📝 Ringkasan
Tan Sri Datuk Profesor Emeritus Ir Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menyeru graduan untuk membangun keperibadian yang mulia, kuasai kemahiran komunikasi dan belajar memimpin daripada mereka yang lebih berpengalaman. Beliau menekankan bahawa keperibadian yang mulia membantu graduan membuat keputusan yang adil dan beradab, manakala kemahiran komunikasi membantu mereka menyampaikan idea dengan jelas dan efektif. Beliau juga menyeru graduan untuk mencari mentor dan belajar memimpin dengan kerendahan hati.
JOHOR BAHRU, 17 Nov. ─ “Bina keperibadian berteraskan iman, adab dan keadilan, kuasai kemahiran komunikasi serta belajar memimpin daripada mereka yang lebih berpengalaman.”
Itu tiga pesanan Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Datuk Profesor Emeritus Ir Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, kepada graduan sempena Majlis Konvokesyen UTM ke-70 yang berlansgung hari ini di UTM Johor Bahru.
Beliau dalam ucapannya berkata, tiga pesanan itu boleh dijadikan panduan ketika graduan memulakan kerjaya dan diberi tanggungjawab lebih besar dalam kehidupan sebenar.
Kejayaan menamatkan pengajian, katanya, membuktikan ketabahan dan daya tahan graduan, dua sifat yang akan terus diperlukan apabila mereka berdepan cabaran selepas meninggalkan universiti.
“Kelayakan akademik membuka pintu peluang, tetapi keperibadian menentukan bagaimana kita menggunakan peluang tersebut,” katanya.
Menurutnya, iman membimbing seseorang ketika berdepan pilihan sukar, manakala adab terserlah melalui cara seseorang menerima teguran, menjaga tutur kata dan menghormati orang lain.
Tambahnya lagi, bersikap adil menuntut seseorang membuat pertimbangan secara saksama, mengelakkan sikap pilih kasih dan memberikan hak kepada mereka yang berhak, lebih-lebih lagi apabila seseorang itu diberi kuasa membuat keputusan yang boleh memberi kesan kepada kehidupan orang lain.
“Orang yang berilmu tetapi tidak beradab sukar mendapat kepercayaan. Orang yang berkuasa tetapi tidak berlaku adil boleh menjejaskan kehidupan orang lain,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kemahiran berkomunikasi yang boleh menjadi pembeza dalam kalangan graduan apabila memasuki alam pekerjaan. Selain kelayakan akademik yang baik, kebolehan menerangkan idea rumit dengan bahasa mudah, menyampaikan pandangan dengan yakin dan membina persefahaman membantu sesuatu cadangan difahami dan diterjemahkan kepada tindakan dapat menyerlahkan kewibawaan seseorang.
“Komunikasi bukan sekadar petah bercakap. Ia bermula dengan mendengar untuk memahami, bertanya soalan yang tepat, memilih kata-kata yang sesuai dan mengetahui bila perlu bersuara,” katanya.
Beliau menggalakkan graduan merebut peluang membuat pembentangan, menyertai perbincangan dan bergaul dengan individu daripada pelbagai latar belakang. Pengalaman itu memberi ruang kepada mereka untuk belajar menyampaikan pandangan dengan tegas dalam masa yang sama kekal menghormati mereka yang berbeza pendapat.
Tan Sri Zulkifli turut menyeru graduan mencari mentor dalam kalangan pemimpin berpengalaman untuk memperkukuh kredibiliti diri. Dengan car aini graduan dapat mempelajari cara pemimpin menilai keadaan sebelum membuat keputusan, menangani perbezaan pendapat, mengurus tekanan dan menjaga kebajikan mereka di bawah tanggungjawabnya.
“Tidak semua pemimpin mempunyai pendekatan yang sama. Ambillah yang baik sebagai teladan, fikirkan secara kritis apa yang dipelajari dan bentuklah gaya kepimpinan saudara dan saudari sendiri. Yang penting, kekalkan kerendahan hati untuk terus menerima nasihat,“ ujarnya.
Tegas beliau lagi, kepimpinan bermula apabila seseorang sanggup mengambil inisiatif dan memikul tanggungjawab. Hal ini boleh dikaitkan dengan prinsip Quwah dan Amanah, yang menghimpunkan kebijaksanaan, kecekapan dan keberanian dengan kejujuran, rasa tanggungjawab dan akauntabiliti.
“Kepimpinan tidak bermula apabila seseorang diberikan jawatan atau pangkat. Ia bermula apabila kita bersedia memikul tanggungjawab, mengambil inisiatif dan menjadi insan yang boleh dipercayai. Namun, kebijaksanaan memimpin tidak dapat dibina melalui buku dan kuliah semata-mata. Banyak pelajaran penting datang daripada pengalaman orang lain,“ katanya.