April 27, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 17 Mac — Program Bangsa Johor Bahagia telah dilancarkan dengan jayanya di sebuah majlis gilang gemilang yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofia Almarhum Sultan Idris Shah bertempat di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata Program Bangsa Johor Bahagia adalah diilhamkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor bagi menunjukkan keprihatinan baginda kepada golongan bandar yang kurang berkemampuan yang menghuni flat kos rendah di sekitar Johor.

“Menyedari pelbagai masalah yang timbul di kediaman flat kos rendah di Johor Bahru seperti perlakuan juvana, basikal lajak, dadah, ponteng sekolah, persekitaran yang kotor, ancaman kepada keselamatan penghuni serta masalah sosio ekonomi yang rendah telah mendorong pihak Yayasan Sultan Ibrahim dan Yayasan Raja Zarith Sofia Negeri Johor untuk bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan UTM.

“Kerjasama dengan pihak MBIP dan UTM ini berperanan untuk melaksanakan program pembangunan komuniti yang berimpak dan lestari bagi mengatasi permasalahan ini dan sebagai permulaannya, perumahan kos rendah Flat Kangkar Pulai telah dipilih sebagai perintis dalam menjayakan Projek Bangsa Johor yang telah pun bermula sejak September 2018 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam majlis perasmian program tersebut yang turut dihadiri adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof. Dr. Zainuddin Abdul Manan.

Dalam menyokong matlamat dan aspirasi Projek Bangsa Johor Bahagia ini, UTM melalui khidmat pakar dari pelbagai fakulti seperti Fakulti Alam Bina dan Ukur, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan serta Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) telah membangunkan empat program iaitu Program Komuniti Berjaya, Program Fasiliti Komuniti Sejahtera, Program Kejiranan Lestari dan Program Komuniti Digital Beretika.

“Program Komuniti Berjaya termasuk aktiviti yang meningkatkan aspirasi dan inspirasi seperti Kelab Suka Belajar, Kelab Jiranita Sukses, Pelaksanaan Inspirasi Jaya Remaja, Language Fun Camp dan Program Pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan (Engineering) dan Matematik atau STEM.

“Melalui Program Fasiliti Komuniti Sejahtera dan Program Persekitaran Kejiranan Lestari, penduduk diberikan ilmu pengetahuan untuk menguruskan fasiliti serta pendidikan ke arah mewujudkan persekitaran kejiranan lestari,” katanya.

Di bawah Program Persekitaran Kejiranan Lestari, penduduk juga diajarkan tentang cara melestarikan ruang-ruang lapang atau kolong yang terbiar agar dapat digunakan untuk tujuan aktiviti ilmu dan rekreasi sosial di samping penekanan diberikan terhadap aspek-aspek lain seperti kebersihan dan rekreasi penduduk.

Penduduk juga digalakkan untuk mewujudkan persekitaran gaya hidup sihat seperti program penanaman 100 batang pokok kelapa dalam kawasan pangsapuri disamping Program 10 Ribu langkah Bahagia dan Senamrobik Bahagia.

“Dalam menyahut perkembangan era digital yang sedang pesat melanda kehidupan kini, UTM juga menganjurkan Program Komuniti Digital Beretika.

“Aktiviti seperti Pemerkasaan Penggunaan Media Sosial, Bengkel Pembangunan Media Sosial dan Program Keusahawanan Digital adalah antara aktiviti yang dijalankan,” katanya.

Majlis ini diadakan sebagai inisiatif mengumpul dana dari pihak industri dan menggalakkan penglibatan dan kolaborasi Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) sambil memberikan kesedaran kepada pemengang-pemegang taruh termasuk penduduk, pemaju perumahan, media, pihak berkuasa tempatan berkenaan dengan perlunya perubahan sikap dalam merealisasikan kejayaan program Bangsa Johor Bahagia ini.

Permaisuri Johor, DYMM Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan meletakkan kunci sebagai simbolik pelancaran program dan logo Bangsa Johor Bahagia di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru semalam. Mengiringi baginda ialah Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar.
DYMM Raja Zarith Sofia berkenan melawat ruang pameran
DYMM Raja Zarith Sofiah berkenan merakamkan gambar kenangan bersama pengurusan tertinggi UTM dan juga para penduduk Flat Kangkar Pulai yang menyertai Program Bangsa Johor Bahagia

Explore More