April 27, 2024

Search
Close this search box.

     Program Syahrul Ibadah merupakan salah satu program yang telah dijalankan sepanjang bulan Ramadan yang mulia. Tujuan secara umumnya adalah untuk menghidupkan suasana Ramadan dengan amalan-amalan sunat dalam kalangan mahsiswa UTM.Objektif program ini juga adalah untuk melahirkan rasa cinta warga UTM terhadap ajaran Islam khususnya di dalam Ramadan al Mubarak, memupuk amalan bersedekah dalam kalangan warga UTM serta menambah ilmu pengetahuan warga UTM tentang agama Islam menerusi perkongsian hadis dan tazkirah. Penganjur program ini adalah Biro Kerohanian Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej 9&10 dengan kerjasama pihak Persatuan Mahasiswa Pendidikan (PMP) dan Kelab Bakti Siswa.

     Program ini disasarkan kepada mahasiswa UTM dan juga orang awam. Ia telah berlangsung dari 13 April 2021 sehingga 12 Mei 2021 secara maya melalui Cisco Webex, Instagram dan Facebook Live. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang program Syahrul Ibadah ini berlangsung termasuklah penganjuran aktiviti mencipta kandungan islamik, kutipan derma untuk diagihkan kepada golongan asnaf dan tazkirah Ramadan. Aktiviti mencipta kandungan islamik telah mendapat perhatian peserta kerana aktiviti tersebut sungguh sinonim dengan jiwa mereka.

Kutipan derma dilakukan dalam bentuk wang tunai atau barangan. Tujuan kutipan derma ini adalah untuk menggalakkan lagi amalan bersedekah terutamanya dalam bulan Ramadan bagi membantu golongan yang lebih memerlukan. Kutipan derma tersebut telah berjaya mengumpulkan RM1658.00 daripada 73 orang penderma. Pada 4 Mei 2021, pengarah program telah membuat pembelian barangan untuk didemakan kepada golongan asnaf.

Pada 6 Mei 2021, sumbangan seperti beras, tepung gandum, telur, gula, ketupat segera, biskut, maggi, susu, uncang teh dan sos cilitelah diagihkan kepada 37 orang pelajar SMK Taman Desa Skudai dengan jayanya. Sumbangan tersebut diketuai oleh pengarah program bersama presiden Kolej 9&10 dan beberapa orang staff kolej.

Program Syahrul Ibadah juga telah menjalankan aktiviti takzirah pada bulan Ramadan oleh penceramah-penceramah yang terdiri daripada pensyarah UTM sendiri. Tazkirah ini dilaksanakan sebanyak 3 slot yang berbeza tajuk namun berfokuskan kepada Ramadan bulan yang barakah. Ia telah berlangsung menggunakan platform ‘facebook live’ di halaman Persatuan Mahasiswa Pendidikan (PMP).

Keseluruhan aktiviti tazkirah Ramadan ini mempunyai objektif untuk menyebarluas ilmu agama dan dapat memberikan manfaat terutamanya kepada mahasiswa UTM serta termasuklah orang awam di bulan Ramadan yang mulia ini. Merit UTM dan kouta pengetua/kouta pelajar aktif turut disediakan bagi setiap ceramah yang dijalankan. Tazkirah ini juga disertakan dengan E-sijil bagi setiap ceramah mingguan.

Ceramah minggu pertama telah dijalankan pada 13 April 2021 iaitu pada hari Selasa. Ceramah yang bertajuk Penghayatan Sekolah Ramadan ini disampaikan oleh seorang penceramah iaitu Dr Wan Hassan bin Wan Embong.

Kemudiannya, pada minggu kedua ceramah Misi Mengejar Lailatul Qadar telah dijalankan pada 27 April 2021, hari Selasa yang lepas. Penceramahnya adalah Dr Nur Najwa Hanani Binti Abd Rahman.

Akhir sekali, tazkirah Ramadan dijalankan pada 11 Mei 2021 (Selasa) yang disampaikan oleh Prof Madya Dr Siti Norlina Binti Muhammad. Beliau menyampaikan ceramah yang bertajuk Min al-Aa’idin wa al-Faaizin.

Pada 12 Mei 2021 (Rabu), majlis penutupan Program Syahrul Ibadah anjuran Biro Kerohanian Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej 9&10 dengan kerjasama pihak Persatuan Mahasiswa Pendidikan (PMP) dan Kelab Bakti Siswa.

Majlis telah dihadiri oleh Yang Berusaha Tuan pengetua Kolej 9 dan 10 UTM, Prof Madya Teknologi Dr. Abdul Rahman Bin Tamuri, barisan Majlis fellow kolej 9 & 10, barisan jawatankuasa kolej Mahasiswa Kolej 9&10, barisan urus setia dan para pelajar UTM. Tayangan video juga persembahan daripada mahasiswi UTM dan tayangan montage penyerahan kutipan derma yang telah diserahkan kepada golongan asnaf oleh Pengarah Program, Presiden Kolej 9&10 dan beberapa orang staff kolej pada 6 Mei 2021.

Majlis penutupan ini juga dilengkapi dengan ucapan daripada pengarah program pihak JKM dan pihak PMP. Akhirnya, majlis disudahi dengan sesi bergambar bersama semua para hadirin yang hadir dalam memeriahkan majlis.

Program Syahrul Ibadah telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya berkat usaha semua pihak sama ada terlibat secara langsung ataupun tidak langsung. Objektif yang dirancang juga tercapai dengan pelaksanaan kesemua aktiviti yang diadakan. Program ini telah dapat membina ukhwah yang erat antara barisan Majlis fellow kolej 9 & 10, barisan jawatankuasa kolej Mahasiswa Kolej 9&10, barisan urus setia dan para pelajar UTM.

Explore More