April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 12 JULAI  2021 — Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda binti Bustamam telah dilantik sebagai Pro-Canselor baharu bagi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkuat kuasa 12 Julai 2021 hingga 11 Julai 2024. 

Istiadat pemasyhuran YAM Che’ Puan Besar dijadualkan akan berlangsung pada 23 Oktober 2021 sempena Majlis Konvokesyen Ke-64 Universiti Teknologi Malaysia.

YAM Che’ Puan Besar yang dilahirkan pada 16 Julai 1993 di Hospital Besar Kuala Lumpur telah menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Seri Gombak, Selangor pada tahun 2001 hingga 2003. 

Seterusnya YAM Che’ Puan Besar melanjutkan pengajian di Sekolah St. George’s Hanover Square, London (2003 hingga 2004), Sekolah Menengah Westminster Academy, London (September 2004 hingga Julai 2008) dan Sekolah Sri Utama, Kuala Lumpur (2010).

Berkat pendidikan dan pergaulan dalam dan luar negeri, YAM Che’ Puan Besar fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris serta sedikit sebanyak bahasa Sepanyol, semuanya menambah kepada perwatakan YAM Che’ Puan Besar yang sedia kala peramah. YAM Che’ Puan Besar juga aktif dalam pelbagai aktiviti kemanusiaan dan merupakan Penaung DiRaja Persatuan Bola Jaring dan Persatuan Badminton Negeri Johor.

YAM Che’ Puan Besar telah mendirikan rumah tangga dengan DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor pada 24 Oktober 2014.

YAM Che’ Puan Besar juga telah dikurniakan Darjah Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J) pada 15 Mac 2015 dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK I) pada 23 Mac 2019 oleh DYMM Sultan Johor.

Pihak UTM merafak sembah tahniah dan menjunjung kasih di atas perkenan YAM Che’ Puan Besar untuk menerima lantikan sebagai Pro-Canselor UTM.

Dengan pelantikan ini, pihak UTM yakin YAM Che’ Puan Besar akan dapat menyumbang di dalam usaha ke arah merealisasikan misi UTM untuk menjadi peneraju dalam pembangunan modal insan dan teknologi inovatif demi pengkayaan khazanah negara selain meneruskan khidmat kepada masyarakat selaras dengan inisiatif ‘UTM Mensejahterakan Kehidupan’.

Explore More