Disember 2, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at

MPUTM semarakkan Ramadan terap konsep kelestarian edar bubur lambuk

JOHOR BAHRU, 26 Mac – Majlis Profesor Universiti Teknologi Malaysia (MPUTM) dengan kerjasama Unit Endowment UTM dan Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS) telah menyahut seruan semarak Ramadan dengan menyediakan lima periuk besar bubur lambuk untuk diagih-agihkan kepada warga kampus terutamanya pelajar.

Sumbangan dan agihan ini dilaksanakan di UTMJB dan UTMKL dengan semangat menjadikan bulan Ramadhan sebagai wadah paling sempurna mendidik jiwa dan hati yang pemurah kepada golongan yang memerlukan.

WhatsApp Image at
Petugas dari UTMCS dan Sukarelawan UTM bergandingan tangan dalam menjayakan Program Agihan Bubur Lambuk MPUTM.

Pengerusi MPUTM, Prof. Sr. Dr. Mazlan Hashim berkata sumbangan infak Ramadan pada kali ini julung-julung kali dianjurkan secara bersama oleh MPU bagi menyantuni warga kampus dan tanda solidariti kumpulan Profesor UTM mengenai sumbangan bersasar ini.

”Melalui program menginfakkan bubur lambuk ini, warga kampus dipelawa secara beramai-ramai mengambil juadah ini yang bakal disediakan menggunakan konsep “bawa bekas sendiri”.

WhatsApp Image at
Pengunjung yang ingin mendapatkan bubur yang disediakan harus membawa bekas sendiri. Pendekatan ini diambil bagi mengurangkan penggunaan plastik dalam kampus UTM.

”Konsep ini membantu warga kampus supaya lebih cakna mengenai polisi “larangan penggunaan plastik sekali-guna” yang telah dilaksanakan sejak tahun 2019. Warga kampus secara tidak langsung akan memperkasakan budaya lestari dan mengamalkan budaya kampus bebas plastik terutama yang melibatkan sebarang bentuk agihan makanan dan bantuan edaran berkaitan,” katanya.

Pengagihan bubur lambuk ini telah dilaksanakan secara bergotong-royong oleh staf Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS), Sukarelawan UTM dan juga Pusat Islam UTM (PIUTM) dan berlangsung di sebuah gazebo bersebelahan dengan Masjid Sultan Ismail (MSI).

WhatsApp Image at
Pengunjung beratur panjang bagi mendapatkan bubur lambuk yang disediakan.

Turut serta dalam gotong-royong ini adalah Pengarah UTMCS, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md. Din, Timbalan Pengarah UTMCS, Dr. Zanariah Jasmani, Penolong Pengarah PIUTM, Dr. Naemah Hamzah dan juga Penolong Pendaftar Kanan UTMCS, Kiflee Jimpi.

Selain 26 Mac, program agihan bubur lambuk anjuran MPUTM ini juga akan berlangsung di kampus Johor Bahru pada 28 Mac dan juga 2 April manakala di kampus Kuala Lumpur program yang sama akan berlangsung pada 27 Mac. Inisiatif pengagihan bubur lambuk menggunakan bekas yang boleh diguna semula menunjukkan UTM sangat komited dalam menyokong hasrat kerajaan dalam melahirkan masyarakat sifar sampah.

WhatsApp Image at
Pengunjung yang beratur ketika ingin mendapatkan bubur yang disediakan.
WhatsApp Image at ()
Tenaga kerja dari MPUTM, UTMCS, MSIUTM dan Sukarelawan UTM yang menjayakan Program Agihan Bubur Lambuk MPUTM

Explore More