MERSING, 19 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya memenangi tempat pertama dalam pertandingan pembersihan pantai untuk program Beach Clean-up yang dianjurkan bersempena dengan Hari Pembersihan Dunia (World Clean-Up Day) 2020.
Program tersebut telah dianjurkan oleh Majlis Daerah Mersing dengan mendapat kerjasama daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal (SWCorp), SWM Environment Sdn. Bhd., Trash Hero (NGO) dan Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS).
Program yang berlangsung di Teluk Gorek, Mersing, Johor itu juga telah disempurnakan perasmiannya oleh Setiausaha Majlis Daerah Mersing, Encik Zalhafiz Hamzah.
Penyelaras Program UTMCS, Puan Nurul Huda Radznam berkata program yang telah disertai oleh 44 orang staf dan mahasiswa UTM itu mengalakkan setiap kumpulan peserta untuk mengutip sampah atau sisa buangan di sepanjang pesisir pantai yang ditetapkan.
“Para peserta dikehendaki untuk mengisi sampah yang dikutip ke dalam bekas yang disediakan dan bekas itu kemudiannya akan ditimbang oleh penganjur. Penentuan pemenang akan dikira berdasarkan berat sampah yang dibawa pulang. Semakin berat maka semakin cerahlah peluang kumpulan itu untuk menang.
“Program ini dilaksanakan bagi membangkitkan semangat cintakan alam sekitar di kalangan warga Malaysia di samping memupuk semangat murni dalam mengutip sampah bagi mengekalkan kebersihan pantai,” katanya lagi.
Puan Nurul Huda turut berkata bahawa aktiviti pembersihan pantai yang dilakukan oleh sukarelawan ini telah berjaya mengumpulkan pelbagai bahan buangan yang terdapat sepanjang pantai Teluk Gorek ini.
“Semoga aktiviti seperti ini dapat sering dijalankan bagi menjaga kebersihan pantai kita. UTM berjaya memenangi tempat pertama dan kedua dengan sisa terkumpul sebanyak 89.5kg,” katanya lagi.
Selain UTM, aktiviti ini juga mendapat penyertaan dari Majlis Daerah Mersing, agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta Badang-badan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar.