April 26, 2024

Search
Close this search box.

Pengurusan Tugas Secara Sistematik Rahsia Danish Aiman Raih Anugerah Canselor

Oleh: Amirul Irfan Shahrul Izar 

JOHOR BAHRU, 24 Nov.“One day I will be someone” demikian kata-kata yang tersemat di dalam hati Muhammad Danish Aiman, 24, semasa mula menjejakkan kaki di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau merupakan salah seorang graduan yang berjaya menggenggam segulung ijazah serta memperolehi Anugerah Canselor dan Anugerah Dekan di Majlis Konvokesyen UTM ke-66 (MK66) sebentar tadi.

Apabila ditanya mengenai perasaannya, beliau mengakui berasa teruja, gembira dan sebak semasa mendapat berita mengenai penerimaan beliau dalam anugerah berprestij tersebut. Pelbagai dugaan dan cabaran perlu ditempuhi untuk capai ke tahap ini.

Selain menjalani rutin harian sebagai seorang mahasiswa universiti, anak bongsu daripada 4 orang adik beradik itu juga banyak melibatkan diri dalam aktiviti pembangunan pelajar. Beliau banyak mengikuti program pertukaran pelajar di luar negara. “Semasa saya berada di tahun akhir pengajian, saya berpeluang untuk menyertai pelbagai program pertukaran pelajar walaupun semasa pandemik. Saya perlu menyiapkan projek tahun akhir dan pada masa sama perlu membentangkan kertas akademik di Turki secara maya yang diamanahkan oleh penyelia saya, Dr. Siti Zaleha Omain”, ujar beliau.

Tambah beliau lagi, “selain menghadiri kuliah dan menduduki peperiksaan, saya menyahut cabaran untuk menjadi seorang pembantu penyelidik kepada seorang pensyarah. Perkara yang tidak dapat dilupakan adalah saya mendapat kepercayaan Prof. Madya Dr. Helen Tan Sui Hong untuk melibatkan diri di dalam industri perundingan. Saya berpeluang untuk menyumbang idea membuat pelan strategik bagi Institut Jantung Negara (IJN)”. Kini, pelan tersebut telah mendapat persetujuan Pengurusan Tertinggi IJN.

“Take it or leave it”, itulah kata yang dipegang oleh anak jati Subang Jaya, Selangor ini. Beliau banyak mengambil peluang yang tersedia di depan mata. Beliau juga pernah mewakili UTM dalam pertandingan HSBC Asia Pacific Business Case Competition. 

Menyedari bahawa keterlibatan diri kepada program luar yang banyak, beliau mengakui sedikit sukar untuk mengimbangkan antara akademik dan bukan akademik. Namun begitu, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi) ini tidak mudah putus asa. Jika terlalu banyak tugasan, beliau lebih gemar menyusun mengikut keutamaan.

“Dorongan dan doa ibu bapa, adik-beradik, rakan seperjuangan serta keberkatan ilmu dari para pensyarah Fakulti Pengurusan juga antara faktor saya lebih gigih berjuang”. Hasil usaha gigih, beliau berjaya memenangi Best Paper Award bagi projek tahun akhir. 

Muhammad Danish Aiman kini sedang membuat penyelidikan mengenai Net Zero Emission di Akademi Sains Malaysia. Pada masa sama, beliau mendapat tawaran pekerjaan di sebuah syarikat multinasional. Selamat maju jaya buat anda!

Explore More