April 27, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 3  Mac –  Seramai 657 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kelahiran negeri Johor Darul Takzim telah disenaraikan untuk menerima bantuan tunai RM150.00 sumbangan kerajaan negeri ini.

Bantuan itu adalah sebahagian daripada bantuan kewangan yang diperuntukkan dalam Belanjawan Johor 2021 di bawah Agenda Johor Berkebajikan yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada penghujung tahun 2020.

Bantuan telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, YB Datuk Haji Hasni Mohamad kepada mahasiswa universiti dari tiga kaum utama negeri itu iaitu Melayu, Cina dan India.

UTM telah diwakili oleh mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS), Kesavan a/l Mogan yang mewakili kaum India.

Turut hadir ialah Muhammad Najib Fiqri bin Sulaiman, pelajar Sarjana Muda Sains Komputer Bioinformatik dari Fakulti Kejuruteraan yang dijemput sebagai wakil Presiden persatuan anak-anak negeri Johor.

Penerima dari kaum cina pula diwakili oleh Lim Jia Xin dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) manakala seorang lagi yang mewakili kaum Melayu dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Bantuan yang diberikan secara ‘one-off’ itu bakal memberikan manfaat kepada 35,000 mahasiswa kelahiran negeri Johor yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara.

Menteri Besar Johor itu turut juga menyampaikan dua bantuan lain yang juga merangkumi Agenda Johor Berkebajikan iaitu  RM500 secara one-off kepada penyewa premis, pasar awam, peniaga pasar malam dan penjaja yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain itu, beliau turut menyampaikan baucar sebanyak RM3,000 secara one-off kepada pembeli Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) 2021.

Bagi bantuan kewangan sebanyak RM500 secara one-off kepada penyewa premis, pasar awam, peniaga pasar malam dan penjaja, sebanyak RM9.29 juta disediakan yang memberi manfaat kepada seramai 18,590 pemegang lesen.

Pemberian tunai sebanyak RM150 kepada mahasiswa anak Johor pula melibatkan 35,000 penuntut dengan kos keseluruhan RM5.25 juta.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Haji Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, YB Tuan Haji Mazlan Bujang dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, YB Tuan Haji Ayub Jamil.

Mahasiswa universiti awam (UA) yang terdiri dari anak Johor menunjukkan bantuan ‘one-off’ sebanyak RM500.00 yang diterima

Explore More