Ahmad Sha’rainon raih PhD menerusi APEL, turut terima Anugerah Alumni

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

Ts. Dr. Ahmad Sha’rainon bin Md Shaarani telah mencapai kecemerlangan dengan menerima PhD menerusi Laluan APEL (Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau telah mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Geomatik di UTM SPACE Kuala Lumpur tetapi terpaksa mengetepikan pengajian tersebut untuk memulakan perniagaan sendiri pada tahun 2000. Beliau kemudian kembali ke institusi pengajian tinggi pada tahun 2019 menerusi Laluan APEL T-7 dalam bidang Teknologi Maklumat. Beliau telah melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan kemudian ke peringkat PhD. Beliau juga telah menerima Anugerah Alumni UTM sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan dan pencapaian beliau sebagai siswazah universiti.

JOHOR BAHRU, 15 Nov. – Tidak semua perjalanan menggenggam sebuah kejayaan bermula dengan laluan yang lurus. Ada yang perlu berhenti seketika untuk memenuhi tuntutan kehidupan, membina kerjaya dan memikul tanggungjawab keluarga sebelum kembali menyambung cita-cita yang pernah tertangguh. Bagi Ts. Dr. Ahmad Sha’rainon bin Md Shaarani, pengalaman lebih tiga dekad dalam industri bukan penghalang untuk kembali ke dunia akademik, sebaliknya menjadi bekalan penting yang membawanya mencapai kecemerlangan sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dilahirkan pada tahun 1973 di Hospital Besar Kuala Lumpur dan dibesarkan di kuarters kakitangan Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang, Sha’rainon merupakan anak sulung daripada enam orang adik-beradik. Bapanya bertugas sebagai juruteknik jentera di UPM, manakala ibunya seorang suri rumah. Membesar dalam keluarga sederhana dan persekitaran universiti menjadikan dunia teknikal serta pembelajaran sebahagian daripada kehidupannya sejak kecil.

Beliau memulakan perjalanan pendidikan dalam bidang Ukur Tanah di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur sebelum menyambung Diploma Ukur Tanah di UTM dari tahun 1990 hingga 1993. Pada tahun 1999, beliau mendaftar dalam program Ijazah Sarjana Muda Geomatik di UTM SPACE Kuala Lumpur. Namun, keputusan untuk memulakan perniagaan sendiri pada tahun 2000 menyebabkan pengajian tersebut tidak dapat diteruskan.

Dr Sharainon menerima Diploma Ukur Tanah di Majlis Konvokesyen UTM pada tahun 1995

Walaupun terpaksa mengetepikan pengajian formal, minat untuk terus menimba ilmu tidak pernah terhenti. Beliau memperkukuh pengetahuan melalui pengalaman kerja dan program profesional, termasuk Pengurusan Fasiliti Business and Advanced Technology Centre (BATC) serta Institut Pengurusan Fasiliti British (BIFM), yang kini dikenali sebagai Institut Tempat Kerja dan Pengurusan Fasiliti (IWFM) Level 6. Pengalaman tersebut menjadi asas kepada kepakarannya dalam bidang teknikal, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), infrastruktur serta pengurusan fasiliti.

Peluang untuk kembali ke institusi pengajian tinggi muncul pada tahun 2019 apabila beliau mengambil laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL.A) T-7 dalam bidang Teknologi Maklumat. Peluang ini diperkenalkan oleh sahabat lamanya, Prof. Dr. Khairul Rijal, yang memberikan dorongan untuk beliau menyambung pengajian berdasarkan pengalaman dan pembelajaran terdahulu.

Laluan APEL tersebut membuka ruang untuk beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana. Beliau kemudian mengikuti Master of Science (Engineering Business Management) di UTM dari tahun 2020 hingga 2023, selain menyambung pengajian Master of Business Administration (MBA) di Meiji University, Jepun, dari tahun 2021 hingga 2024. Kedua-dua pengajian yang sebahagiannya berlangsung serentak itu berjaya diselesaikannya sambil meneruskan komitmen profesional.

Dr Sharainon bersama rakan Industri bagi Pembangunan BIM Road Map CIDB.

Keinginan untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD pula berkembang daripada pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang teknikal, ICT, infrastruktur dan Pengurusan Fasiliti, selain penglibatannya selama 13 tahun sebagai pensyarah industri sambilan di Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya. Beliau mahu mengembangkan pengetahuan praktikal yang diperoleh sepanjang kerjaya melalui penyelidikan yang lebih sistematik.

Malah, keputusan untuk memulakan PhD berlaku secara spontan ketika beliau terlibat dalam projek menaik taraf sistem Pengurusan Fasiliti UTM. Ketika bertemu rakannya, Dr. Mat Naim, beliau menyuarakan hasrat untuk menyambung pengajian dan terus mengemukakan permohonan.

“Alang-alang saya selalu turun ke UTM, apa kata saya daftar PhD sekali?” katanya mengimbas kembali detik yang menjadi permulaan perjalanan PhD beliau.

Keberanian mengambil langkah pertama itu turut dipengaruhi pesanan Allahyarham Profesor Hakim yang sentiasa diingatinya: “Kalau nak buat PhD, daftar dulu baru fikir. Kalau fikir dulu, memang tak daftar.”

Penyelidikan PhD beliau bertajuk “A Rasch Measurement-Based Model of Critical Success Factors for Digital Facilities Management Implementation in Malaysia”, yang meneliti faktor kritikal kejayaan pelaksanaan Pengurusan Fasiliti Digital di Malaysia melalui pembangunan model pengukuran berasaskan pendekatan Rasch. Kajian tersebut merupakan kesinambungan daripada penyelidikan Sarjana beliau yang masing-masing menumpukan penggunaan Building Information Modelling (BIM) dalam pengurusan ruang bangunan kerajaan serta keupayaan tenaga kerja teknikal memanfaatkan aplikasi digital dalam pengurusan fasiliti.

Mengulas kesinambungan penyelidikan berkenaan, beliau menjelaskan, “Jika diringkaskan, MSc memberi saya sudut pandang tentang teknologi, MBA memperluas pemahaman tentang manusia yang menggunakan teknologi, dan PhD mengembangkan persoalan kepada faktor-faktor kejayaan pelaksanaan pada peringkat organisasi.”

Di samping pencapaian akademik, beliau turut membina kerjaya keusahawanan melalui Microcorp yang diterajui sejak tahun 2000. Sepanjang tempoh tersebut, beliau mengetuai pasukan dan melaksanakan pelbagai projek teknologi, ICT, infrastruktur serta Pengurusan Fasiliti Digital untuk organisasi awam dan swasta. Sumbangan beliau bersama organisasi yang diterajui turut menerima pelbagai pengiktirafan, antaranya Total Infrastructure and Facility Management Visionary of the Year Award, Innovative Business Transformation Award (2011), Best Partner Community Excellence Award (2012), pengiktirafan National BIM Day oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) (2015), ARCHIBUS Best Practices Award (2016), Golden Circles and Application Excellence Award (2018) serta SME Icons Award (2021).

Dr Sharainon menerima Malaysian Service Providers Confederation (MSPC) SME Icon Award.

Selain pengiktirafan dalam bidang profesional dan akademik, Ts. Dr. Ahmad Sha’rainon turut menerima Anugerah Alumni UTM sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan dan pencapaian beliau sebagai siswazah universiti. Anugerah yang disampaikan sempena Majlis Konvokesyen UTM itu merupakan pengiktirafan kepada graduan terbaik universiti dalam kategori prasiswazah dan pascasiswazah merangkumi pelbagai bidang pengajian, termasuk Kejuruteraan, Sains dan Teknologi serta Sains Sosial. Pengiktirafan tersebut sekali gus memperkukuh hubungan beliau dengan UTM, bukan sahaja sebagai bekas graduan, malah sebagai individu yang terus menyumbang kepada perkembangan bidang profesional dan akademik.

Kemuncak perjalanan akademiknya hadir apabila beliau menerima pengiktirafan Pelajar Cemerlang PhD sempena Istiadat Konvokesyen UTM ke-70. Pencapaian itu cukup bermakna kerana sejak awal pengajian, beliau pernah menyuarakan hasrat kepada penyelianya, Dr. Mat Naim, untuk menjadi pelajar PhD cemerlang pertama di bawah bimbingan beliau. Hasrat tersebut akhirnya menjadi kenyataan.

Namun, perjalanan itu menuntut pengorbanan masa dan disiplin yang tinggi. Sepanjang pengajian, beliau masih perlu menguruskan syarikat, projek, pekerja dan pelanggan, selain komitmen pengajaran serta keluarga. Bagi memastikan setiap tanggungjawab dapat dilaksanakan, beliau berpegang kepada prinsip yang menjadi panduan hariannya.

“Bagi masa, bukan cari masa,” jelas beliau. Prinsip tersebut mengingatkannya bahawa sesuatu yang penting perlu diberikan ruang dan keutamaan, bukannya menunggu sehingga semua urusan lain selesai.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada isteri, ibu bapa, keluarga, penyelia, rakan-rakan seperjuangan serta pasukan kerja Microcorp yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan tersebut. Baginya, kejayaan yang tercatat pada sekeping ijazah bukan hasil usaha seorang individu semata-mata, sebaliknya terbina daripada doa, bimbingan dan kerjasama ramai pihak.

Dr Sharainon bersama keluarga beliau yang menjadi salah satu pemberi semangat buat beliau.

Selepas menamatkan PhD, beliau berhasrat untuk terus berkongsi hasil penyelidikan dan pengalaman dengan industri serta komuniti akademik melalui pengajaran, penulisan, latihan dan kerjasama penyelidikan. Beliau juga berharap pengalamannya kembali menyambung pengajian melalui laluan APEL dapat memberi inspirasi kepada golongan profesional yang ingin meneruskan pendidikan walaupun berdepan komitmen kerjaya dan keluarga.

Pesan beliau kepada golongan muda agar tidak terlalu membandingkan perjalanan pendidikan sendiri dengan orang lain turut mencerminkan pengalaman yang dilaluinya. “Berani mulakan perjalanan sendiri, berikan masa kepadanya dan terus berusaha menjadi lebih baik daripada diri kita yang dahulu,” katanya.

Perjalanan Ts. Dr. Ahmad Sha’rainon membuktikan bahawa pengalaman dan ilmu yang diperoleh di dunia pekerjaan mampu menjadi asas kepada pencapaian akademik yang membanggakan. Laluan APEL membuka peluang untuk beliau kembali belajar, manakala disiplin, ketekunan dan keberanian menyempurnakan apa yang telah dimulakan akhirnya membawa beliau ke pentas kecemerlangan PhD UTM.

Explore More

UTM Open Day