerusi peruntukan RM100,000 yang telah diterima daripada Kerajaan, UTM telah melaksanakan usaha-usaha memperkasa transformasi digital dan akademik di SMK Taman Universiti.

Peruntukan ini telah dimanfaatkan secara strategik melalui pelaksanaan beberapa inisiatif berimpak tinggi, sejajar dengan keperluan pendidikan masa hadapan yang semakin berteraskan teknologi.

Lawatan tetamu kehormat ke Bilik Bestari SMK Taman Universiti

Antara inisiatif utama yang telah direalisasikan termasuk projek naik taraf Bilik Bestari dan kemudahan ICT di sekolah. Projek tersebut berjaya merealisasikan kewujudan bilik darjah pintar yang lebih kondusif melalui penambahan dua unit pendingin hawa, perabot baharu, sistem pembesar suara, serta pemasangan 24 unit titik capaian (AP) bagi memastikan capaian WiFi yang menyeluruh di setiap blok sekolah.

Suasana Bilik Bestari SMK Taman Universiti selepas proses naik taraf

Di samping itu, UTM turut membangunkan sistem pengurusan data bersepadu yang merangkumi Modul Buku Pemantauan Kelas dan Kehadiran, Modul Pencapaian Kokurikulum, Modul Unit Peperiksaan, Modul Penggunaan Bilik Bilik Khas, Modul Data Pelajar dan Guru, Modul Kehadiran Guru AKP, Modul Unit Peperiksaan dan Modul Pinjaman dan Pemulangan Buku Teks, sekali gus mempertingkat kecekapan tadbir urus sekolah.

Paparan dashboard sistem pengurusan data bersepadu SMK Taman Universiti yang dibangunkan oleh penyelidik UTM

Dalam masa yang sama, peruntukan yang diterima oleh pihak sekolah telah dimanfaatkan dalam bentuk penganjuran Program Perkampungan MADANI Kecemerlangan SPM 2025.

Pelaksanaan siri program bimbingan akademik dan motivasi ini khusus untuk calon SPM 2025, bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan pelajar dalam menghadapi peperiksaan serta membuka laluan ke pendidikan tinggi.

Dalam ucapannya, Prof. Dr. Johari menegaskan bahawa pemilihan SMK Taman Universiti sebagai rakan strategik adalah bertepatan dengan rekod kecemerlangan sekolah tersebut sejak penubuhannya pada tahun 1994.

“Hari ini, dengan bilangan pelajar yang besar dan komuniti yang aktif, sekolah ini merupakan rakan strategik yang ideal bagi UTM untuk berkongsi kepakaran dan melaksanakan program-program yang memberi impak langsung kepada pelajar dan guru,” ulas Prof. Johari.

Beliau turut menekankan bahawa pemanfaatan teknologi dalam pendidikan bukan sahaja meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP), malah mampu menjadikan pengalaman pembelajaran lebih interaktif dan bermakna.

Melalui pelaksanaan Projek Sekolah Angkat MADANI ini, UTM berharap jalinan kerjasama antara universiti, pihak sekolah dan PIBG akan terus diperkasa secara mampan. Inisiatif ini bukan sahaja mempertingkat kemudahan fizikal, malah menyemarakkan aspirasi dan keyakinan pelajar untuk mencapai kecemerlangan holistik, merangkumi aspek akademik dan sahsiah.

Sesungguhnya, penyerahan ini menjadi bukti bahawa sinergi erat antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti setempat merupakan asas penting dalam merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, keterangkuman dan kemajuan pendidikan untuk semua.

Explore More

UTM Open Day