April 26, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar UTM menganjurkan program larian amal dalam talian “RUN4FUND”

Satu program telah dianjurkan bertujuan untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas di Malaysia dek kerana musim tengkujuh dan hujan yang berlarutan beberapa hari di negeri-negeri tertentu sehingga mengakibatkan mangsa-mangsa banjir tersebut mengalami kerugian besar dan kehilangan yang banyak.

Oleh itu, satu acara larian amal 3km telah dianjurkan dengan mengenakan RM10 bagi setiap peserta sebagai yuran. Yuran ini dikenakan bertujuan untuk mengumpul dana untuk disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas.

Acara larian ini juga telah menawarkan hadiah wang tunai kepada peserta yang berjaya mengambil masa paling sedikit untuk melengkapkan larian 3km mereka. Larian mereka direkod dalam aplikasi ‘STRAVA’ untuk dijadikan bukti larian mereka dan perlu dihantar kepada penganjur. 

Acara larian amal dalam talian RUN4FUND ini telah bekerjasama dan berkolaborasi dengan MyFundAction yang merupakan agensi swasta yang giat mengadakan kerja-kerja amal bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

MyFundAction telah dipilih kerana kepercayaan kami kepada agensi mereka yang sangat aktif dan hasil daripada aktiviti mereka juga selalu dipertontonkan ke khalayak ramai dan sekaligus meningkatkan kepercayaan kami kepada agensi mereka. MyFundAction akan membantu kami dengan memudahkan tugas kami dalam usaha menyalurkan bantuan dana ini. 

Pandemik Covid-19 bukanlah penghalang untuk kita beramal dan terus menjaga kesihatan jadi larian amal RUN4FUND ini telah dilaksanakan secara atas talian atau dalam alam maya.

RUN4FUND ini telah berlangsung bermula dari 11 Januari hingga 17 Januari 2022.

Peserta dibenarkan mendaftar dan terus memulakan larian mereka dalam tempoh yang dinyatakan.

Semua peserta diberi pilihan sama ada memilih untuk turut serta dalam acara larian atau hanya sekadar mendaftar untuk memberikan sumbangan minima sebanyak RM10.

Jika peserta memilih untuk menyertai acara larian, jarak yang telah ditetapkan oleh penganjur adalah 3km. Bagi peserta acara larian, hadiah berbentuk wang tunai menanti bagi pemenang yang telah bertungkus lumus menyelesaikan larian mereka dalam masa yang paling singkat. 

Pemenang telah diumumkan pada 19 Januari 2022 dan dana yang berjaya dikumpul sepanjang tempoh program ini dijalankan adalah sebanyak RM1,105 dan jumlah yang telah didermakan adalah sebanyak RM985.

 Berikut adalah senarai nama pemenang:

Berikut adalah dana yang berjaya disumbangkan kepada MyFundAction:

Pihak ahli jawatankuasa ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini terutama kepada penasihat program Pn Marlina Ali yang banyak memberikan panduan dan galakan sehingga program ini berjaya dilaksanakan.

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada penderma yang telah memberikan sumbangan dalam program ini. Melalui program ini pelajar UTM dapat menyemai sikap bekerjasama dan bersatu padu bagi menjayakan program ini. Program ini juga dapat menerapkan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dan menitikberatkan sikap berperikemanusiaan.

Ia juga dapat membantu meningkatkan kemahiran atribut kejayaan graduan abad ke-21 pelajar seperti kemahiran komunikasi, kemahiran bekerjasama, kemahiran berfikir, kepimpinan dan kemahiran warga global seperti sikap prihatin dan beretika dalam hubungan dengan masyarakat.

Akhir sekali, program ini diharapkan berjaya mencapai visi Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menggembleng tenaga kearah kesihatan yang lebih baik dan juga berjaya mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu, Tiada kemiskinan , Kesihatan dan Kesejahteraan.

Harapan kami kepada semua peserta yang telah turut serta dalam program ini tidak akan berhenti mencuba untuk bersenam demi mengekalkan kesihatan walaupun di musim-musim pandemik ini.

Selain itu, kami  juga berharap agar semua masyarakat sentiasa berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam apa jua situasi dan rintangan yang mendatang.

Ditulis oleh : Nadiah Farhanah binti Mohamad Farouk

Explore More