April 27, 2024

Search
Close this search box.

Sinergi FABU UTM Bersama Industri Tingkat Kepakaran Penggunaan GPS dan UAV untuk Pemetaan

Disediakan oleh: Aimi Musa & Nurul Izzati Abd Karim
Penulis bersama: Prof. Madya Sr. Dr. Tajul Ariffin Musa & Amir Husni Kamaludin

Bengkel Latihan Penggunaan GPS dan UAV untuk Pemetaan telah berlangsung pada 20 sehingga 23 Jun 2022, bertempat di Fakulti Alam Bina dan Ukur Universiti Teknologi Malaysia (FABU UTM). Bengkel ini merupakan sebahagian daripada aktiviti Makmal Satelit UTM yang ditubuhkan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara FABU UTM dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak. Bengkel yang berlangsung selama empat hari ini telah dirasmikan oleh Dekan FABU, Prof. Dr. Kherun Nita Ali. Turut hadir sama dalam bengkel ini ialah Penolong Pengarah (Survei) JTS Sarawak, Sr. Ramzi Abdillah.

Dekan FABU UTM, Prof. Dr. Kherun Nita Ali menyampaikan cenderahati kepada Penolong Pengarah (Survei) JTS Sarawak, Sr. Ramzi Abdillah

Pengarah Geoinformasi, Prof. Madya Sr. Dr. Tajul Ariffin Musa dan Pengerusi Kumpulan Penyelidikan Inovasi Geomatik (GnG), Dr. Othman Zainon menjadi tulang belakang penganjuran bengkel ini, dengan dibantu beberapa orang pelajar dari GnG yang bertindak selaku fasilitator. Bengkel yang dijalankan secara bersemuka ini memberi peluang kepada peserta untuk merasai sendiri praktikal pengendalian GPS dan UAV untuk tujuan pemetaan.

91 orang peserta terlibat dalam bengkel ini, yang mana para peserta terdiri daripada wakil agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi pengajian tinggi, serta barisan penaja daripada pihak industri seperti Perunding Geomatik Sdn Bhd, Saradrone Sdn Bhd, Satlid Geosolutions Sdn Bhd, Hitech Geosolution Sdn Bhd, Satlab Geosolution Malaysia, Geoinfo Services Sdn Bhd dan Total Survey Consultants. Penglibatan dan sinergi universiti, kerajaan, industri dan komuniti dalam bengkel ini sememangnya menepati inisiatif quadruple helix yang mampu memacu UTM menjadi universiti terkemuka dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan dan penyelidikan bertaraf dunia.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi memperkasakan lagi kemahiran dalam penggunaan GPS dan UAV. Antara aktiviti utama yang dilaksanakan ialah demonstrasi cerapan GPS oleh pihak GnG, demonstrasi penerbangan UAV oleh JTS Sarawak dan penerbangan LIDAR oleh Saradrone Sdn Bhd serta demonstrasi pemprosesan data GPS dan UAV oleh pihak GnG, JTS Sarawak dan AllTerra Sdn Bhd.

Bengkel selama empat hari ini telah memberi pelbagai pendedahan kepada para peserta khususnya dalam tatacara pelaksanaan cerapan GPS dan penerbangan UAV yang sebenar dengan berpandukan prosedur ditetapkan. Melalui kerjasama antara FABU UTM dan pihak terlibat, pelaksanaan aktiviti – aktiviti sepanjang bengkel ini telah membina sinergi baharu dalam perpindahan pengetahuan dan teknologi (knowledge and technology transfer) yang akan dimanfaatkan oleh para peserta. Diharapkan kerjasama dan perkongsian ilmu melalui bengkel ini dapat menambah baik dan meningkatkan kualiti khususnya dalam kerja – kerja pemetaan berasaskan GPS dan UAV.

Taklimat dan penerangan daripada Jabatan Tanah dan Survei, Sarawak
Penyampaian sijil dan cenderahati oleh Pengarah Geoinformasi, Prof. Madya Dr. Tajul Ariffin Musa

Explore More