April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 21 MEI 2022 – Seorang graduan daripada Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur (UTM KL) akhirnya menggenggam sebuah ijazah doktor falsafah selepas sembilan tahun pengajian dan berdepan pelbagai rintangan.

Dr. Nur Liyana binti Sulaiman, berusia 36 tahun yang sedang hamil 9 bulan 38 minggu akhirnya menamatkan pengajiannya setelah berhempas pulas dan pada masa yang sama menghadapi pelbagai masalah kesihatan.

Graduan merupakan seorang pelajar yang memulakan pengajiannya pada September 2012 dan menamatkannya pada November 2021. Masalah kesihatan beliau, sedikit mengganggu konsentrasi Dr. Nur Liyana untuk meneruskan pengajian.

Semasa beliau baru sahaja memulakan pengajiannya pada tahun 2013, beliau disahkan hamil cahaya mata yang pertama dan menghadapi tekanan dalam membahagikan tugasnya yang semakin bertambah.

Tekanan juga dirasai apabila sewaktu itu, Dr. Nur Liyana terpaksa berulang alik daripada Kelantan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kelasnya.

Dr. Nur Liyana turut mengalami keguguran sebanyak 2 kali sepanjang pengajiannya di UTM KL pada tahun 2015 dan 2016. Beliau turut menghadapi gejala abses, iaitu benjolan yang beiris nanah yang boleh terbentuk di mana-mana sahaja anggota badan.

Tambahan pula, beliau mempunyai jangkitan Methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA) yang boleh mengancam nyawa sekiranya tidak dirawat dengan betul. Beliau pernah mengalami kegagalan hempedu di mana hempedu beliau terpaksa dibuang dan menyebabkan beliau hendaklah sentiasa mendapatkan rawatan di hospital.

Nasib tidak menyebelahi Dr. Nur Liyana apabila beliau disahkan positif Covid-19 semasa awal kehamilannya pada November 2021.

Dengan azam dan dorongan daripada suami, Encik Azri Amin, 37 tahun, serta anak-anak menjadikan pemangkin beliau memotivasikan dirinya untuk menamatkan pengajiannya. Beliau mendisiplinkan dirinya dan menetapkan bahawa beliau harus menghabiskan pengajiannya walau apa pun yang berlaku.

“Saya rasa puas bila dapat hantar tesis ke fakulti. Masa itu, saya tidak sangka saya telah berjaya menghabiskan dan menghasilkan sesuatu daripada titik peluh saya selama ini,” ujarnya semasa ditemubual pada Majlis Konvokesyen ke 65 UTM.

Graduan ini pernah terfikir untuk menghentikan pembelajarannya, tetapi keluarga menjadi punca utama Dr. Nur Liyana tetap menggagahkan diri untuk menamatkan ijazahnya.

Dr. Nur Liyana pernah menjadi seorang pensyarah di sebuah universiti bermula pada tahun 2018 sehingga April 2022. Kini, beliau merancang untuk mengembangkan kemahirannya dalam bidang kejuruteraan perisian.

Beliau turut menyampaikan hasrat beliau untuk menjadi seorang pakar dan mempunyai niat untuk berkolaborasi dengan mana-mana industri yang berkaitan dengan bidangnya.

Sebelum mengakhiri temubualnya, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyelianya, Dekan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Nazri bin Mahrin, yang telah sudi memberi tunjuk sepanjang sembilan tahun pengajiannya.

Explore More