April 26, 2024

Search
Close this search box.

Kenyataan Rasmi: Kebajikan Pelajar UTM Terjaga dengan Inisiatif “UTM Prihatin”

Johor Bahru, 4 Julai 2022 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa mengutamakan kelangsungan pendidikan serta kebajikan pelajar bagi menghasilkan graduan yang holistik.

Justeru, UTM telah membangunkan ekosistem pendanaan (fundraising) yang kondusif sejak tahun 2017 bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan pelajar terpelihara menerusi program bantuan pelajar berpusat, UTM Prihatin.

Melihat kepada situasi semasa dan juga maklum balas yang diterima daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM, pihak Universiti mengambil maklum dan memahami keadaan yang sedang dihadapi oleh semua pelajar dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat. Kenaikan kos ini juga turut dirasai oleh pengusaha kafeteria di dalam kampus dalam menentukan harga jualan yang bersesuaian.

Sehubungan dengan itu, pihak UTM telah melaksanakan inisiatif berikut:

(i) Membuat pengawalan dan pemantauan harga jualan makanan oleh pengusaha kafeteria dan barangan runcit dalam kampus.

(ii) Membuat pengawalan dan pemantauan kualiti makanan yang disediakan.

(iii) Melaksanakan aktiviti peningkatan dana (fundraising) Universiti secara aktif bagi membantu pelajar khususnya daripada golongan B40 yang memerlukan bantuan kos sara hidup.

(iv) Menyediakan beberapa platform bantuan kepada pelajar seperti Zakat, Endowmen dan Because We Care Chancellor’s Fund.

UTM juga telah melaksanakan inisiatif program Food @ Campus Keluarga Malaysia yang bertujuan membantu meringankan beban pelajar B40 secara bersasar dengan memberikan bantuan makanan kepada pelajar-pelajar yang telah dikenalpasti. Seramai 600 pelajar telah menerima manfaat tersebut dengan penyaluran terus bantuan sebanyak RM200 seorang ke akaun pelajar.

Seterusnya, UTM turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain seperti inisiatif bantuan Because We Care Chancellor’s Fund kepada para pelajar yang bertujuan membantu pelajar mendapatkan makanan yang mencukupi di kampus sebanyak tiga (3) kali sehari iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.

Sehingga kini, UTM telah membelanjakan RM1 juta menerusi bantuan Zakat, RM70,000 menerusi bantuan komputer riba dan RM90,000 menerusi Food@Campus Keluarga Malaysia.

Pengurusan Universiti dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM sentiasa berkomunikasi bagi memastikan keperluan dan kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.

PROFESOR DATUK TS. DR. AHMAD FAUZI BIN ISMAIL
Naib Canselor UTM

Explore More