April 26, 2024

Search
Close this search box.

UTM Mengadaptasi Konsep Kelestarian dalam Kerja Pengindahan Lanskap Kampus

Konsep kelestarian alam sekitar dan juga logistik telah diadaptasikan sebagai pendekatan baru dalam kerja-kerja pengindahan lanskap di kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru.

Di samping mengetengahkan konsep kelestarian terhadap alam sekitar dan juga sumber logistik, kerja pengindahan lanskap ini juga dilakukan bagi memberikan imej yang baru kepada UTM.

Penolong Arkitek Lanskap Kanan, Encik Dzulzazreen Mohd Zubir berkata projek pengindahan UTM ini penting bagi memberikan imej baru yang lebih segar sempena keadaan negara yang sedang pulih dari pandemik COVID-19.

“Bagi menjayakan konsep kelestarian ini, kami telah menggantikan kaedah konvensional penanaman pokok bunga secara kekal dalam tanah dengan kaedah penggunaan pokok yang dikekalkan dalam bungkusan dan diletakkan di atas tanah dengan cara menyusunnya agar kelihatan menarik.”

“Dengan cara ini, pokok bunga yang diletakkan boleh digantikan secara mudah dengan cara memindahkannya ke tempat lain tanpa perlu memusnahkan keseluruhan pokok bunga berkenaan. Selain bersifat lestari kepada alam sekitar, kami juga boleh mengitar semula pokok yang digunakan tanpa perlu membeli pokok bunga yang baru,” katanya.”

Menurutnya lagi, staf yang bertugas akan membuat penukaran (rotation) pokok berkenaan dengan kadar dua bulan sekali.

“Kakitangan bahagian lanskap akan mengangkat menggunakan kenderaan dan membuat pertukaran lokasi penempatan pokok bunga berkenaan di tempat-tempat yang telah ditetapkan sekeliling kampus.”

“Bagi permulaan usaha ini, kami telah meletakkan bungkusan pokok di tiga tempat tumpuan utama iaitu pintu gerbang, bulatan UTM dan juga pintu masuk utama di Jalan Universiti,” katanya.

Encik Dzulzazreen berkata tanaman yang digunakan adalah terdiri daripada pokok yang mempunyai pelbagai jenis bentuk, karektor dan warna daun.  Sebahagiannya pula adalah berbunga warna-warni bagi memberikan keindahan pemandangan kepada pengunjung kampus UTM ini.

“Bagi memberikan pemandangan yang menarik kepada pengunjung, kami menggunakan pokok puding kuning serta merah, dan juga beberapa jenis bunga-bungaan menarik yang lain.

“Aktiviti penyemaian benih pokok renek dan berbunga ini diuruskan secara “in-house” yang melibatkan kerja-kerja mengutip anak benih di sekitar kampus. Selain itu, ada juga yang dihadiahkan oleh warga kampus untuk dijadikan induk serta dibiakkan.”

“Manakala medium tanaman pula menggunakan kompos hasil proses daripada sisa makanan, daun kering dan formula EM yang diuruskan sendiri oleh kakitangan sedia ada Pejabat Harta Bina (PHB) UTM. Sehingga kini, PHB telah menghasilkan 10,000 anak pokok hiasan yang terdiri daripada pelbagai jenis spesis”, katanya lagi.

Hiasan pokok boleh alih di pintu gerbang UTM Johor Bahru
Hiasan lanskap di pintu gerbang UTM Johor Bahru.
Hiasan lanskap di bulatan utama UTM Johor Bahru.
Hiasan lanskap di pintu masuk utama UTM Johor Bahru (berhampiran pos keselamatan)

Explore More