April 28, 2024

Search
Close this search box.

LADS cipta sejarah lahirkan 49 graduan Pascasiswazah sempena MK67

JOHOR BAHRU, 23 Nov. – Bersempena dengan istiadat Majlis Konvokesyen ke-67 (MK67) yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah (Land Administration and Development, LADS) telah mencipta sejarah dengan mengraduasikan seramai 49 pelajar pascasiswazah pada majlis berkenaan.

Daripada bilangan tersebut, enam orang pelajar adalah graduan Doktor Falsafah Bidang Penyelidikan, sembilan orang pelajar adalah graduan Sarjana Falsafah Bidang Penyelidikan dan seramai 34 orang pelajar adalah Sarjana (Kerja Kursus).

Empat orang pelajar Sarjana (Kerja Kursus) telah berjaya dinobatkan sebagai pelajar Terbaik yang telah diraikan oleh pihak Sekolah Pengajian Siswazah apabila berjaya mencapai keputusan yang cemerlang bagi keseluruhan semester pengajian.

Sebahagian daripada mahasiswa ini telah mendapat tajaan pengajian dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di bawah Program Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) secara penuh mahupun separa penuh. Selain itu, terdapat graduan yang mendapat tajaan dari Kerajaan Negeri Johor dan juga dengan pembiayaan sendiri sepenuhnya.

 

Tambahan lagi, sebahagian besar dari pelajar ini juga adalah yang bekerja dan mengikuti pengajian pada hujung minggu.  Menggalas tanggungjawab sebagai seorang pelajar, pekerja dan bekeluarga dalam satu-satu masa merupakan cabaran yang tinggi bagi pelajar pasca-siswazah. Pasti terdapat rahsia disebalik kejayaan mereka ini. Rata-rata pelajar menyatakan salah satu rahsia adalah perlu adanya sokongan yang padu dari keluarga, kesabaran dan ketabahan yang tidak berkesudahan bagi membuahkan kejayaan ini.

Sesungguhnya pelajar-pelajar ini telah mengalami proses pembelajaran ketika pandemik COVID-19 dan pasca pandemik yang sangat sukar, namun atas bantuan para pensyarah dalam menyediakan proses pembelajaran yang terbaik, ia tidak  menghalang atau mematahkan semangat para pelajar untuk terus berjuang demi mengejar kejayaan.

Moga dengan lahirnya graduan dalam bidang ini dapat memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan Pentadbiran dan Pembangunan tanah yang lebih efisien, dengan mengaplikasi ilmu-ilmu yang telah dipelajari sepanjang tempoh pengajian. Tahniah kepada semua graduan Pasca-Siswazah Pentadbiran dan Pembangunan Tanah!!

Explore More