April 27, 2024

Search
Close this search box.

KTHO latih pelajar untuk lebih bersedia hadapi kebakaran

JOHOR BAHRU, 14 Jun – Biro Keselamatan dan Kesihatan, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) telah melaksanakan Program Latihan Kebakaran sebagai salah satu inisiatif keselamatan dan persiapan kecemasan di peringkat kolej.

Program ini menerima sokongan padu dan jitu dari Majlis Felo Merbauan (MAFAN), Bahagian Keselamatan UTM, Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE), dan Pusat Kesihatan Universiti (PKU).

Tujuan program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada penghuni kolej mengenai pengetahuan asas dalam menghadapi situasi darurat, terutamanya kebakaran. Latihan ini bertujuan untuk membantu para pelajar mengurangkan panik dan menjadi lebih bersedia dalam menangani keadaan kebakaran.

Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mempererat hubungan antara pihak MAFAN, JKM KTHO dan penghuni yang tinggal di Blok L12.

Sesi taklimat ringkas sebelum loceng penggera dibunyikan

Semasa program berlangsung, Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dapat memastikan seramai 232 orang penghuni blok dapat berkumpul di kawasan yang selamat dalam masa enam minit setelah penggera keselamatan dibunyikan.

Antara pengisian program ini adalah latihan memadamkan api dengan menggunakan alat pemadam api dengan teknik-teknik yang betul serta taklimat daripada Bahagian Keselamatan, PKU, dan OSHE.

Latihan memadamkan api menggunakan alat pemadam api oleh pengarah program
Sesi penyampaian cenderahati kepada Bahagian Keselamatan UTM

Sesi fotografi bersama penghuni-penghuni Blok L12

Diharapkan agar program yang dianjurkan ini dapat membantu dan memberikan pendedahan kepada penghuni-penghuni Blok L12 apabila berhadapan dengan situasi cemas pada masa akan datang.

Pendedahan mengenai langkah mengawal situasi cemas adalah penting untuk mengelakkan sebarang kecelakaan pada masa hadapan, walaupun perkara tersebut mungkin tidak berlaku sebagaimana kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’.

Oleh: Low Junyi (JKM KTHO) & Siti Nur Fatin Hakimah binti Ibnuzaman (penyunting)

Explore More