April 26, 2024

Search
Close this search box.

Team Prihatin Pusat Islam Tonjol Sifat Peduli Warga UTM

JOHOR BAHRU, 25 Nov. — Hujan lebat yang melanda daerah Johor Bahru sejak kebelakangan ini telah menyebabkan kejadian banjir kilat dan pokok tumbang.

Keadaan sukar ini bertambah lagi dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di daerah ini yang mengehadkan pergerakan dan aktiviti.

Kejadian banjir kilat tersebut dilaporkan telah melanda beberapa kawasan seperti Kampung Pasir, Damai Jaya dan Kempas Permatang.

Atas keprihatinan dan sifat peduli, Pusat Islam UTM (PIUTM) telah mengaktifkan Team Prihatin PIUTM yang segera mengumpulkan maklumat kakitangan yang terlibat.

Sebaik sahaja maklumat lengkap diperolehi, pasukan ini terus bergegas menjejaki semua mangsa banjir.

Melalui Team Prihatin, PIUTM telah menyalurkan sedikit sumbangan kepada 10 orang kakitangan UTM yang diuji dengan musibah ini berupa wang tunai.

Sumbangan telah disampaikan oleh wakil PIUTM yang diketuai oleh Penolong Pengarah PIUTM, Dr Naemah bt Hamzah dibantu oleh Ustaz Mahyuddin, Ustaz Haizal, Ustazah Rahmawatul Husna dan Pn Norlita.

Timbalan Pengarah Pusat Islam, Dr Mohd Nasir bin Masroom berkata, sumbangan yang diberikan adalah hasil daripada kutipan zakat warga UTM.

“Justeru, PIUTM amat berharap agar warga UTM yang berkelayakan untuk segera membuat caruman zakat.

Dengan sumbangan ini akan membolehkan PIUTM dapat membantu lebih ramai lagi pelajar dan kakitangan yang memerlukan pada masa akan datang,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, PIUTM dan semua warga UTM sentiasa mendoakan agar semua mangsa dapat bersabar dan dipermudahkan segala urusan mereka pada waktu-waktu sukar ini.

Sebahagian kakitangan dan ahli keluarga menerima sumbangan daripada wakil PIUTM

Explore More