April 27, 2024

Search
Close this search box.

UTM Giat Memartabatkan Bahasa Melayu dan Sastera Melalui Karnival Puisi Nusantara

JOHOR BAHRU, 24 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kelab Debat, Pidato dan Pemikiran Kritis (DEPIKIR) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Johor, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama bergiat aktif menjulang penggunaan bahasa Melayu dan puisi di persada antarabangsa melalui penganjuran Karnival Puisi Nusantara yang mengetengahkan sajak, pantun dan syair.

Menurut Pengarah Karnival Puisi Nusantara, Saudara Muhammad Adhar bin Zorobi, penganjuran Karnival Puisi Nusantara sememang dirancang untuk diadakan pada bulan September bagi mengambil semangat Bulan Kebangsaan yang bakal diraikan pada bulan Oktober oleh rakyat Malaysia setiap tahun.

Bukan itu sahaja, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, YB Cik Norlizah Noh menyatakan bahawa Negeri Johor sentiasa komited dalam memastikan bahasa kebangsaan dimartabatkan dan dipraktikkan oleh rakyatnya. Dalam pada kerajaan Johor berjuang dengan jerih perih bagi memajukan Johor dari segi ekonomi, pemimpin negeri ini juga tidak pernah sekali pun mengabaikan ketamadunan dan pembinaan jati diri bangsanya melalui penggunaan bahasa Melayu yang tepat konteksnya.

Barisan pemenang Pertandingan Akhir Karnival Puisi Nusantara bergambar kenangan bersama Yang Berhormat Cik Norlizah Noh dan YBhg. Prof. Madya Dr. Azlan.

“Justeru, kerajaan negeri Johor komited mengangkat karya bahasa Melayu, puisi tradisional, puisi moden dan usaha pembukuan bahasa Melayu oleh sasterawan negara yang bermutu tinggi dengan mengadakan Anugerah Sastera Johor yang dianjurkan setiap tahun bagi meraikan tokoh yang memberi sumbangan dari segi karya dan pemikiran serta impak dalam penyebaran ilmu,” katanya pada Pertandingan Akhir Mencipta Sajak dan Majlis Penutupan Karnival Puisi Nusantara.

Beliau turut berharap agar golongan belia di luar sana sebagai anak-anak muda pemacu masa depan negara ini untuk lebih mendampingi warisan tradisional puisi ini dengan lebih dalam. Peranan belia dilihat amat penting dalam menyumbang kepada pemerkasaan bahasa Melayu dan karya tradisional kerana mereka merupakan tenaga utama dalam masyarakat.

Sementara itu,  Pengarah Pembangunan Aktiviti Pelajar UTM, YBhg. Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib berkata, UTM juga mengambil peluang sempena 50 tahun UTM dengan menerapkan unsur teknologi dan bahasa melalui tema “Teknologi dan Bahasa” bagi ketiga-tiga pertandingan. Penganjuran Karnival Puisi Nusantara ini merupakan ruang dan peluang kepada masyarakat Nusantara untuk bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu dan puisi Nusantara supaya tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.

 

Antara aksi peserta sewaktu pertandingan akhir berlangsung.

 

Sebahagian penonton yang memberi sokongan kepada para peserta.

Explore More