November 17, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 3 Jun – Universiti Teknologi Malaysia ( UTM ) ingin menyampaikan ucapan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang dana sama ada dalam bentuk tunai atau barangan keperluan sepanjang tempoh PKPD dan PKP di UTM.

Kempen yang bermula pada 18 Mei 2021 iaitu Tabung Prihatin Covid-19 UTM telah mencecah RM532,831.30.

Semua sumbangan ini telah dan akan digunakan untuk terus menjaga kebajikan pelajar UTM agar terus selesa dalam kampus.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima bantuan barangan makanan dan keperluan harian bagi memenuhi keperluan warga kampus itu yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bantuan yang diterima hasil sumbangan masyarakat setempat dan komuniti universiti ini dijangka dapat memberikan faedah kepada kakitangan dan mahasiswa yang tinggal dalam kampus universiti itu.

Pegawai Penyelaras Sumbangan Prihatin COVID-19 UTM, Md. Yani Kasiren berkata PKPD yang dikenakan ke atas Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memberikan kesan yang amat mendalam keatas setiap warga institusi ppendidikanendidikan tinggi terulung itu.

“PKPD yang bermula dari 23 Mei hingga 3 Jun 2021 itu telah memberikan kesan terhadap 3,227 kakitangan dan mahasiswa yang tinggal di kampus itu ekoran pergerakan keluar masuk yang terbatas tidak sepertimana kebiasaannya.

“Bagi memberikan sedikit kelegaan kepada warga yang tinggal di kampus ini, pelbagai pihak telah tampil menghulurkan bantuan yang terdiri dari bahan makanan sehingga kepada barangan keperluan harian,” katanya mengulas berkenaan dengan platform sumbangan ini.

Sumbangan Prihatin COVID-19 UTM adalah platform untuk menerima sumbangan berbentuk barangan makanan dan keperluan harian ditubuhkan oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) di bawah Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).

Platform ini mengumpulkan sumbangan dari pihak luar seperti industri dan individu untuk diberikan kepada staf dan pelajar yang terjejas oleh PKPD yang dilaksanakan keatas UTM.

Kesemua sumbangan dikumpulkan di Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICCUTM) pada 24 sehingga 26 Mei dan diserahkan kepada penerima pada 27 Mei 2021.

Antara pihak yang memberikan sumbangan adalah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Parti Politik, Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Yayasan Raja Zarith Sofia Johor, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Perbandaran Kulai (MPKU) dan Pejabat Daerah Kulai.

“Kami juga menerima sumbangan dari syarikat hartanah, IOI Properties Group Berhad yang menyumbang sebanyak 18 kotak biskut di samping 70 bungkus roti dari kedai menjual roti Q Barries Bakery Taman Perling Johor Bahru.

“Kelab Rotary Malaysia juga ada menyumbang dalam bentuk makanan mee segera, minuman jenama Milo dan juga biskut.  TQR Engineering & Services, sebuah syarikat konsultan kejuruteraan berpengkalan di Petaling Jaya, Selangor juga menderma sebanyak 125 katon air mineral,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, rakan-rakan UTM juga tidak ketinggalan dalam menyemarakkan lagi aktiviti menyumbang kepada tabung ini.

“Antara rakan-rakan UTM yang aktif menyumbang adalah Sekolah Kejuruteraan Tenaga (SKT) yang menyumbang sebanyak 12 kotak air mineral dan 33 kotak barang keperluan harian dan makanan. 

“Sekolah Kejuruteraan Awam (SKA) pula menyumbang sebanyak 15 kotak Roti, Jem dan Kaya sementara 24 kotak makanan harian telah diterima dari Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE) di samping 180 beg makanan dan keperluan harian,” katanya lagi.

Sekolah Kejuruteraan Bio-Perubatan Sains Kesihatan (SKBSK) pula tidak kurang hebatnya apabila menyumbang makanan kering yang dihantar oleh lima buah kenderaan bernilai RM3,000.00.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak samada dalaman dan juga luaran yang menyumbang pelbagai barangan makanan dan juga keperluan harian kepada komuniti UTM yang terkesan akibat PKPD ini.

“Sungguhpun tidak dapat menyebutkan secara khusus mengenai semua penderma tetapi kami mahu anda tahu yang 3,227 orang staf dan mahasiswa yang terkesan telah mendapat sedikit kelegaan semasa menerima sumbangan anda semua,” katanya lagi.

Explore More