Disember 24, 2024

JOHOR BAHRU, 2 Julai – Lebih banyak elemen kemahiran insaniah akan diterapkan ke dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) sebagai sebahagian daripada usaha memantapkan kualiti graduan yang dihasilkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ini bagi memastikan setiap graduan yang dikeluarkan oleh UTM tidak sahaja menjadi pengurus yang cekap malah menjadi manusia yang mampu menyumbang kepada perubahan organisasi untuk menjadi lebih mampan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Prof. Sr. Dr. Hishamuddin Mohd Ali berkata pemerkasaan sumber manusia tidak dapat dipisahkan dengan proses pengukuhan melalui pemantapan pengajaran dan pembelajaran.

“Ini penting supaya setiap graduan yang dihasilkan oleh UTM bukan sahaja mempunyai kecemerlangan dari segi akademik dan pengetahuan teknikal tetapi juga mampu menjadi seorang manusia yang berkeupayaan untuk mengubah organisasinya pada masa kelak.

“Selain menyumbang ke arah peningkatan sumber manusia yang berkualiti, aspek kemahiran insaniah ini juga mampu meningkatkan kebolehpasaran kerja kepada graduan UTM,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara sempena pelantikan sebagai TNCA UTM, berkuatkuasa 15 Jun 2021 bagi menggantikan Prof. Ir. Ts. Dr Zainuddin Abdul Manan yang tamat tempoh lantikan.

Menurut Prof Hishamuddin lagi selain PnP, pemerkasaan akademik juga boleh ditingkatkan melalui kaedah penglibatan masyarakat (community engagement) dan juga sinergi dengan beberapa jabatan lain dalam UTM.

“Saya lihat ada ruangan untuk JTNCA bersinergi (berinteraksi dan bekerjasama) dengan beberapa jabatan lain seperti Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) atau JTNCPI dan juga Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) atau JTNCHEP.

“Selain itu, kita juga boleh menggunakan konsep Service-Learning Malaysia (SULAM) yang berkonsepkan khidmat masyarakat menggunakan kepakaran atau jurusan masing-masing dalam menyalurkan khidmat bakti kepada masyarakat sekeliling,” katanya.

Prof. Hishamuddin juga mengusulkan supaya hubungan dengan pihak industri dapat ditingkatkan melalui Konsortium AIMS4STAR yang ditubuhkan bagi menawarkan khidmat penyelesaian kreatif kepada industri.

“AIMS4STAR ditubuhkan bagi menawarkan penyelesaian masalah dengan kaedah yang lebih inovatif melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam usaha menyelesaikan masalah industri, komuniti dan industri.

“Saya melihat konsortium ini sebagai satu peluang yang baik dalam menyuntik elemen-elemen insaniah memandangkan kumpulan penyelidikan berkaitan perlu melakukan sesi ‘engagement’ dengan pihak industri yang dipertanggungjawapkan untuk menyelesaikan masalahnya,” katanya memberikan huraian.

Ditanya mengenai harapannya kepada warga UTM, Prof. Hishamuddin berharap supaya mahasiswa dan juga staf universiti ini sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masing-masing. Beliau menambah, pelajar dan staf universiti hanyalah manusia biasa. Universiti sebagai pusat ilmu, tidak harus semata-mata memberi tumpuan terhadap menggraduankan pelajar yang berkualiti untuk pembangunan negara. Manakala, staf pula tidak semata-mata hanya menyampaikan dan berkongsi ilmu dengan pelajar.

Salah satu teras strategi bagi UTM Envision 2025, ialah untuk melahirkan bakat yang holistik yang bertaraf dunia bagi memperluaskan sempadan pendidikan dan penyelidikan.

Prof. Hishamuddin menekankan penerapan aspek kemanusiaan dengan pemerkasaan kemahiran insaniah yang merupakan fokus utama beliau untuk memastikan graduan bukan sahaja dibekalkan pengetahuan dan kemahiran teknikal yang menepati keperluan pasaran pekerjaan, malah graduan berupaya untuk menzahirkan jati diri yang teguh, amanah dan bertanggungjawab bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

Beliau percaya dengan interaksi yang efektif serta kerjasama rapat dengan dengan semua pihak, termasuk pemegang taruh yang mendokong kecemerlangan, UTM mampu untuk mencapai petunjuk amal utama sebagaimana yang digariskan dalam UTM Envision 2025.

Prof. Dr. Hishamuddin Mohd Ali mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dengan pengkhususan dalam bidang Pelaburan dan Kewangan Harta Tanah dan merupakan felo Malaysian Institute of Property and Facilities Management (MIPFM) anggota Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM).

Berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran di peringkat fakulti, Prof. Hishamuddin telah pun memegang beberapa jawatan penting seperti Ketua Jabatan Pengurusan Hartanah di Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah (FGHT) yang kini dikenali sebagai Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) pada 1 Julai hingga 31 Disember 2002.

Prof. Hishamuddin kemudiannya dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengajian Siswazah FGHT (1 April 2008 – 31 Julai 2008) sebelum dilantik kembali sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Hartanah (1 Ogos 2008 – 14 April 2009).

Atas kecemerlangannya sebagai pentadbir akademik, Prof. Hishamuddin telah dilantik sebagai Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) dari 15 April 2009 hingga 31 Oktober 2012 dan dilantik semula ke jawatan sama pada 1 November 2012 hingga 31 Mei 2015.

Seterusnya pada 2015, Prof. Hishamuddin telah dilantik pula untuk menjawat jawatan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan Komuniti) bermula dari 1 Jun 2015 hingga 31 Mei 2017 diikuti lantikan sebagai Dekan FABU bermula 1 Jun 2020.

Selain pentadbir akademik, pengalamannya yang luas dalam sektor harta tanah juga telah mendapat pengiktirafan melalui perlantikannya sebagai salah seorang panel pakar Penyelaras Penyelidikan Harta Tanah Negara (NAPREC).

Explore More