📝 Ringkasan
Jon Xavier Nathaneal Lingai, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Elektronik dengan Kepujian dari Universiti Teknologi Malaysia cawangan Kuala Lumpur (UTMKL), telah mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kegiatan lain. Beliau telah menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu di Kuala Lumpur dan telah menjadi Duta Fakulti MJIIT selama empat tahun. Jon juga aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dan telah membina komuniti muzik bernama Pentas MJIIT. Beliau telah menyertai pertandingan inovasi antarabangsa dan telah mengembangkan prototaip turbin mini untuk merawat grey water.
JOHOR BAHRU, 16 November 2026 – “Keberanian untuk memulakan sesuatu yang kecil mampu membuka ruang kepada perkembangan diri yang lebih menyeluruh,” ujar Jon Xavier Nathaneal Lingai, yang merupakan Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Elektronik dengan Kepujian daripada Malaysia Japan International Institute Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia cawangan Kuala Lumpur (UTMKL).

Graduan yang berasal daripada Keningau, Sabah ini telah berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 2022 untuk melanjutkan pengajian.
Beliau merupakan antara graduan yang bakal menerima segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen Ke-70. Perjalanan sebagai seorang anak perantau telah membuka ruang kepada beliau untuk mencipta sesuatu yang bermakna, bukan sahaja untuk dirinya, malah untuk komuniti sekeliling.
Keputusan yang didorong oleh keinginannya untuk memperluas pandangan dan belajar di persekitaran yang baharu. Beliau turut mengikuti jejak dua abangnya yang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru (UTM JB).
Lebih penting, Jon berazam untuk membawa pulang ilmu yang bermanfaat balik ke negeri kelahirannya.Cabaran terbesarnya ialah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baharu.
Antara cabaran yang terbesar dihadapinya ialah menyesuaikan diri dengan kehidupan di ibu kota. Perbezaan kehidupan kampung halamannya dan hiruk-pikuk wilayah metropolitan Kuala Lumpur yang serba pantas menuntut beliau untuk keluar daripada zon selesa.
Namun, beliau menyedari bahawa cabaran sebenar kehidupan universiti bukan sekadar menyesuaikan diri dengan tempat baharu, tetapi membuat pilihan yang menentukan arah masa depan.
“Dalam kehidupan di universiti, kita sentiasa berhadapan dengan pilihan dimana memilih kawan yang membawa kepada kebaikan, memilih untuk meningkatkan jati diri dan menentukan sama ada mahu terus berada dalam keselesaan atau berusaha menjadi yang lebih baik,” jelasnya.
Sepanjang perjalanan itu, rakan sekelas turut menjadi sumber kekuatan beliau yang memabntu menghadapi pelbagai cabaran sebagai seorang pelajar perantau.Â
Di sebalik pencapaian akademik, antara pencapaian yang paling dekat di hati Jon ialah penubuhan Pentas MJIIT, sebuah komuniti muzik yang bermula daripada satu saranan ringkas.
Semuanya, bermula daripada selepas sesi orientasi dimana beliau menerima cadangan daripada Dekan Fakulti MJIIT ketika itu, Prof. Dr. Ali bin Selamat, untuk menubuhkan sebuah persatuan muzik.Â
Dengan bimbingan Dr. Fadzli Haniff, idea tersebut akhirnya direalisasikan melalui Pentas MJIIT.
Bagi Jon, usaha itu bukan sekadar mewujudkan ruang untuk pelajar berkongsi minat terhadap muzik, malah menjadi platform untuk membina hubungan, mengembangkan bakat dan menghidupkan suasana kesenian dalam komuniti kampus.
Walau bagaimanapun, membina sebuah komuniti bukanlah sekadar mengumpulkan individu yang mempunyai minat yang sama. Kepercayaan warga kampus dan pihak luar perlu dibina, manakala komitmen ahli perlu dipupuk secara berterusan.Â

Lebih membanggakan, platform tersebut membuka peluang kepada Jon untuk menjalinkan hubungan dengan penerbit muzik seperti Hisyam Hamzah dan Adeep Nahar, bekerjasama dengan artis tempatan termasuk SOG, Sheila Abdul dan Margosa serta membina hubungan dengan Universal Music Malaysia.
Walaupun tidak lagi menerajui kelab itu, beliau masih menjadi sistem sokongan yang penting kepada presiden baharu bagi memastikan legasi yang dibina terus berkembang.Â

Semangat untuk mencuba perkara baharu turut mendorong Jon untuk menyertai pertandingan berbentuk inovasi peringkat antarabangsa iaitu Rapid Prototype Development Multi-Challenge GNSS di Tokyo, Jepun dan Malaysia-Japan Linkages Japanese Chamber of Trade and Industry (MJL-JACTIM) Research Competition.
Penyertaan tersebut memberikan peluang kepada beliau untuk menguji kemampuan, bertukar idea dan memperoleh pengalaman dalam persekitaran yang lebih kompetitif.

Antara pengalaman teknikal yang bermakna ialah pembangunan prototaip turbin mini untuk merawat grey water daripada sinki dan pancuran mandi.
Projek tersebut pernah diterokai oleh pelajar senior terdahulu, namun belum berjaya menggerakkan turbin tersebut. Dengan mempelajari pemodelan tiga dimensi (3D) dan pembangunan prototaip, Jon berjaya merealisasikan fungsi turbin tersebut.
Di sebalik penglibatannya dalam pelbagai aktiviti, Jon mengakui dirinya sebagai seorang yang pendiam. Namun, personaliti tersebut tidak menghalangnya daripada menjadi Duta Fakulti MJIIT selama empat tahun serta aktif dalam aktiviti kesukarelawanan.
Baginya, kepimpinan bukan semata-mata tentang menjadi individu paling lantang, tetapi kesediaan mengambil tanggungjawab dan memberi manfaat kepada orang lain.
Pengalaman tersebut turut membantunya membina keyakinan diri serta mengembangkan kemahiran komunikasi dan kerjasama dalam pasukan.Â

Perjalanan Jon membuktikan bahawa kejayaan bukan hanya diukur melalui segulung ijazah, tetapi juga melalui pengalaman, keberanian dan sumbangan yang ditinggalkan.
Daripada Keningau ke Kuala Lumpur, seterusnya ke Tokyo, beliau telah membuktikan bahawa langkah kecil mampu membuka peluang yang lebih besar.
Seperti prinsip yang sentiasa dipegangnya, “Jangan takut, lawan”, yang merupakan kata nasihat daripada bapanya. Sebuah legasi tidak semestinya bermula dengan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya dengan keberanian untuk memulakan sesuatu.