Disember 24, 2024

JOHOR BAHRU, 30 Jun – Program Sarjana Muda Sains Geoinformatik dengan Kepujian yang ditawarkan di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mendapat pengiktirafan akreditasi penuh daripada Majlis Akreditasi Teknologi dan Teknikal (TTAC) dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

MBOT adalah salah satu badan profesional yang memberikan pengiktirafan profesional kepada Teknologis dan Juruteknik dalam bidang berkaitan teknologi dan teknikal. 

Program ini merupakan program sarjana muda pertama yang mendapat pengiktirafan akreditasi penuh daripada MBOT di UTM.

Akreditasi Penuh merupakan perakuan rasmi kepada Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) bahawa sijil, diploma atau ijazah yang akan dianugerahkan kepada graduan adalah selaras dengan standard yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysia Qualification Agency – MQA).

Pengiktirafan ini juga melayakkan graduan-graduan Sarjana Muda Sains Geoinformatik dengan Kepujian ini untuk mendaftar sebagai Teknologis Profesional Berkelayakan di bawah MBOT sejurus tamat pengajian.

Ini akan menyaksikan graduan-graduan ini berpotensi untuk diiktiraf sebagai profesional untuk menjadi pakar industri Geospatial dan Sains Maklumat Geografi (GISc) sebagai Teknologis Profesional (Ts.)

Dengan pengiktirafan ini juga membuktikan program ini mampu menghasilkan graduan-graduan yang berkualiti dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, terutama dalam bidang Geospatial dan GISc. 

Ketua Task Force Akreditasi Penuh TTAC-MBOT, Dr. Azman Ariffin memberikan penerangan berkenaan program.
Sesi perbincangan antara panel TTAC-MBOT bersama ahli Program.

Oleh: Zakri Tarmidi

Sr Gs. Dr. Mohammad Zakri bin Tarmidi merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Alam Bina & Ukur UTM.

Explore More