📝 Ringkasan
Program Adab Intelektual UTM Cawangan Kuala Lumpur telah mengadakan sesi perbincangan tentang kelestarian dan adab alam sekitar. Sesi ini menampilkan perbincangan tentang isu jejak karbon dan bagaimana setiap individu dapat berperanan dalam mengurangkan kesan perubahan iklim melalui tindakan harian. Program ini juga menekankan pentingnya amalan penggunaan sumber secara berhemah dan pengurangan pembaziran.
KUALA LUMPUR, 14 April – Program Adab Intelektual: Library On Air @KSJ: Sembang Siswa Siri 1/2026 merupakan inisiatif anjuran Perpustakaan UTM Cawangan Kuala Lumpur dengan kerjasama Kolej Siswa Jaya (KSJ) serta Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP). Program ini menampilkan perbincangan santai namun sarat dengan pengisian bermakna mengenai isu semasa berkaitan kelestarian, yang diperkasakan melalui penglibatan aktif pelajar sebagai suara utama kampus, khususnya dalam membincangkan isu adab dan tanggungjawab terhadap alam sekitar selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Sesi ini dikendalikan oleh moderator, Muhammad Farkhin Abd Baser, pelajar Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), bersama dua panel jemputan iaitu Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip, Timbalan Pengarah Pusat Pelestarian Kampus UTM Cawangan Kuala Lumpur, serta wakil pelajar, Naufal Al-Harith Muhammad Fiso dari Fakulti Kecerdasan Buatan.
Menerusi kupasan isu yang mendalam sepanjang sesi, topik jejak karbon tidak hanya dilihat dari sudut teknikal semata-mata, malah diangkat sebagai sebahagian daripada elemen adab dan pembentukan sahsiah pelajar. Pendekatan ini secara langsung menyokong SDG 13, Tindakan terhadap Perubahan Iklim dengan menekankan bahawa setiap individu memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan perubahan iklim melalui tindakan harian.
Dalam menghuraikan isu jejak karbon, Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip turut menegaskan bahawa setiap aktiviti harian seperti penggunaan tenaga elektrik, pilihan mod pengangkutan dan pengurusan sisa makanan memberi impak besar kepada ekosistem. Perbincangan ini turut berkait rapat dengan SDG 12, Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab yang menggalakkan amalan penggunaan sumber secara berhemah serta pengurangan pembaziran.

Budaya di Kolej Siswa Jaya menjadi contoh praktikal bagaimana nilai adab diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Inisiatif seperti pengurangan penggunaan plastik sekali guna, ketiadaan penyedut minuman di premis makanan serta amalan membawa bekas sendiri mencerminkan usaha ke arah SDG, 11 Bandar dan Komuniti Mampan. Perubahan ini menunjukkan bahawa tindakan kecil yang konsisten mampu membentuk ekosistem kampus yang lebih lestari.
Selain itu, Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip juga menyarankan amalan mudah seperti berjalan kaki dari kolej kediaman ke kampus utama sebagai langkah mengurangkan pelepasan karbon. Amalan ini bukan sahaja menyokong SDG 13, malah turut menyumbang kepada SDG 3, Kesihatan Baik dan Kesejahteraan melalui galakan gaya hidup aktif dalam kalangan warga kampus.
Dari perspektif pelajar, Naufal mengakui bahawa tahap kesedaran dalam kalangan warga kampus semakin meningkat, namun cabaran utama masih terletak pada aspek konsistensi amalan. Isu seperti penggunaan pendingin hawa secara berlebihan serta kebergantungan kepada perkhidmatan penghantaran makanan menunjukkan masih wujud jurang antara pengetahuan dan amalan. Dalam konteks ini, pendidikan berterusan dan kesedaran sivik amat penting bagi menyokong SDG 4, Pendidikan Berkualiti, khususnya dalam membentuk nilai dan sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Kehadiran kira kira 120 peserta yang terdiri daripada mahasiswa KSJ dan warga kerja menunjukkan minat tinggi komuniti kampus terhadap isu kelestarian. Penglibatan aktif peserta sepanjang sesi turut mencerminkan semangat kolaboratif yang sejajar dengan SDG 17, Perkongsian untuk Matlamat, di mana kerjasama antara pelajar, institusi dan komuniti menjadi pemangkin kepada perubahan yang lebih mampan.
Sebagai kesimpulan, perbincangan ini membawa mesej penting bahawa agenda kelestarian bukan sekadar matlamat global, tetapi bermula daripada akar umbi iaitu peribadi setiap individu. Di kampus seperti KSJ, pelajar bukan sekadar penerima ilmu, malah berperanan sebagai agen perubahan. Perubahan tersebut harus bermula dengan elemen teras yang sering terlepas pandang iaitu adab terhadap alam sekitar, selaras dengan prinsip pembangunan mampan yang inklusif dan berterusan.