April 20, 2024

Search
Close this search box.

UTM komited dalam memupuk budaya rendah karbon dikalangan masyarakat seiring dalam usaha merealisasikan Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon 2025 menerusi Tindakan ke-6- Gaya Hidup Rendah Karbon.

Usaha ini tidak akan dapat dilakukan secara bersendiri, sehubungan dengan itu- sinergi bersama pihak Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), SWM Environment Sdn. Bhd dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dilakukan secara berstrategik menerusi program yang disusun dari masa ke semasa dimana antara program yang disusun khusus pada tahun 2020 dan 2021 adalah Pertandingan Kalendar Rendah Karbon Iskandar Puteri.

Pihak penganjur utama, MBIP telah menyediakan sejumlah RM20,000.00 wang tunai untuk dimenangi oleh penduduk di kawasan Iskandar Puteri menerusi kategori perumahan dan juga institusi. Komitmen pihak MBIP ini adalah bagi memastikan usaha mewujudkan lebih banyak model komuniti rendah karbon di Iskandar Puteri.

Menurut Pegawai Perancang Bandar dan Desa, En Safwan Shaari, beberapa komuniti Rendah Karbon yang aktif telah dikenalpasti sebagai model komuniti Rendah Karbon Iskandar Puteri. En Safwan yang juga merupakan Alumni UTM memaklumkan bahawa platform pertandingan ini bertujuan bagi memberikan galakan dan juga motivasi kepada komuniti untuk membudayakan gaya hidup rendah karbon.

Setiap kategori yang dipertandingkan adalah dinilai berdasarkan keupayaan menjimatkan air, elektrik dan juga menjalankan pengurusan sisa menerusi aktiviti kitar semula.

Bagi kategori perumahan, ianya dibuka untuk perumahan bertingkat dan juga bertanah bagi memberi peluang lebih ramai untuk menyertai dan seterusnya mengungguli pertandingan ini.

Melalui pertandingan pengurangan penggunaan air (m3), elektrik (kWh) dan juga jumlah kitar semula (kg), ianya dapat membantu usaha mencapai Tindakan Iklim dari Matlamat Pembangunan Mampan (Climate Action in SDG Goals), khususnya dalam usaha mengurangkan penghasilan karbon.

Pihak UTM menerusi kajian yang dijalankan oleh Prof. Dr. Fatin Aliah Phang mendapati pemanasan global yang berlaku majoriti adalah disumbang oleh aktiviti manusia di dalam kawasan rumah sendiri melalui pengunaan air, elektrik secara tanpa berhemah. Sehubungan itu, inisiatif pertandingan ini dirangka bagi memastikan pengurangan pembebasan karbon yang menyumbang kepada pemanasan global.

Justeru, bagi pertandingan ini, UTM berperanan menyediakan bahan-bahan memupuk kesedaran dalam bentuk infografik kalendar, selain melakukan kajian terhadap penglibatan masyarakat selain jumlah karbon yang berjaya dikurangkan sepanjang tempoh perlaksanaan pertandingan. Pada tahun 2020, melalui pertandingan ini, 62,742,43 kgCO2 berjaya dikurang di kawasan Iskandar Puteri dan sekiranya ianya di laksanakan untuk 1000 perumahan secara konsisten dalam masa setahun, maka 646,736,57 kgCO2 akan berjaya dikurangkan.

Tahun 2020 juga menyaksikan beberapa individu dari UTM yang terdiri daripada staff akademik, pelajar pascasiswazah dan alumni UTM telah memenangi hadiah wang tunai berjumlah lebih RM4000.00 bagi kategori perumahan bertanah. Maka diharapkan penganjuran tahun ini membolehkan lebih ramai wakil dari UTM mengungguli pertandingan ini samaada bagi kategori perumahan mahupun institusi.

Tahun 2020 juga menyaksikan penglibatan secara proaktif oleh masyarakat di Rumah Iskandar Malaysia (RIM) melalui koordinasi pihak Iskandar Malaysia. Usaha proaktif penduduk RIM membolehkan mereka mengungguli pertandingan ini bagi kategori rumah bertingkat. Menariknya, pada tahun 2021, Penduduk Rumah Iskandar Malaysia kini turut menganjurkan pertandingan Rendah Karbon khusus untuk penduduk di RIM sahaja. Usaha proaktif ini adalah berkesinambungan dari usaha mengalakkan pembudayaan rendah karbon oleh MBIP, IRDA dan juga UTM. Ini membuktikan bahawa usaha ini telah meraih perhatian penduduk di RIM.

Untuk tahun 2021, pihak komuniti di Pangsapuri Kenari yang merupakan komuniti contoh rendah karbon di Iskandar Puteri akan turut sama menyertai pertandingan ini bersama-sama penduduk di Rumah Iskandar. Selain itu, pada tahun ini juga pihak penganjur akan turut bekerjasama dengan Sutera Mall untuk merealisasikan usaha memerangi tindakan iklim.

Pertandingan ini juga mendapat sokongan penuh dari Jabatan Pendidikan Negeri Johor menerusi memberi peluang kepada sekolah-sekolah di kawasan Iskandar Puteri untuk terus mengamalkan aktiviti kelestarian seiring dengan Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Negeri Johor 2017-2023. Ini juga merupakan peluang lanjutan bagi sekolah rendah di Iskandar Puteri seiring dengan penyertaan melalui pertandingan Iskandar Malaysia EcoLife Challenge yang telah memasuki tahun ke-9 penganjuran. Institusi di jabatan kerajaan mahupun swasta juga digalakkan untuk turut sama menyertai bagi membolehkan lebih ramai sedar dan bertindak dalam membudayakan gaya hidup rendah karbon ini.

Melihat kepada permintaan penduduk terhadap akses kitar semula pada tahun 2020- maka pada tahun ini MBIP telah bekerjasama dengan Pihak SWM Enviroment Sdn. Bhd. bagi membolehkan perlaksanaan aktiviti kitar semula dilakukan secara menyeluruh menerusi penyediaan akses tempat pengumpulan kitar semula. Menarik untuk tahun ini, Pihak SWM Environment Sdn. Bhd. juga akan melancarkan aplikasi pintar Kitarecycle yang membolehkan penduduk mengumpul barang kitar semula dan mengumpul mata ganjaran. Penduduk hanya perlu meletakkan barang kitar semula di Pusat Pengumpulan dan mata ganjaran akan direkodkan oleh pihak SWM Environment. Kaedah ini adalah sesuai di saat pandemik dimana kita ingin mengurangkan persentuhan fizikal seterusnya mengawal pandemik COVID-19.

Untuk memperoleh maklumat lanjut pertandingan adalah sebagaimana berikut;

Maklumat Pertandingan Kalendar Rendah Karbon Iskandar Puteri 2021

Tempoh Penyertaan : Januari 2021 hingga Julai 2021.
Daftar maklumat di bit.ly/mbiprendahkarbon
Tarikh tutup penyertaan: 25 Julai 2021 sebelum atau pada jam 23.59

Sebarang maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh berhubung dengan Dr. Nina Diana Nawi, ninadiana@utm.my (0167252476)

Syarat Pertandingan Kalendar Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Puteri 2021

1. Pertandingan ini terbuka khusus kepada penduduk di dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya
Iskandar Puteri sahaja.

2. Penyertaan ini memerlukan maklumat berikut bagi bulan Januari 2021 hingga Jun 2021.
i) pengunaan air (m3)
ii) penggunaan elektrik (kWh)
iii) jumlah kitar semula (kg)
iv) amalan rendah karbon (link facebook)

Peserta boleh mengisi maklumat selengkapnya di dalam borang ini secara online bermula hari ini
(setelah lengkap maklumat bil pada bulan Jun – bit.ly/mbiprendahkarbon )

3. Setiap rumah/institusi awam/syarikat swasta/sekolah di dalam kawasan MBIP boleh menghantar satu
penyertaan sahaja.

4. Dokumen berikut hendaklah dikemukakan sekiranya penyertaan terpilih ke peringkat saringan akhir:-
i) Salinan Kad Pengenalan peserta
ii) Salinan Bil Air –bulan Januari 2021 hingga Jun 2021.
iii) Salinan Bil Elektrik – bulan Januari 2021 hingga Jun 2021.
iv) Salinan Resit kutipan kitar semula–bulan Januari 2021 hingga Jun 2021.
v) Salinan dokumen pengesahan menyewa sekiranya peserta bukan pemilik
kediaman

*Pihak urusetia berhak untuk mendapatkan bil-bil dan resit asal sebagai bukti pengesahan

5. Pemilihan kriteria pemenang adalah berdasarkan jumlah penjimatan, pengurangan tertinggi penggunaan
air dan elektrik serta jumlah kitar semula.

6. Pemenang dimaklumkan menerusi dalam talian.

7. Pihak penganjur berhak untuk meminda syarat-syarat yang ditetapkan tanpa sebarang pemberitahuan
terlebih dahulu.

8. Keputusan penganjur adalah muktamad dan sebarang rayuan tidak akan dilayan.

Tempoh Penyertaan :
Januari 2021 hingga 25 Julai 2021.

Tarikh tutup penyertaan:
25 Julai 2021 sebelum atau pada jam 23.59

Oleh Dr. Nina Diana Nawi, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Explore More