April 28, 2024

Search
Close this search box.
jpnj

FABU rai Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor

JOHOR BAHRU, 1 Feb. – Makmal Hidup UTM-JPNJ memulakan tahun baru 2024 dengan menganjurkan mesyuarat pertama pada tahun 2024 serta sesi pembentangan hasil penyelidikan Program Kempen Kredit Karbon 2023 yang bertempat di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YBrs. Prof. Sr. Dr. Kherun Nita Ali selaku Dekan FABU turut dihadiri oleh YBrs. Prof. Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi & Pembangunan) FABU, Yang Berhormat Dato’ Salim Aman, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), YBhg. Encik Abd. Ramlizauyahhudin Mahli, Timbalan Pengarah JPNJ, Dr. Nurul Hawani Idris, Ketua Makmal Hidup UTM-JPNJ, serta ahli-ahli Makmal Hidup UTM-JPNJ yang terdiri daripada ahli dari UTM dan pegawai JPNJ.

n
Bersama Pengarah JPNJ dan Dekan FABU

Ketua Program Kempen, Sr. Dr. Abd. Wahid Rasib telah membentangkan hasil kajian dan dapatan penyelidikan Program Kempen Kredit Karbon 2023 yang telah berjaya dijalankan pada 15-23 Ogos 2023 tahun lalu bertempat di Hutan Simpan Panti Kota Tinggi, Johor. Program kempen ini mengambil masa selama 8 hari, manakala aktiviti pemprosesan data berlangsung selama satu bulan setengah. Data bagi pengukuran karbon biomass yang dicerap menggunakan kaedah konvensional dan teknologi geospatial oleh peserta Program Karbon Kredit, diselia oleh pegawai dan renjer JPNJ dan serta staf dan penyelidik daripada Jabatan Geoinformasi, FABU.

n
Mesyuarat dihadiri oleh pegawai kanan daripada Jabatan Perhutanan Negeri, barisan pentadbiran FABU dan pensyarah UTM sebagai ahli Makmal Hidup

Hasil dapatan kajian daripada 1 hektar plot dibesarkan (upscaling) kepada plot 48 hektar menggunakan teknologi remote sensing. Dengan menggunakan pengiraan allometrik biomass model (Above Ground Biomass), stok karbon yang dianggarkan untuk plot tersebut boleh mencapai 5700 tan/hektar dengan nilai USD 171,000. Namun menurut Dr. Wahid, beberapa plot lain perlu diwujudkan untuk menambah ketepatan data yang diperolehi hasil daripada model yang dibangunkan. Plot di dalam hutan jenis lain juga boleh diwujudkan bagi membangunkan model pengiraan karbon yang lebih menyeluruh bagi mewakili hutan-hutan di Malaysia, khususnya negeri Johor.

n
Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Dato’ Hj Salim Aman mengetuai delegasi daripada Jabatan Perhutanan Negeri

Menyedari pentingnya usaha sama yang berterusan dengan impak jangka masa panjang bagi kedua-dua entiti UTM dan JPNJ, Makmal Hidup UTM-JPNJ juga merancang untuk membangunkan Pelan Induk makmal hidup bagi tempoh 10 tahun akan datang agar initiatif yang dirancang selaras dengan misi dan pelan perancangan JPNJ, kerajaan negeri dan persekutuan, yang akan diketuai oleh Prof. Ir. Dr. Mohd Fadhil Md Din, selaku penasihat Makmal Hidup UTM-JPNJ. Pelan Induk Makmal Hidup UTM-JPNJ yang bakal diwujudkan ini menjadikan sebagai perintis pelan induk Makmal Hidup yang merupakan kolaborasi di antara Universiti-Agensi seumpamanya di Malaysia.

Pembentangan Hasil Program Karbon Kredit dibantu oleh Dr. Radhie Salleh, En. Mohamad Jahidi Osman dan Dr. Mohammad Zulkarnain Abdul Rahman

Explore More