Prof. Madya Dr. Loh bukti pembelajaran sepanjang hayat kunci kecemerlangan

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

Profesor Madya Dr. Loh Huai Seng, seorang ahli perubatan keluarga primer, telah membuktikan bahawa pembelajaran sepanjang hayat adalah kunci kecemerlangan dengan menerima Anugerah Pelajar Pascasiswazah Terbaik sempena Majlis Konvokesyen UTM Ke-70. Beliau telah melanjutkan pengajian dalam bidang Teknologi Pendidikan melalui program Sarjana Pendidikan (Teknologi Pendidikan) Open and Distance Learning (ODL) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

JOHOR BAHRU, 16 Nov 2026 – Semangat pembelajaran sepanjang hayat menjadi pemangkin kejayaan Dr. Loh Huai Seng, graduan program Sarjana Pendidikan (Teknologi Pendidikan) secara Open and Distance Learning (ODL), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), apabila menerima Anugerah Pelajar Pascasiswazah Terbaik sempena Majlis Konvokesyen UTM Ke-70.

Kejayaan ini membuktikan bahawa usaha menuntut ilmu tidak terhenti setelah seseorang mencapai kejayaan dalam kerjaya profesional, sebaliknya merupakan suatu proses yang berterusan untuk memperkasa pengetahuan, kemahiran dan kompetensi diri seiring dengan perkembangan semasa.

Lebih membanggakan, Dr. Loh Huai Seng yang merupakan seorang Profesor Madya dalam bidang Perubatan Keluarga Primer di Clinical School Johor Bahru, Monash University Malaysia telah memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Teknologi Pendidikan meskipun telah memiliki pengalaman luas serta pencapaian akademik yang tinggi.

Beliau sebelum ini memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBCh BAO) dari Ireland serta kelulusan kepakaran dalam bidang Perubatan Keluarga Primer melalui Fellowship of the Royal Australian College of General Practitioners (FRACGP), Australia. Keputusan untuk melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang Teknologi Pendidikan mencerminkan komitmen beliau terhadap pembangunan profesional berterusan, khususnya dalam memperkukuh pengetahuan berkaitan pedagogi, teknologi digital dan inovasi pendidikan.

Pembelajaran Sepanjang Hayat sebagai Budaya Kecemerlangan

Bagi Dr. Loh, pembelajaran sepanjang hayat bukan sekadar memperoleh kelayakan akademik tambahan, malah merupakan satu usaha untuk terus meningkatkan keupayaan diri dalam menghadapi perubahan landskap pendidikan tinggi yang semakin dinamik.

Menurut Dr. Loh, minat yang mendalam terhadap inovasi pengajaran serta perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dalam bidang pendidikan perubatan menjadi pemangkin utama beliau kembali bergelar pelajar. Tambahan pula, keperluan untuk melatih pelajar perubatan generasi baharu secara digital serta hasrat untuk menjadi pendidik yang lebih efektif mendorong beliau memperluas kepakaran melangkaui bidang klinikal sedia ada.

Pemilihan bidang Teknologi Pendidikan juga mencerminkan kesedaran terhadap kepentingan mengintegrasikan pendekatan pedagogi dan teknologi bagi meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Fleksibiliti ODL Membuka Peluang Pembelajaran Berterusan

Sepanjang mengikuti pengajian, Dr. Loh perlu mengimbangi tanggungjawab profesional sebagai ahli akademik dengan komitmen sebagai pelajar pascasiswazah. Melalui pendekatan ODL yang menawarkan fleksibiliti dari segi masa, lokasi dan kaedah pembelajaran, beliau berpeluang meneruskan pengajian tanpa perlu meninggalkan tanggungjawab kerjaya.

Program Sarjana Pendidikan (Teknologi Pendidikan) ODL di UTM juga menyediakan persekitaran pembelajaran yang menggabungkan penggunaan teknologi digital, interaksi pembelajaran dalam talian serta aktiviti pembelajaran kendiri bagi menyokong keperluan pelajar dewasa dan golongan profesional.

Pengalaman tersebut memperlihatkan bahawa pembelajaran secara fleksibel mampu menyediakan peluang kepada golongan profesional untuk meningkatkan kelayakan dan kompetensi tanpa mengabaikan tanggungjawab sedia ada.

Kecemerlangan Akademik Hasil Komitmen dan Ketekunan

Penerimaan Anugerah Pelajar Pascasiswazah Terbaik pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-70 merupakan pengiktirafan bermakna terhadap pencapaian akademik dan komitmen Dr. Loh sepanjang tempoh pengajiannya. Sepanjang mengikuti program tersebut, beliau berjaya memperoleh PNGK 4.00.

Dalam aspek akademik dan penyelidikan, beliau turut melaksanakan kajian bertajuk “The Relationship Between Technology-Related Motivation, Amotivation, and Technostress Among University Students”, di bawah penyeliaan Prof Madya Dr Mohd Shafie bin Rosli, yang memberi tumpuan kepada penilaian tahap tekanan teknologi (meliputi bebanan dan pencerobohan teknologi), motivasi dalaman dan luaran, serta amotivasi penggunaan teknologi, di samping menganalisis perkaitan antara faktor-faktor tersebut dalam kalangan pelajar universiti. Dapatan kajian ini penting bagi bidang Teknologi Pendidikan dalam memandu pendidik dan penggubal dasar untuk mengoptimumkan penggunaan teknologi pengajaran agar sentiasa menyokong motivasi pelajar serta mengurangkan risiko keletihan digital.

Kejayaan beliau mencerminkan kepentingan disiplin, ketekunan dan kesungguhan dalam mencapai kecemerlangan akademik, walaupun berhadapan dengan pelbagai komitmen profesional dan peribadi.

Inspirasi kepada Ahli Akademik dan Golongan Profesional

Kisah kejayaan Dr. Loh Huai Seng diharap dapat menjadi inspirasi kepada ahli akademik, pendidik dan golongan profesional untuk terus meningkatkan ilmu serta kompetensi diri tanpa mengira usia, pengalaman mahupun kedudukan kerjaya.

“Bagi saya, usia bukan penghalang untuk kita terus belajar dan jangan sesekali takut untuk bermula semula. Pengurusan masa yang berdisiplin serta sokongan keluarga merupakan tunjang utama dalam mengimbangi tanggungjawab kerjaya, kehidupan peribadi dan pengajian pascasiswazah. Langkah pertama mungkin terasa mencabar, namun dengan kesungguhan yang konsisten, setiap cabaran pasti dapat diatasi”, jelas beliau.

Pencapaian beliau turut menyerlahkan peranan program Sarjana Pendidikan (Teknologi Pendidikan) ODL UTM dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi yang fleksibel, inklusif dan relevan dengan keperluan pembelajaran sepanjang hayat.

Kejayaan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), UTM, malah memperkukuh aspirasi universiti dalam membudayakan pembelajaran berterusan serta melahirkan graduan yang berdaya saing dan sentiasa bersedia menghadapi perubahan dunia pendidikan.

Sesi konsultasi dan pengajaran klinikal bersama pelajar perubatan

Pembentangan ilmiah mengenai tajuk kajian sarjana di persidangan antarabangsa MMICHPE 2026

 

Penerimaan Anugerah Pelajar Pascasiswazah Terbaik sempena Majlis Konvokesyen UTM Ke-70.

Explore More

UTM Open Day