UTM anjur Wacana Intelektual MADANI tekankan keperluan ekosistem semikonduktor bertaraf dunia

SDGSDG4SDG8SDG9SDG11

📝 Ringkasan

Program Wacana Intelektual MADANI Siri 3/2026 diadakan oleh Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan tema “Memacu Aspirasi Semikonduktor Malaysia: Membina Ekosistem Bertaraf Dunia”. Panel jemputan termasuk Dato’ Fong Swee Kiang, Prof. Ir. Dr. Muhammad Nadzir Marsono dan Muhammad Nor Azzafri Nor Azman. Mereka menekankan keperluan Malaysia untuk beralih dari penyedia perkhidmatan kepada pembangunan teknologi sendiri melalui pemilikan harta intelek (IP) yang dapat memberikan nilai ekonomi yang lebih tinggi.

JOHOR BAHRU, 31 Mac – Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Majlis Profesor UTM telah menganjurkan Program Wacana Intelektual MADANI Siri 3/2026 bertemakan “Memacu Aspirasi Semikonduktor Malaysia: Membina Ekosistem Bertaraf Dunia.” Program ini telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Prof. Dr. Jafri Din dan turut disiarkan secara langsung melalui platform Facebook rasmi fakulti.

Wacana ini menampilkan panel jemputan terdiri daripada Dato’ Fong Swee Kiang, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SkyeChip; Prof.Ir. Dr. Muhammad Nadzir Marsono, Profesor Kejuruteraan Elektronik dan Komputer; serta Muhammad Nor Azzafri Nor Azman, calon PhD. Sesi wacana ini dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain, Penolong Naib Canselor (Strategi dan Kesohoran Global).

Sesi wacana intelektual yang berlangsung di Fakulti Kejuruteraan Elektrik melibatkan panel akademik dan industri dalam membincangkan hala tuju pembangunan industri semikonduktor negara

Dalam sesi perbincangan tersebut, Dato’ Fong menekankan bahawa Malaysia tidak boleh terus kekal sebagai penyedia perkhidmatan dalam rantaian nilai. Sebaliknya, negara perlu beralih kepada pembangunan teknologi sendiri melalui pemilikan harta intelek (IP) yang mampu memberikan nilai ekonomi yang lebih tinggi. Beliau turut menegaskan bahawa keupayaan mempercepatkan proses pengkomersialan merupakan faktor penentu kejayaan, apabila idea yang baik perlu diterjemahkan kepada produk dalam tempoh yang singkat agar kekal relevan dalam pasaran global yang sentiasa berubah.

Selain itu, beliau menekankan bahawa pembangunan bakat perlu dilaksanakan secara berterusan dan tersusun, dengan universiti memainkan peranan penting dalam menyediakan graduan yang bersedia untuk industri. Dalam konteks ini, inisiatif seperti pembangunan makmal reka bentuk litar bersepadu (IC design) dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh keupayaan bakat tempatan. Pada masa yang sama, kejayaan Malaysia dalam bidang ini turut bergantung kepada kerjasama erat antara universiti, industri dan kerajaan serta keupayaan negara untuk terus berhubung dengan ekosistem global.

Sementara itu, Prof. Ir. Dr. Muhammad Nadzir menyorot cabaran utama dalam pembangunan penyelidikan semikonduktor, khususnya dalam bidang litar bersepadu yang kini berada pada tahap teknologi yang sangat maju. Beliau menjelaskan bahawa penyelidikan dalam bidang ini memerlukan komitmen jangka panjang, lazimnya antara lima hingga sepuluh tahun. Namun demikian, cabaran utama yang dihadapi ialah tempoh geran penyelidikan sedia ada yang kebanyakannya hanya dua hingga tiga tahun, sekali gus menyukarkan usaha menghasilkan dapatan yang signifikan. Tambahan pula, pembangunan teknologi semikonduktor memerlukan infrastruktur berimpak tinggi dengan kos yang sangat besar, merangkumi keseluruhan rantaian daripada reka bentuk hingga ke pengesahan cip.

Dalam hal ini, beliau mencadangkan agar Malaysia mempertimbangkan penubuhan fasiliti atau makmal semikonduktor di peringkat nasional yang boleh dikongsi oleh universiti dan industri. Isu akses kepada perisian reka bentuk turut dibangkitkan sebagai cabaran kritikal, memandangkan kos pelesenan yang tinggi menjadi kekangan kepada universiti untuk melatih lebih ramai pelajar dalam bidang ini. Beliau turut menegaskan bahawa pemilikan harta intelek mempunyai nilai komersial yang jauh lebih besar berbanding penerbitan akademik semata-mata, sekali gus menuntut perubahan dalam pendekatan penyelidikan dan penilaian prestasi pensyarah.

Dari perspektif industri dan akademia muda, Muhammad Nor Azzafri berpandangan bahawa kandungan kursus di universiti secara asasnya selari dengan keperluan industri, namun masih terdapat ruang penambahbaikan khususnya dari segi sokongan infrastruktur dan akses kepada teknologi terkini. Beliau turut menyokong cadangan penubuhan pusat kecemerlangan di peringkat nasional dengan pendekatan berasaskan hab bagi membolehkan perkongsian sumber dan kepakaran secara lebih berkesan.

Secara keseluruhannya, wacana ini merumuskan bahawa Malaysia perlu mengambil pendekatan yang lebih fokus dan strategik dalam membangunkan industri semikonduktor. Negara tidak perlu terlibat dalam keseluruhan rantaian nilai, sebaliknya perlu mengenal pasti bidang tumpuan dan memberi fokus kepada segmen berimpak tinggi, khususnya dalam reka bentuk dan pembangunan teknologi. Peralihan daripada model berasaskan pemasangan dan pengujian kepada pembangunan penyelesaian teknologi dilihat sebagai langkah penting untuk meningkatkan nilai ekonomi dan daya saing negara.

 

 

Oleh Prof. Ir. Dr. Md Pauzi Abdullah, Exco Majlis Profesor UTM

Explore More

UTM Open Day