April 26, 2024

Search
Close this search box.

Pembatalan Program Perkongsian Seni Tarian Merentas Bangsa – Minggu Seni Tun Razak 2021 (MISTAR ’21)

KENYATAAN MEDIA

PEMBATALAN PROGRAM PERKONGSIAN SENI TARIAN MERENTAS BANGSA – MINGGU SENI TUN RAZAK 2021 (MISTAR ‘21)

Terlebih dahulu pihak universiti ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Datuk Ramli Ibrahim, tokoh tersohor negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam bidang seni tarian klasik atas kesudian menyokong program anjuran universiti. 

Seperti sedia maklum, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru telah menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 21 Mei hingga 3 Jun 2021 berikutan penularan kes jangkitan COVID-19 di kampus Johor Bahru. 

Susulan PKPD tersebut, pengoperasian universiti sedang melalui fasa transisi  dan juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara. Pelbagai program serta tindakan sedang dirangka dan disusun bagi menggerakkan kembali operasi universiti seperti aktiviti-aktiviti melibatkan pelajar termasuklah Program Perkongsian Seni Tarian Merentas Bangsa yang dijadualkan berlangsung pada 5 Jun 2021.

Program ini merupakan antara aktiviti pengisian yang dirancang di bawah program kolej menerusi program induk Minggu Seni Tun Razak (MISTAR ’21). 

Program secara dalam talian ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar UTM dan universiti awam (UA) lain untuk berkongsi bakat karya seni masing-masing, memberi pendedahan terhadap bidang seni mengikut peredaran zaman, memupuk minat terhadap bidang kesenian dalam diri pelajar serta mengeratkan rangkaian kerjasama antara UTM dengan UA yang lain.

Walau bagaimanapun, mesyuarat Pengurusan Pusat Islam UTM telah bermusyuwarah dan bersepakat menasihatkan agar pelaksanaan program ini tidak diteruskan atas faktor kesesuaian program.  Keputusan ini juga dibuat berdasarkan Garis Panduan Peraturan Kebudayaan dan Kesenian UTM yang mana pelaksanaan setiap program di bawah aliran ini perlu dirujuk dan diluluskan penganjurannya oleh pihak Pusat Islam UTM.

Keputusan Pusat Islam UTM mewakili pendirian Universiti, menitikberatkan pengisian program yang tidak menyinggung mana-mana pihak serta seimbang daripada pelbagai aspek termasuk kepelbagaian, kesejahteraan dan kerohanian.

Sungguhpun UTM merupakan universiti berteraskan kejuruteraan, sains dan teknologi, pihak universiti sememangnya menyokong penganjuran serta keterlibatan pelajar dalam program-program kesenian.

Adalah menjadi kebanggaan universiti untuk menjadi platform aktiviti seni dan kebudayaan untuk menjadi ikutan masyarakat luar tanpa berlaku percanggahan budaya dan tidak melanggar batasan agama Islam serta kepelbagaian budaya asli Malaysia.

Suka dimaklumkan, program MISTAR ‘21 masih berlangsung dengan pelbagai aktiviti diantaranya Bual Bicara Revolusi Seni Rumah Kita, Program Seni Catan Air, Bual Bicara Terrarium, dan Program Kenali Wayang Wong.

Oleh itu penganjuran program aliran kebudayaan dan kesenian ini perlulah diteruskan berlandaskan Garis Panduan Peraturan Kebudayaan dan Kesenian UTM agar keunikan dan kepelbagaian budaya yang kita nikmati selama ini kekal terpelihara.

Universiti sangat menyanjung tokoh seni dan menghormati kepelbagaian budaya di Malaysia. Pihak universiti sekali lagi merakamkan ucapan penghargaan kepada YBhg. Datuk Ramli Ibrahim atas kesudian beliau meluangkan masa menerima undangan bagi menjayakan program ini.

Pihak universiti juga memohon maaf sekiranya telah menimbulkan kesulitan di pihak YBhg. Datuk dan amat berharap sokongan berterusan YBhg. Datuk terhadap program universiti pada masa akan datang dalam platform yang berbeza.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM)                                                                                          
UTM Johor Bahru                                                                                                                         
5 Jun 2021

Explore More