📝 Ringkasan
Pelajar Tahun 2 dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah meraih pingat emas di I.D.E.A Fair 2026 dengan kajian bertajuk Bara-X: Eco-Friendly and Sustainable Fire Retardant Paint. Kajian tersebut mengetengahkan formulasi cat kalis api yang lebih mesra alam dan berasaskan bahan mapan. Pasukan ini telah berjaya menonjolkan hasil kajian melalui penyampaian yang jelas dan meyakinkan. Kejayaan ini bukanlah yang pertama bagi kumpulan tersebut dan telah meningkatkan keyakinan mereka untuk menyampaikan hasil kajian dengan lebih berkesan.
NIBONG TEBAL, 11 April – Sekumpulan pelajar Tahun 2 dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih pingat emas di acara berprestij I.D.E.A Fair 2026 yang berlangsung di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Nibong Tebal, Pulau Pinang.
I.D.E.A Fair 2026 merupakan acara tahunan anjuran USM yang menjadi platform kepada penyelidik, ahli industri, ahli akademik dan pereka cipta untuk menonjolkan hasil inovasi masing-masing. Bertemakan Sustainovation for a Greener Nation, penganjuran tahun ini memberi penekanan kepada elemen kelestarian dalam pembangunan inovasi. Program ini berlangsung pada 11 hingga 12 April 2026 dan telah dirasmikan oleh Prof. Ir. Dr. Mariatti Jaafar selaku Pengarah Kampus Kejuruteraan USM.
Pasukan yang dianggotai Azam Fahmi Ahmad Fazli, Muhammad Faris Muhammad Anas, Muhammad Hafizuddin Mustapa dan Muhd Isyraff Ihsan Azahari, masing-masing pelajar Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian, mempertaruhkan kajian bertajuk Bara-X: Eco-Friendly and Sustainable Fire Retardant Paint. Projek tersebut mengetengahkan formulasi cat kalis api yang lebih mesra alam dan berasaskan bahan mapan, dengan potensi aplikasi dalam sektor pembinaan serta keselamatan kebakaran.

Pertandingan ini menghimpunkan lebih 40 penyertaan daripada sekolah rendah, sekolah menengah serta institusi pengajian tinggi. Dengan bimbingan penasihat kumpulan, Dr. Mohd Haziq Dzulkifli, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM, pasukan ini berjaya menonjolkan hasil kajian melalui penyampaian yang jelas dan meyakinkan.
Menurut Muhd Isyraff Ihsan, kajian yang dijalankan berfokus kepada isu kebakaran dalam kalangan masyarakat luar bandar, di samping menekankan elemen kelestarian yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan. Pendekatan ini menjadikan inovasi yang dihasilkan bukan sahaja praktikal, malah relevan dengan keperluan semasa.
Kejayaan ini bukanlah yang pertama bagi kumpulan tersebut. Mereka sebelum ini pernah meraih pingat emas dan anugerah tapak pembentangan terbaik di Engineering Research Symposium (EuRES) dan International Fusion Invention Research Exhibition Competition (i-FIRE) yang berlangsung di University of Wollongong Malaysia (UOW), Shah Alam pada November 2025. Selain itu, mereka turut mewakili fakulti dan universiti di International Undergraduate Innovation Competition 2025 (IUIC’25) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, dan berjaya meraih pingat perak.

Muhammad Hafizuddin berkata pengalaman menyertai pertandingan sebelum ini telah meningkatkan keyakinan mereka untuk menyampaikan hasil kajian dengan lebih berkesan. Azam Fahmi turut menjelaskan bahawa pasukan telah menambah baik kajian melalui beberapa ujian tambahan bagi memperkukuh keberkesanan formulasi cat kalis api yang dibangunkan.
Dr. Mohd Haziq Dzulkifli menyifatkan pencapaian tersebut sebagai sesuatu yang membanggakan memandangkan para pelajar masih berada pada Tahun 2 pengajian. Beliau turut menekankan bahawa penglibatan dalam aktiviti luar bilik darjah seperti pertandingan inovasi mampu mengasah kemahiran insaniah serta meningkatkan daya saing pelajar.
Secara keseluruhannya, kejayaan yang diraih oleh pasukan Bara-X bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM, malah membuktikan keupayaan mereka dalam menghasilkan inovasi berimpak tinggi yang relevan dengan keperluan industri dan masyarakat. Pencapaian ini turut menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus aktif dalam penyelidikan dan inovasi, sekali gus memperkukuh peranan UTM sebagai peneraju dalam pembangunan bakat teknikal dan penyelesaian lestari.