📝 Ringkasan
Dr. Azizul Abd Ghani, seorang graduan Doktor Falsafah dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah mencapai impian walaupun menghadapi keterbatasan fizikal. Beliau kehilangan penglihatan mata kiri pada usia tiga tahun dan bergantung pada penglihatan mata kanan untuk mengejar cita-cita. Dr. Azizul telah menyelesaikan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, Ijazah Sarjana Sains Perancangan (Perumahan), dan Ijazah Doktor Falsafah (Pentadbiran dan Pembangunan Tanah) walaupun menghadapi ujian dan cabaran. Beliau berharap kisahnya dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan OKU dan menitipkan pesanan kepada para pelajar untuk tidak terlalu cepat menghukum kemampuan diri hanya berdasarkan kesukaran yang sedang dihadapi.
JOHOR BAHRU, 15 Nov. – “Saya mungkin tidak dapat melihat dunia dengan sempurna seperti orang lain, tetapi saya belajar untuk tidak membiarkan kekurangan menentukan sejauh mana saya mampu pergi,” ujar Dr. Azizul Abd Ghani, graduan Doktor Falsafah (Pentadbiran dan Pembangunan Tanah) dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Pencapaian beliau pada Majlis Konvokesyen UTM ke-70 ini bukan sekadar kejayaan akademik, tetapi simbol ketabahan yang membuktikan keterbatasan fizikal tidak pernah membataskan impian seseorang.

Dr. Azizul merupakan anak jati FELDA Jelai 4, Gemas, Negeri Sembilan. Pada usia tiga tahun, demam panas menyebabkan beliau kehilangan penglihatan mata kiri secara kekal. Sejak itu, beliau membesar dengan hanya bergantung pada penglihatan mata kanan untuk mengejar cita-cita.
Perjalanan akademiknya bermula di SK Jelai 2 (F) sebelum ke SMK Jelai (F), Gemas dan Program Matrikulasi (Asasi Perakaunan) di Kolej Matrikulasi Perlis. Beliau kemudian menyempurnakan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran dan Pembangunan Tanah (2002–2006) serta Ijazah Sarjana Sains Perancangan (Perumahan) (2006–2008) di UTM.

Selepas itu, Dr. Azizul melangkah ke dunia kerjaya. Beliau pernah berkhidmat sebagai Eksekutif Tanah di Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK), Pengurus Operasi di Madrasah Syeikhul Ariffien, Melaka dan kini bertugas sebagai Eksekutif Kanan di Jabatan Pengurusan Tanah, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Kuala Lumpur.
Pada 20 April 2012, atas saranan rakan sekerja di IWK, beliau mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan memperoleh pengiktirafan rasmi sebagai OKU Penglihatan.

Hasrat mendalam menimba ilmu membawanya kembali ke UTM pada 2021 bagi memulakan pengajian PhD. Keputusan itu menuntut pengorbanan besar kerana beliau perlu memikul tanggungjawab serentak sebagai pekerja, suami dan bapa. Waktu siang diisi dengan kerjaya, manakala waktu malam dan hujung minggu dimanfaatkan untuk penyelidikan.
“Waktu tidur dan rehat sering kali tidak mencukupi. Namun bagi saya, kejayaan bukan bermaksud kita tidak mempunyai kekurangan atau tidak pernah berasa penat. Kejayaan ialah kesediaan untuk terus berusaha walaupun perjalanan terasa berat. Ada masanya kita perlu bergerak perlahan, menyusun semula langkah dan mencari cara yang berbeza untuk sampai ke destinasi. Namun, selagi kita tidak berhenti berusaha, masih ada ruang untuk kita mencapai impian,” jelasnya.
Namun, perjalanan PhD ini diuji hebat pada 2024. Pada Februari 2024, ketika berada dalam fasa kritikal menyiapkan penulisan tesis, Dr. Azizul terlibat dalam kemalangan motosikal sewaktu pulang dari tempat kerja hingga mengalami kecederaan kaki.
Sebaik kakinya pulih, beliau sekali lagi diuji apabila disahkan menghidap katarak pada mata kanan, satu-satunya mata yang digunakannya untuk melihat menyebabkan penglihatannya semakin kabur.

Pada Ogos 2024, beliau menjalani pembedahan katarak. Walaupun matanya masih sensitif terhadap cahaya, keazaman tinggi mendorong beliau hadir memakai cermin mata hitam untuk membentangkan kertas kerja dengan berjaya di 12th International Real Estate Research Symposium (IRERS) 2024 di Institut Penilaian Negara (INSPEN) pada September 2024.
“Itu antara saat paling mencabar fizikal dan mental saya. Namun saya tidak mahu menyerah kalah apabila garisan penamat sudah begitu dekat,” ulas beliau.

Perjalanan panjang ini diraikan penuh syukur bersama insan-insan penyokong utamanya. Dr. Azizul menzahirkan penghargaan mendalam buat isteri tercinta, Nur Fatin Adilah Mohd Yusoff dan anak-anak atas kesabaran mereka.
Beliau turut mendedikasikan kejayaan ini kepada ayahanda, Abd Ghani Pendek dan bonda, Manis Othman yang banyak berkorban membesarkannya sejak kecil serta adik-beradik yang sentiasa di sisi.
Beliau juga berterima kasih kepada semua guru yang pernah mendidik terutamanya penyelia akademiknya di FABU, Dr. Norhidayah Md. Yunus dan pembantu penyelia, Dr. Anis Syazwani yang sentiasa memberi semangat dan menjadi saksi perjuangan ini.

Dr. Azizul berharap kisahnya dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan OKU agar melihat potensi serta sumbangan yang mampu diberikan jika diberi peluang saksama. Kepada para pelajar, khususnya yang sedang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), beliau menitipkan pesanan khas:
“Jangan terlalu cepat menghukum kemampuan diri hanya berdasarkan kesukaran yang sedang dihadapi. Setiap orang mempunyai perjalanan yang berbeza. Jangan membandingkan perjalanan kita dengan orang lain hingga terlupa menghargai kemajuan diri sendiri. Tidak mengapa jika langkah kita perlahan, asalkan kita terus bergerak ke hadapan. Jangan malu mendapatkan bantuan, jangan takut mencuba dan jangan biarkan pandangan orang lain menentukan nilai diri kita.”


Kisah Dr. Azizul Abd Ghani bukan sekadar cerita tentang segulung ijazah Doktor Falsafah. Beliau adalah contoh bahawa kecekalan jiwa, sokongan keluarga dan ketabahan menghadapi ujian mampu mengubah duka keterbatasan fizikal menjadi sebuah mercu tanda kecemerlangan yang menyinari pentas konvokesyen UTM.