April 27, 2024

Search
Close this search box.

Kuala Lumpur, 29 Mac – Bendera Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bakal berkibar di puncak Everest apabila alumninya, Azim Afif akan menawan puncak tersebut dalam ekspedisi Pendakian Keluarga Malaysia Everest 2022 bersama 9 pendaki lain pada pertengahan bulan Mei nanti.

Pihak UTM melalui Unit UTMAlumni berbesar hati memberikan penajaan kepada Azim Afif selaku ketua ekspedisi sebagai tanda sokongan di samping menyemarakan lagi sambutan 50 tahun UTM yang disambut pada tahun ini.

“Saya juga berbesar hati untuk mengibarkan bendera UTM sempena ulang tahun ke-50 UTM di puncak dunia.” kata Azim melalui mesej beliau kepada pihak UTM.

Program pendakian yang mendapat tajaan daripada kerajaan Malaysia ini turut akan membawa 9 orang pendaki daripada pelbagai bangsa dan etnik termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU).

Ini merupakan ekspedisi kedua beliau selepas pendakian pertama berjaya dilakukan pada 2016 melalui Tibet, China di bawah program UTM.

Beliau akan berlepas pada awal April dan akan membuat cubaan menawan puncak Everest pada pertengahan Mei kelak.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail semasa sesi penyerahan bendera tersebut amat teruja dan berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh alumni UTM yang ingin mengibarkan bendera UTM di puncak dunia.

“Semangat seperti ini yang ingin kita terapkan kepada para alumni agar sentiasa ‘dahaga’ untuk menyumbang kembali kepada universiti.

Sumbangan tersebut bukan semestinya hanya dalam bentuk wang ringgit semata-mata, malah kepakaran, pengalaman dan kemahiran juga boleh disumbangkan oleh alumni kepada universiti.

Walaupun hanya dengan mengibarkan bendera UTM di puncak Everest, secara langsung membantu memperkenalkan UTM di mata dunia, dan seluruh warga UTM turut akan berbangga dengannya”, ujar Datuk Ahmad Fauzi.

“Pastinya kejayaan menawan puncak tertinggi dunia ini menjadi lebih manis apabila UTM pada tahun ini menyambut ulang tahun Jubli Emas”, tambah beliau lagi.

Turut hadir semasa sesi penyerahan bendera dan tajaan ini adalah Tan Sri Dr Salleh Md Nor, Pro Canselor UTM merangkap Chef de Mission, Prof Madya Dr Mohd Hisyam Rasidi, Pengarah UTMAlumni dan wakil pengurusan yang lain.

Ekspedisi pendakian ini merupakan kerjasama bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Explore More