November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 12 Julai – Sejumlah RM640,224.50 peruntukan telah digunakan dalam menaik taraf beberapa infrastruktur di Masjid Sultan Ismail (MSI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru.

Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM, Dr. Mohd Nasir Masroom berkata usaha itu dilaksanakan adalah bertujuan untuk menggantikan dan menambah baik kemudahan infrastruktur sedia ada untuk memberi keselesaan kepada para jemaah yang hadir.

Disamping itu, Dr. Mohd Nasir juga berkata bahawa peruntukan yang digunakan untuk penggantian karpet diperolehi daripada Dana Wakaf UTM yang telah dilancarkan pada tahun 2019 yang lalu. Manakala pembelian kipas gergasi adalah disumbangkan daripada Tabung Amil Zakat UTM.

“Kutipan agak perlahan pada mulanya, namun dengan inisiatif semua pihak termasuk Unit Waqaf UTM, Pejabat Hal Ehwal Korporat (HEK) dan Pusat Islam yang terus menerus mempromosikan Projek Waqaf Karpet MSI, kutipan telah meningkat dengan ketara terutamanya pada bulan Ramadhan yang lalu, sehinggakan kerja-kerja menaik taraf telah dapat dilaksanakan dengan jayanya” katanya lagi.

Beliau menerangkan bahawa kerja-kerja menaik taraf yang berkaitan adalah menukar karpet masjid dengan kos RM410,252.00 dan juga pemasangan tiga unit kipas gergasi dengan kos RM 229,972.50 (berserta kos pemasangan).

“Ini menunjukkan budaya memberi di kalangan komuniti UTM adalah berada di tahap yang membanggakan dan warga universiti pada hari ini bukan sahaja cemerlang dalam aspek akademik dan penyelidikan malah juga kebajikan dan kerja-kerja amal.” katanya lagi.

Pihak pengurusan masjid akan terus memantau keadaan masjid secara menyeluruh termasuk prasarana yang berkaitan demi keselesaan para jemaah. Turut dalam proses menaik taraf adalah penggantian bumbung masjid dan tempat wuduk.

Menurutnya, “kami akan sentiasa memantau keadaan masjid ini dari semasa ke semasa memandangkan masjid yang dibina pada tahun 1985 telah pun mencapai usia 35 tahun. Keselamatan dan keselesaan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan kami dan sebarang kerosakan akan segera dilaporkan.”

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pemberi waqaf dan pembayar zakat yang telah sama-sama memberikan sumbangan. Tidak lupa juga kepada Yang Berbahagia Datuk Naib Canselor yang giat mempromosikan Projek Waqaf Karpet. Penghargaan juga ditujukan kepada Unit Waqaf, Jabatan Harta Bina dan Jabatan Bendahari yang terlihat secara langsung dalam menguruskan kedua-dua projek ini. Akhir sekali, terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan projek ini. Semoga Allah SWT memberkati rezeki tuan puan semua”. Katanya mengakhiri perbualan.

 

Permaidani yang baru siap dipasang dalam ruangan solat di Masjid Sultan Ismail, UTM Johor Bahru.
Tiga unit kipas gergasi tambahan yang telah dipasang bagi keselesaan jemaah yang datang beribadah.
Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir. Dr Wahid Omar (dua kiri) dan pengurusan tertinggi UTM melawat Masjid Sultan Ismail selepas selesai kerja-kerja baik pulih kemudahan asasnya.

Explore More