📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengukuhkan kedudukannya di persada antarabangsa menerusi penglibatan aktif staf akademiknya dalam Program Hari Terbuka 3CL dan Festival Pembelajaran Sepanjang Hayat 2026 anjuran Universiti Brunei Darussalam. Prof. Madya Ts. Dr. Asnul Dahar Minghat, pengucap utama dan ahli panel forum, menegaskan bahawa pembelajaran sepanjang hayat kini merupakan satu keperluan asas dalam mendepani perubahan pesat dunia pekerjaan dan transformasi teknologi.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan kedudukannya di persada antarabangsa menerusi penglibatan aktif staf akademiknya dalam Program Hari Terbuka 3CL dan Festival Pembelajaran Sepanjang Hayat 2026 anjuran Centre for Lifelong Learning (3CL), Universiti Brunei Darussalam (UBD). Program ini menjadi platform penting dalam mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat serta memperluas jaringan kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi serantau.
Kehadiran Prof. Madya Ts. Dr. Asnul Dahar Minghat sebagai pengucap utama dan ahli panel forum mencerminkan keupayaan serta kepakaran akademik UTM dalam bidang Recognition of Prior Learning (RPL) yang semakin mendapat perhatian di peringkat global. Dalam ucaptamanya, beliau menegaskan bahawa pembelajaran sepanjang hayat kini merupakan satu keperluan asas dalam mendepani perubahan pesat dunia pekerjaan dan transformasi teknologi.

Menurut Prof. Madya Ts. Dr. Asnul, “Pembelajaran tidak lagi terbatas kepada bilik darjah, sebaliknya pengalaman kerja, pembelajaran kendiri dan penglibatan komuniti merupakan sumber ilmu yang signifikan dan wajar diiktiraf secara sistematik melalui pendekatan Recognition of Prior Learning.”
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan tersebut berfungsi sebagai mekanisme penting dalam mengiktiraf pembelajaran tidak formal dan informal tanpa menjejaskan standard akademik. Pelaksanaannya memerlukan pendekatan strategik dan berstruktur, termasuk pembangunan dasar yang jelas, latihan kepada staf akademik, penggunaan platform digital serta penglibatan aktif pihak industri.
“RPL bukanlah satu jalan pintas, sebaliknya satu proses penilaian berasaskan bukti yang mengekalkan integriti akademik dan memastikan kesetaraan dengan program formal,” tambah beliau lagi.
Dalam sesi forum yang turut menampilkan pakar akademik dan wakil industri antarabangsa, beliau menggariskan lima prinsip utama pelaksanaan RPL iaitu penjajaran dengan hasil pembelajaran, penilaian berasaskan bukti, integrasi dalam kurikulum, pengekalan ketegasan akademik serta latihan khusus kepada staf akademik. Perbincangan ini turut menekankan keperluan mengambil kira keunikan setiap bidang pengajian bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya.
Sesi forum ini turut menampilkan Dr. Nik Ani Afiqah Mohamad, Timbalan Pengarah 3CL, bersama dua ahli panel lain iaitu Tuan Hj Mohammad Jaafar Haji Johari, Ketua Akademik, L3C, Kementerian Pendidikan Brunei dan Dr. Shaikh Khalid Shaikh Haji Ahmad, CEO Kumpulan Syarikat Serikandi, Brunei.

Program ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UBD, Yang Mulia Dr. Hazri Haji Kifle dan dihadiri oleh barisan kepimpinan universiti, wakil kementerian, institusi pengajian tinggi, sektor industri serta mahasiswa. Pelbagai aktiviti telah dianjurkan sepanjang program termasuk pameran pendidikan, sesi perkongsian ilmu dan konsultasi akademik yang memberi manfaat kepada para peserta.
Secara keseluruhannya, penglibatan UTM dalam program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara institusi, malah menyerlahkan peranan universiti dalam memacu agenda pembelajaran sepanjang hayat di peringkat global. Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi UTM untuk menjadi institusi berimpak tinggi yang menyumbang kepada pembangunan modal insan yang inklusif, fleksibel dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
