April 20, 2024

Search
Close this search box.

Belanjawan 2023: Pacu Daya Cipta Inovasi, Manfaat Komuniti

Oleh : Professor Datuk  Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan diperuntukkan RM 15.3 bilion untuk Belanjawan 2023. Sebanyak RM 428 juta diberikan untuk kegiatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi KPT dan Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI). Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM 50 juta diperuntukkan untuk R&D berbentuk penyelidikan translasional bagi menjana manfaat buat komuniti dan industri. Peruntukan yang akan diberikan ini amat penting untuk menjamin kelangsungan agenda Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersilan, dan Inovasi (RDCI), khasnya oleh Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia.

Selaras dengan Amanat Tahun 2023 Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin pada 30 Januari 2023, YB Menteri memberikan penekanan terhadap hasil penyelidikan yang mampu memberikan impak kepada komuniti dan industri.

Dokongan yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap agenda penyelidikan adalah amat dihargai. Peruntukan untuk R&D, termasuk R&D berbentuk penyelidikan translasional, akan memastikan agenda penyelidikan negara dapat mencapai hasrat membangun negara Malaysia Madani, melalui penyelidikan yang memberikan manfaat kepada rakyat terbanyak, khasnya keluarga B40 dan M40 yang memerlukan pembelaan.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa mengambil langkah mempersiap para penyelidik bagi menyahut seruan KPT untuk melakukan penyelidikan berimpak, termasuk penyelidikan translasional.

Pada masa kini, UTM telah dan sedang menjalankan projek-projek penyelidikan translasional. Antaranya ialah, projek Kebun Komuniti dalam program Bangsa Johor Bahagia bagi tujuan Keterjaminan Makanan, projek Masyarakat Rendah Karbon Iskandar bagi menangani Perubahan Iklim, projek Penjimatan Tenaga untuk Industri oleh UTM PROSPECT, dan projek penghasilan Air Bersih di sekolah Sabah dan Sarawak melalui teknologi membran dengan kepakaran UTM AMTEC, selain proses Kelestarian Sungai bagi Sungai Kim-Kim di Pasir Gudang, Johor dan Sungai Skudai.

Projek Perumahan Mampu Milik juga UTM laksanakan dengan penggunaan bahan-bahan mesra alam sekitar (eco-friendly) seperti buluh, plastic kitar semula, dan natural fiber sebagai bahan binaan. Disamping itu, projek inovasi sosial melalui Ternakan Kelulut Modular Inovasi UTM telah berjaya meningkatkan sosio-ekonomu golongan B40.

Ke depan, Daya Cipta para penyelidik akan terus diberikan penekanan, selaras dengan salah satu nilai teras Malaysia Madani. Daya cipta para penyelidik akan terjana dengan interaksi berterusan bersama industri dan komuniti dengan mengangkat kearifan tempatan (local wisdom) melalui dialog dua hala, serta kepercayaan (trust) terhadap penghasilan dan penggunaan teknologi tempatan untuk maslahah negara dan rakyat.

UTM komited terhadap agenda merakyatkan RDCI (Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersilan, dan Inovasi) selaras dengan tagline baharu UTM, “Menginovasi Penyelesaian” (Innovating Solutions) sebagai satu komitmen UTM menterjemah kepakaran teknologi untuk manfaat kerajaan, komuniti dan industri.

 

Explore More