📝 Ringkasan
Seorang profesor berkongsi pengalaman beliau sebagai mahasiswa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 2000-an. Beliau mengingati kehidupan di kolej kediaman sebagai tempat yang tidak hanya menyediakan tempat tinggal, tetapi juga sebagai tempat pembentukan jati diri, kehidupan, dan persahabatan. Kolej kediaman memainkan peranan penting dalam membina jaringan sosial yang merentas bidang pengajian, latar belakang, dan budaya.
Saya mengambil keputusan untuk kembali bekerja lebih awal selepas lebih seminggu bercuti sempena Aidilfitri. Banyak urusan yang tertangguh sebelum cuti, dan sebelum kampus kembali sibuk, saya memilih untuk menyelesaikan segala yang tertangguh terlebih dahulu. Pagi itu, saya melalui laluan yang jarang saya gunakan, iaitu bermula dari Pintu Taman Sri Pulai, menyusuri jalan di sekitar kolej-kolej kediaman sebelum menuju ke fakulti. Suasana kampus masih lengang. Mahasiswa belum kembali, dan hanya kelihatan beberapa pekerja sedang memotong rumput serta mengecat bangunan sebagai persediaan menyambut penghuni baharu. Namun, saya tahu suasana ini akan berubah tidak lama lagi. Menjelang minggu ketiga kuliah, kampus akan kembali hidup dengan kehadiran mahasiswa selepas cuti semester dan diikuti pembelajaran dalam talian untuk dua minggu pertama kuliah.
Perjalanan pagi itu secara tidak langsung membawa saya kembali ke awal 2000-an, iaitu zaman saya sendiri sebagai mahasiswa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Saya merupakan antara kelompok terakhir lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terus melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda selama lima tahun tanpa melalui laluan matrikulasi, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), asasi atau diploma. Ketika itu, kemudahan kolej kediaman tidak sebanyak hari ini. Saya masih mengingati pengalaman ditempatkan sementara di Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) semasa Minggu Haluan Siswa sebelum dipindahkan ke Kolej Siswa Desa Skudai (KSDS), sebuah kolej luar yang disewa khas untuk pelajar lelaki. Seiring pertambahan jumlah pelajar saban tahun, UTM mula membangunkan lebih banyak kolej seperti Kolej Datin Seri Endon (KDSE), Kolej Dato’ Onn Jaafar (KDOJ), Kolej Tun Ghaffar Baba (KTGB), Kolej Perdana serta Kolej 9, 10 dan 11. Apabila memasuki tahun kedua, saya serta rakan sekursus berpeluang tinggal di dalam kampus iaitu bermula di Kolej 9 yang ketika itu merupakan kolej pelajar lelaki sebelum berpindah ke Kolej Tun Ghaffar Baba hingga tamat pengajian. Malah, saya turut berkhidmat sebagai pembantu felo di kolej tersebut ketika menyambung pengajian sarjana. Pengalaman itu bukan sekadar tentang tempat tinggal, tetapi tentang kehidupan, dan tentang persahabatan, kebersamaan, dan pembentukan jati diri.
Hakikatnya, kolej kediaman memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar menyediakan tempat berteduh. Di sinilah terbentuknya jaringan sosial yang merentas bidang pengajian, latar belakang dan budaya. Rakan-rakan yang saya kenali di kolej, yang bukan daripada kursus yang sama, kekal menjadi sebahagian daripada kehidupan saya hingga hari ini, diperkuatkan lagi oleh kemudahan teknologi dan media sosial yang menghubungkan kami kembali. Persahabatan itu terjalin apabila sama-sama berjalan kaki membeli makanan di kafe kolej, bersukan dan berjoging bersama-sama serta menyertai aktiviti di kolej. Hujung minggu di kolej kediaman sentiasa lebih meriah. Ada yang bermain futsal, ada yang menjadikan bilik rakan sebagai markas menonton filem menggunakan cakera padat di komputer, dan ada kalanya berkumpul di bangunan pentadbiran kolej untuk perbincangan bersama rakan sekursus perempuan. Dalam semua keadaan ini, peraturan kolej tetap dipatuhi, khususnya yang melibatkan interaksi antara pelajar lelaki dan perempuan.
Kolej kediaman menyediakan ekosistem yang menyokong perkembangan pelajar secara menyeluruh. Kehidupan bersama membuka ruang kepada interaksi harian yang bermakna iaitu sama ada melalui perbincangan akademik, aktiviti santai, mahupun program kolej. Persekitaran ini secara semula jadi membina semangat kekitaan, menjadikan pelajar tidak berasa terasing dalam perjalanan akademik mereka. Dari sudut akademik, kelebihan tinggal di kampus amat jelas. Akses mudah kepada perpustakaan, masjid, ruang pembelajaran, pusat kesihatan universiti, cafe serta bilik pensyarah memudahkan pelajar mendapatkan sokongan yang diperlukan. Pada masa yang sama, kewujudan kumpulan belajar dan program bimbingan memperkukuh lagi pencapaian akademik. Lebih daripada itu, kepelbagaian latar belakang pelajar turut menyumbang kepada pembinaan kefahaman silang budaya. Tinggal bersama rakan dari pelbagai negeri dan negara membuka ruang kepada pertukaran perspektif, sekali gus memperkayakan pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah.
Bagi pelajar, pengalaman di kolej kediaman hanya akan benar-benar bermakna jika mereka mengambil peluang untuk terlibat secara aktif. Menyertai aktiviti kolej, berinteraksi dengan rakan sebilik dan memanfaatkan ruang bersama adalah langkah penting dalam membina hubungan persahabatan yang berkekalan. Dalam masa yang sama, keseimbangan antara komitmen akademik dan kehidupan sosial perlu dijaga agar perkembangan diri berlaku secara seimbang. Jika dibandingkan dengan kehidupan di luar kampus, perbezaan paling ketara ialah dari segi semangat komuniti. Di kolej kediaman, interaksi berlaku secara organik dan berterusan, manakala kehidupan di luar kampus sering memerlukan usaha tambahan untuk membina jaringan sosial yang sama kukuh.
Natijahnya, kolej kediaman adalah sebahagian penting daripada pengalaman universiti, khususnya bagi pelajar prasiswazah. Ia bukan sekadar ruang fizikal, tetapi sebuah persekitaran yang membentuk keperibadian, memperkukuh hubungan sosial, dan menyokong kejayaan akademik. Dalam ruang inilah pelajar belajar menjadi individu yang lebih matang, iaitu bukan sahaja dari segi ilmu, tetapi juga dari segi kehidupan.
Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM