Sebanyak 100 keluarga B40 di daerah Simpang Renggam berpeluang meningkatkan taraf hidup melalui projek komuniti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terbaharu iaitu Peningkatan Ekonomi B40 melalui Ternakan Kelulut Modular Inovasi UTM.

Pensyarah kanan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM, Dr Mohd Khairuddin Ramliy berkata di bawah program ini, sebanyak 100 keluarga B40 terpilih akan dibimbing dengan kaedah penternakan lebah kelulut secara inovatif melalui teknologi ‘Bee Modular’ yang dibangunkan oleh penyelidik UTM dengan fokus mendapatkan madu kelulut bagi dikomersilkan.

Bagi menjayakan agenda ini, sebuah ladang telah diwujudkan hasil kerjasama UTM dengan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) bagi menempatkan 100 rerumah pembiakan lebah kelulut yang diberikan kepada setiap peserta.

Diwawancara di Pejabat Hal Ehwal Korporat (HEK) UTM Johor Bahru, Dr Khairuddin berkata setiap keluarga akan diberikan satu set rerumah pembiakan yang dihasilkan dari bahan yang berketahanan tinggi dan mesra alam dan boleh ditempatkan di kawasan lapang yang terdedah kepada perubahan cuaca panas dan hujan.

Kaedah ini berbeza dengan cara konvensional di mana kekotak yang digunakan diperbuat dari kayu yang tidak tahan dengan perubahan cuaca di tempat lapang.

Ini kerana, rerumah ini dihasilkan dari konkrit khas melalui kaedah penyelidikan oleh penyelidik UTM, diketuai oleh Dr Khairuddin dan ia mampu mencapai ketahanan dari perubahan cuaca sehingga mencapai tempoh 10 tahun.

Menurut beliau, melalui program ini, UTM juga akan memberikan khidmat latihan berkaitan ilmu keusahawanan, perniagaan, pemasaran, penjenamaan, serta penghasilan produk hiliran berkaitan keluaran madu ternakan lebah kelulut kepada 100 peserta supaya mereka berupaya menjana pendapatan tambahan yang tinggi.

“Para peserta yang menyertai program ini akan dipantau dengan teliti dengan segala perkembangan dan kutipan hasil akan direkodkan.

Mereka dikehendaki menunjukkan komitmen terhadap program ini melalui struktur penjadualan yang akan diberikan untuk kerja-kerja pemantauan, penyelenggaraan dan pembersihan kawasan ternakan masing-masing.

Di bawah program ini, para peserta diberikan tiga pilihan dalam mengkomersilkan madu kelulut iaitu; pilihan pertama para peserta boleh menuai dan menjual sendiri madu, diikuti pilihan kedua iaitu menyerahkan kepada peraih untuk proses tuaian dan jualan,” kata beliau.

“Pilihan ketiga pula memberikan kelonggaran kepada para peserta di mana mereka boleh menyerahkan produk hiliran yang dihasilkan melalui madu kelulut yang telah dituai kepada pusat pengumpulan setempat yang akan ditubuhkan di daerah Simpang Renggam untuk dikomersialkan.

Kaedah ini dipilih bagi membolehkan golongan ini menjana pendapatan tambahan dengan menjual produk madu dan produk hiliran berkaitan. Ini sekaligus akan menyumbang kepada peningkatan ekonomi kepada golongan B40 dan ekonomi setempat, di samping menanam semangat keusahawanan pada golongan ini,” tambah beliau lagi.

Raih Geran RM216,020.00 dari MySI

Bagi projek ini, sejumlah RM 216,020.00 telah diberikan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Dr Mohd Khairuddin melalui sebuah geran penyelidikan (Research Grant).

Dana Projek Program ‘Malaysia Social Innovation’ atau MySI ini telah diberikan kepada Dr Mohd Khairuddin untuk menjayakan agenda penyelidikan tersebut bagi tujuan pembangunan komuniti golongan B40.

Dr Khairuddin menjelaskan bahawa projek yang akan bermula pada 1 November 2020 ini dijalankan dengan matlamat meningkatkan tahap ekonomi serta melahirkan usahawan dalam kalangan B40 melalui pendekatan Inovasi Sosial (Social Innovation Approach).

Dr Mohd Khairuddin (empat kiri) mengadakan mesyuarat penyelarasan dengan pihak Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR).

Rerumah pembiakan lebah kelulut tahan cuaca panas dan hujan yang dihasilkan dari konkrit khas inovasi penyelidik UTM. Rerumah ini bagi menggantikan rerumah konvensional yang diperbuat dari kayu serta tidak tahan kepada perubahan cuaca di tempat lapan g.

Dr Khairuddin menunjukkan kaedah memungut madu kelulut dari rerumah pembiakan yang dihasilkan dari konkrit khas inovasi penyelidik UTM.

Mengadakan mesyuarat penyelarasan dengan wakil peserta di Simpang Renggam, Johor.