April 27, 2024

Search
Close this search box.

KTHO Berselawat dan Bermunajat Manifestasi Cinta Kepada Rasulullah S.A.W

JOHOR BAHRU, 18 Okt. —Biro Kerohanian Dan Sosial, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) dengan kerjasama Majlis Felow Merbauan (MAFAN) telah menganjurkan program Halaqah KTHO Siri 1: KTHO Berselawat dan Bermunajat menerusi aplikasi persidangan dalam talian Cisco Webex.

Program KTHO Berselawat & Bermunajat dimulakan dengan alunan selawat.

Seramai 250 orang pelajar telah menyertai program yang dijalankan ini bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul 1443H/2021M.

Sejajar dengan tema sambutan Maulidur Raul pada tahun ini, “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti” program ini menjadi satu platform bagi mahasiswa dan mahasiswi KTHO UTM untuk menginsafi pengorbanan dan menambahkan rasa cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Program yang bermula pada pukul 7.30 malam ini diserikan dengan kehadiran En. Mohd Fadthul Ikmal Bin Misnal, selaku penceramah jemputan yang juga merupakan Pembantu Felow KTHO UTM.

Peserta tekun mendengar tazkirah yang disampaikan oleh En. Mohd Fadthul Ikmal Misnal, Pembantu Felow KTHO UTM.

Program sulung JKM KTHO bagi sesi 2021/2022 ini dimulakan dengan bacaan selawat tafrijiyyah, selawat nuril mubin dan selawat tobibiyyah secara beramai ramai sebagai tanda memuji Nabi Muhammad S.A.W. Program diteruskan dengan segmen perkongsian mengenai budaya dan keistimewaan sambutan Maulidur Rasul yang saban tahun diadakan di Malaysia.

Penceritaan mengenai sayangnya Rasulullah S.A.W kepada umat baginda dengan memberikan syafaat di padang mahsyar turut disentuh oleh penceramah. Penceramah juga turut berkongsi tentang keperibadian dan akhlak mulia Nabi Muhammad S.A.W ketika hayat baginda bersama para sahabat yang boleh dijadikan iktibar.

Program ditutup dengan bacaan selawat Maulidur Rasul.

Kesimpulannya, sambutan hangat yang diberikan melalui pelaksanaan program ini diharapkan dapat menjadi satu medium dakwah yang efektif bagi para pelajar untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dalam diri masing-masing di samping menambah kecintaan kepada Rasulullah S.A.W.

Semoga semua peserta dapat mengambil iktibar dan pedoman melalui sambutan hari bersejarah ini sekaligus menyedari betapa pentingnya kita sebagai umat Rasulullah S.A.W untuk terus menyambung legasi dakwah yang dibawa oleh baginda demi menegakkan syiar Islam di bumi bertuah ini.

Firman Allah: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

(Surah Ali-Imran ayat 31)

Disediakan oleh: Nurul Hazmira Hani Haznan, Muhammad Adam Luqman Razali, Chia Kai Qin dan Mohd Fadthul Ikmal Misnal (felow penyunting KTHO)

Explore More