Mahasiswa UTM terima Anugerah Siswa Johor Terbaik (Keusahawanan)

JOHOR BAHRU, 3 Nov – Mahasiswa tahun tiga Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi) dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Siti Nur Aishah Md Yasin telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Siswa Johor Terbaik (Keusahawanan).

Beliau menerima anugerah itu dari Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, YB Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam Majlis Anugerah Ikon Siswa Johor (AISJ) 2021 yang berlangsung di KSL Hotel & Resort Johor Bahru.

Memasuki tahun ketiga penganjurannya, AISJ merupakan platform terbaik untuk mengiktiraf dan memberi galakkan kepada kepimpinan mahasiswa Johor yang telah menunjukkan kecemerlangan kepimpinan yang holistik dan kompeten.

Anugerah ini juga diberikan kepada mahasiswa kelahiran negeri Johor yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan aktiviti bersama masyarakat selari dengan Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan (Pengajian Tinggi) 2015-2025.

Secara keseluruhannya terdapat 14 anugerah yang dipertandingkan dalam AISJ 2021 dengan pecahan Anugerah Siswa Johor Terbaik kategori Kepimpinan, Akademik , Kesukarelawanan, Kebudayaan dan Keusahawanan.

Terdapat juga enam anugerah yang berbentuk aktiviti kemasyarakatan iaitu Anugerah Program Kesenian & Kebudayaan Terbaik, Program Kesejahteraan Terbaik, Program Pembangunan Pendidikan dan Kemahiran, Program Keusahawanan Terbaik, Program Inovasi Terbaik dan Anugerah Persatuan Anak Johor Terbaik.

Dua anugerah utama AISJ 2021 adalah Anugerah Program Ikon Negeri Johor dan Anugerah Ikon Siswa Johor 2021 yang disampaikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Hj Hasni Mohammad.

Siti Nur Aishah Md Yasin (paling kanan) menerima Anugerah Siswa Johor Terbaik (Keusahawanan) dari Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, YB Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) dalam Majlis Anugerah Ikon Siswa Johor 2021 yang berlangsung di KSL Hotel and Resort pada 3 November 2021 yang lalu.
Penutupan Sementara Portal News UTM

Untuk makluman, penghantaran artikel atau berita baharu ke portal news.utm.my akan ditutup sementara bermula 15 Disember hingga 31 Disember untuk tujuan editorial akhir dan pelarasan berita 2021.

Oleh itu untuk tujuan penghantaran artikel/berita, dimohon untuk memuat naik selewat-lewatnya 14 Disember 2021. Artikel / Berita yang dihantar selepas tarikh tersebut akan diterbitkan pada tahun 2022 setelah selesai proses editorial akhir dan pelarasan berita.

Sekian untuk makluman