April 20, 2024

Search
Close this search box.

UTM Terajui Projek Perintis Sistem Air Bersih Terawat di Sekolah-Sekolah Pedalaman Berasaskan Teknologi Membran

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Kecemerlangan Pengajian Tingginya, Advanced Membrane Technology Research Centre (AMTEC) menerajui projek perintis fasa kedua setelah menerima dana penyelidikan bagi pelaksanaan pembekalan 50 buah Sistem Air Bersih Terawat di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggunakan teknologi membran berjumlah RM 7,642,500.00.

Sekolah pedalaman di negeri-negeri Sarawak, Sabah, Kelantan, Perak dan Pahang merupakan antara yang terpilih bagi pelaksanaan fasa kedua ini.

Projek penyelidikan ini merupakan inisiatif oleh pihak KPM dengan kerjasama UTM bagi projek pembekalan sistem air bersih terawat mudah alih di sekolah-sekolah pedalaman yang menghadapi masalah kritikal mendapatkan air bersih yang terawat.

Projek ini berkonsepkan khidmat masyarakat dan merupakan program penanda aras sebelum diteruskan ke sekolah-sekolah pedalaman yang lain bagi kesejahteraan rakyat.

Pelaksanaan projek perintis fasa pertama sebelum ini telah dilaksanakan di tiga buah sekolah di negeri Sarawak iaitu SMK Datuk Temengggong Lawai Jau, Miri, SMK Katibas dan SMK Batang Igan, Sibu.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UTM serta Ketua Projek, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, pembangunan sistem ini telah berjaya dihasilkan melalui geran-geran tajaan penyelidikan yang telah diluluskan oleh pihak KPM sebelum ini iaitu Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS), Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), program NBOS4 bermula dari 2010 sehingga kini.

Impak daripada geran-geran penyelidikan ini, pihak UTM melalui Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) telah berjaya membangunkan sistem rawatan air bersih terawat yang bersifat mudah alih dan kos pengoperasiannya yang sangat rendah dan praktikal bagi kegunaan mangsa-mangsa bencana alam, kawasan yang mengalami musim kemarau, terputus bekalan air bersih serta pihak industri yang mengitar semula air yang dihasilkan daripada proses pembuatan dan pengilangan.

Menurutnya lagi, isu bekalan air bersih terawat di sekolah-sekolah merupakan antara isu yang sangat kritikal terutamanya di kawasan pedalaman Sarawak, Sabah dan Kelantan.

Justeru ia perlu ditangani dengan jelas dan segera bagi memberikan kemudahan, keselesaan serta meningkatkan kesihatan para pelajar dan guru-guru di sekolah.
Sistem ini mampu merawat air dari sumber seperti air sungai, air bawah tanah dan air banjir.

Sistem ini dilengkapi dengan 7 peringkat penapisan iaitu pra-penapisan, tapisan mikron, membran turasan ultra, membran osmosis balikan, pasca-penapisan dan nyahkuman bagi memastikan air ini selamat dan bersih serta mengikut piawaian standard air minum kebangsaan.

Reka bentuk dan spesifikasi sistem dibangunkan oleh tenaga penyelidik UTM sendiri mengikut kesesuaian kualiti air dan bahan anti-karat. Untuk memastikan kualiti air sistem ini terjamin selamat, pemeriksaan dan analisa kualiti air akan dijalankan dari masa ke semasa. Sistem yang berkapasiti 1000 sehingga 2000 liter sehari ini mampu membekalkan air minum kepada 500 orang dalam satu masa.

Sistem ini juga mudah dioperasi dan tidak menggunakan tenaga yang tinggi dan dilengkapkan dengan penjana genset untuk beroperasi sekiranya kawasan tersebut tidak mempunyai bekalan ataupun terputus bekalan elektrik.

Sehingga kini sebanyak 20 buah unit telah berjaya dibangunkan dan diaplikasikan kepada pihak berkuasa tempatan, mangsa bencana alam dan pemain industri melalui kerjasama syarikat Membrane Technology (M) Sdn. Bhd. iaitu syarikat hiliran UTM dan bantuan teknikal oleh kumpulan CSR UTM AMTEC.

Antara cabaran yang besar terpaksa dilalui bagi menjayakan projek ini adalah dari sudut logistik dan pergerakan ke tapak sekolah-sekolah di kawasan pedalaman tersebut.

Kumpulan CSR UTM AMTEC ini terpaksa menyewa kenderaan pacuan empat roda untuk melalui jalan balak dan ladang kelapa sawit serta terpaksa menggunakan sewaan bot persendirian bagi membawa peralatan dan kakitangan semasa aktiviti pemasangan, pengujian dan pengoeprasian sistem tersebut.

Perancangan pelaksanaan projek ini merangkumi 3 fasa iaitu Fasa pertama melibatkan aktiviti lawatan tapak secara berkala bagi tujuan pengenalpastian masalah bagi merekabentuk serta penentuan spesifikasi sistem yang bersesuaian.

Seterusnya adalah Fasa Kedua iaitu melibatkan aktiviti pembangunan, pemasangan, penghantaran dan pengoperasian sistem tersebut di ketiga-tiga buah sekolah. Fasa kedua ini dirancang dapat dilaksanakan dalam masa 3 bulan sahaja.

Manakala, Fasa Ketiga pula ia akan melibatkan aktiviti pemberian latihan pengoperasian dan pemindahan teknologi serta pemantauan secara berkala. Di dalam fasa ini juga pihak UTM juga akan memberikan khidmat masyarakat kepada pelajar, guru-guru dan masyarakat setempat melalui program motivasi dan aktiviti masyarakat.

Selain dapat membantu menyelesaikan masalah bekalan  air bersih kepada mangsa bencana alam, projek berimpak tinggi ini juga dapat mendekatkan golongan universiti dengan komuniti setempat melalui projek komuniti yang akan dijalankan.

Pemindahan ilmu dari penyelidik tempatan kepada masyarakat melalui penyelidikan translasional ini juga adalah amat berguna bagi membentuk generasi berinovasi tinggi pada masa akan datang.

Pasukan CSR UTM AMTEC bersama dengan Pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kewangan dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak semasa sesi lawatan tapak dan pemantauan projek di Sarawak.
Kerja-kerja pemasangan sistem pengujian dan pengoperasian sedang dijalankan sendiri oleh kakitangan UTM.
Sekolah Menengah Kebangsaan Batang Igan, Dalat, Sibu Sarawak
Sekolah Menengah Kebangsaan Katibas, Song, Sibu Sarawak.

Explore More